Wednesday, April 8, 2009

Beralih watak komedi ringan


MENDAPAT nasihat dan pandangan Kenny Loh untuk tampil bergaya pada kemuncak ABPBH 2008.

Tersenarai sebagai finalis ABPBH 2008 menyedarkan Aqasha pentingnya publisiti

HAMPIR sembilan tahun mengalihkan karier kepada dunia lakonan, Aqasha akur akan kekangan kreativiti kebanyakan penulis skrip drama membuatkan sebahagian aktor tersekat dalam kepompong stereotaip.

Disebabkan itu kata Aqasha, 26, kebelakangan ini dia mengalih karektor lakonannya kepada watak komedi ringan supaya kepelbagaian persembahannya dapat dikesan khalayak.

Katanya, penonton tempatan terlalu banyak disuap dengan drama yang menekan membuatkan dia mencari ruang untuk bernafas dan membebaskan diri daripada tekanan itu.

“Untuk melakukan perubahan memerlukan kerjasama semua termasuk penulis skrip dan pengarah. Naskhah yang baik perlukan waktu untuk disempurnakan. Saya belum berani untuk mencuba biarpun sudah ada idea untuk memberikan sesuatu kepada industri,” katanya.

Jujur kata Aqasha atau nama sebenarnya, Firdee Akassya Rosli, dia belum bersedia untuk menulis skrip biarpun dalam hatinya melonjak mahu mencurahkan apa yang bersarang di kepalanya di atas kertas.

AQASHA mahu melihat evolusi berlaku dalam gaya penulisan skrip drama tempatan.

“Saya sudah ada sinopsis cuma untuk melihatnya menjadi sebuah skrip yang baik, saya tidak tahu bila ia akan menjadi kenyataan.

“Mungkin ketika ini tumpuan saya lebih kepada lakonan namun saya banyak bertanya dengan mereka yang berpengalaman seperti Bront Palarae, Afdlin Shauki dan Jehan Miskin bagaimana penulisan skrip dilakukan,” katanya.

Pernah popular dengan lagu Cahaya Hati, Aqasha yang dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 mengakui terkejut apabila menatap namanya buat pertama kali membolosi senarai Top 5.

Berbanding finalis lain yang kerap mendapat tempat di dada akhbar dan majalah, nama Aqasha agak terpinggir malah kelibatnya hanya dapat ditonton di layar kaca menerusi drama yang dilakonkan.

“Mungkin peminat menyayangi dan menghargai membuatkan saya terharu kerana sokongan mereka meletakkan saya dalam senarai Top 5.

“Penghargaan juga wajar diberikan kepada Berita Harian kerana menganjurkan acara gemilang sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan kesungguhan insan seni,” katanya yang ditemui ketika sesi suai padan di Lord’s Tailor, Bangsar Shopping Complex, baru-baru ini.

Menurutnya, selama berlakon dia tidak terlalu memikirkan soal publisiti kerana tanggungjawab di lokasi menuntut sebahagian besar masanya.

Cuma kebelakangan ini, matanya seakan-akan terbuka akan penting peranan media untuk membawa kariernya ke depan.

“Dulu saya lebih selesa menyepi kerana tiada apa yang mahu dikongsi bersama peminat. Tapi saya kini sedar, publisiti perlu sebagai sumber interaksi antara saya dengan peminat. Saya menjadi semakin peka mengenai hal itu sekarang,” katanya.

Tampilkan sut Lord's Tailor

KEMUNCAK ABPBH 2008 pada 12 April nanti di Arena Of Stars, Genting Highlands menyaksikan Aqasha bersama sembilan personaliti lain iaitu Mawi, AC Mizal, Aaron Aziz, Fizo Omar, Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Ashraf Muslim, Afdlin Shauki dan Rosyam Nor menggayakan sut sentuhan Lord’s Tailor.

Kerjasama untuk kali ketiga menyemarakkan kemuncak ABPBH 2008 yang dilimpahi kerdipan bintang yang menghiasi persada seni.

Pengarah Pasaran dan Jualan Lord’s Tailor, Loh Lee Lee berkata, mereka teruja menyumbang kepakaran untuk menjadikan ABPBH 2008 sebagai acara gemilang yang dilimpahi aura glamour dan elegan.

Andai tahun lalu, sentuhan mereka banyak bermain dengan warna namun pada ABPBH 2008, rekaan yang diilhamkan pereka tetapnya, Kenny Loh lebih serasi dengan gaya klasik.

“Kali ini kami membawa pembaharuan dengan menampilkan sut dalam rona gelap namun diberi potongan moden untuk membangkitkan perbezaan daripada rekaan yang pernah dihasilkan,” katanya.

Menyesuaikan dengan songket, penggunaan fabrik baldu untuk sut kata Lee Lee, memberikan gaya kelas dan tersendiri bertepatan dengan acara yang menjulang nama popular di negara ini.

“Dalam hal ini potongan memainkan peranan penting untuk mengimbangi gaya Aqasha, namun keselesaan tetap diberi keutamaan. Jika tidak Aqsaha akan nampak kaku kerana potongan badannya yang lebar di bahagian atas,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: