|
|
HIJJAZ merupakan kumpulan nasyid yang bijak menggunakan populariti yang sedang diraih bagi melebarkan lagi sayap mereka dalam bidang nyanyian dan perniagaan.
Kumpulan nasyid tiga anggota ini misalnya, menggunakan nama Hijjaz sebagai jenama pakaian kaum muslimah yang akan mereka keluarkan Mei ini.
Menerusi Hijjaz Trade Corporation (HTC) itu, Hijjaz akan menghasilkan pelbagai rekaan terbaru pakaian wanita dengan kerjasama syarikat Dwarna Industries (M) Sdn. Bhd.
Pengarah Urusan HTC, Isman Nadim Isam berkata, penjenamaan produk baru Hijjaz itu tidak akan menjejaskan aktiviti-aktiviti utama mereka dalam bidang seni suara.
Sebaliknya, Hijjaz akan tetap aktif seperti biasa sama ada menerbitkan album-album sendiri mahupun artis-artis lain di bawah naungan Hijjaz Records Sdn. Bhd.
"Keutamaan kami adalah dalam dunia hiburan nasyid. Ini kerana di bawah HTC kami mempunyai Hijjaz Records yang menerbit dan mengedarkan album-album nasyid.
"Dengan adanya jenama pakaian kami iaitu HijjazDwarna, ia akan mengembangkan lagi nama Hijjaz bukan setakat dalam bidang nyanyian tetapi juga dunia fesyen tempatan.
"Ini salah satu cara kami mengembangkan perniagaan kami di bawah HTC," katanya ketika ditemui selepas majlis sidang media di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Sidang media itu diadakan selepas majlis memorandum persefahaman diadakan antara HTC, Dwarna Industries (M) Sdn. Bhd., dan Colour Fly Sdn. Bhd.
Menurut Isman, setakat ini HTC dan Dwarna telahpun sepakat untuk bekerjasama dalam mereka cipta rekaan dan mengedarkan pakaian-pakaian jenama Hijjaz di pasaran.
"Setakat ini Dwarna sudahpun menyediakan lima rekaan terbaru untuk jenama HijjazDwarna. Ciri-ciri yang ditekankan dalam rekaan itu ialah busana muslimah yang menutup aurat.
"Sebagai permulaan, kami keluarkan pakaian wanita dahulu di mana fesyen pakaian lelaki pula akan dikeluarkan kemudian," ujarnya.
Sebagai rekod, selain Hijjaz Records Sdn. Bhd., tiga lagi anak syarikat yang bernaung di bawah HTC ialah HR Publishing, AD Country Resort (Teratak Hijjaz) dan Hijjaz Legend Travel & Tours Sdn. Bhd.
Ketika majlis itu Isman turut mengumumkan kerjasama HTC dengan Colour Fly bagi mengeluarkan produk kopi pra-campuran di bawah jenama Kopi Hijjaz.
Tambah Isman, selain bidang nyanyian dan fesyen, Hijjaz sejak dari dulu turut mempunyai impian untuk terbabit dalam perniagaan berteraskan makanan yang mempunyai prospek cerah.
"Terbabit dalam perniagaan makanan dan minuman merupakan impian kami kerana ia boleh mengajak para pengguna Islam menggunakan produk yang terjamin halal dari segi syariatnya," jelasnya lagi.
Bagi mempopularkan lagi jenama-jenama produk baru Hijjaz, difahamkan kumpulan itu akan melantik golongan selebriti sebagai model atau jurucakap mereka.
Setakat ini kata Isman, beberapa nama artis sudahpun berada dalam senarai di mana nama yang sesuai akan diumumkan dalam waktu yang terdekat ini.
"Nama-nama artis atau selebriti yang memakai tudung dan jubah sudahpun ada dalam senarai kami dan akan diumumkan pada bulan Mei ini," kata Isman.
"Sama ada mereka itu akan menjadi dutu atau sekadar menggayakan pakaian-pakaian jenama kami, ia akan diumumkan kemudian," ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: