GAMBARKAN pandangan Azura mengenai dunia fesyen? Bagi saya, fesyen itu universal dan fleksibel serta ia
boleh menjadi apa saja. Sesetengah orang suka berpakaian mengikut trend dan meniru fesyen selebriti. Sebenarnya kita perlu kaji terlebih dahulu adakah sesuatu fesyen itu sesuai untuk si pemakai dan bagaimana beliau mampu membawa fesyen itu. Jangan sampai kita menjadi mangsa fesyen.
Sejak bila minat Azura terhadap fesyen mula bercambah?
Ketika bersekolah, saya sangat menyukai seni, namun kecenderungan terhadap fesyen boleh dikatakan baru sahaja bermula. Selepas tamat pengajian diploma dalam bidang senireka, baru saya meneruskan pengajian fesyen di peringkat ijazah. Saya suka mencuba. Tidak disangka saya memenangi Pertandingan Jarum Berlian pada 2003 yang disertai secara suka-suka. Dari situ cinta terhadap fesyen terus mekar.
Bagaimana perasaan Azura hadir dalam bidang yang dimonopoli oleh kaum lelaki?
Itu satu kelebihan kerana kita sering menjadi tumpuan. Bagi Azura, setiap pereka ada kelebihan masing-masing. Ada pelanggan yang lebih senang berurusan dengan pereka perempuan, terutama tatkala membincangkan mengenai bentuk tubuh mereka.
Konsep rekaan Azura?
Prinsip saya less is more. Saya sukakan sesuatu yang ringkas dan tidak mengikut trend. Kebanyakan orang salah menafsir, bagi mereka glamor itu sarat dengan perhiasan. Apa yang penting bagi saya adalah potongan dan pemilihan fabrik. Apa saja yang ada disekeliling saya boleh menjadi ilham, antaranya saya pernah mengetengahkan idea tatu dan pengemis dalam rekaan yang dihasilkan.
Perancangan Azura Couture?
Insya-Allah, butik Azura Couture akan dibuka pada Jun nanti. Selain rekaan custom-made, saya juga menghasilkan pakaian sedia dipakai untuk kanak-kanak, remaja hingga dewasa. Sasaran adalah untuk golongan sederhana hingga atasan. Jenama ini juga akan dipasarkan di Singapura dan Indonesia sebagai cubaan pertama mengintai jendela antarabangsa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: