Sunday, April 12, 2009

Eva lebih berisi


BENTUK badannya yang sering turun naik sejak berkahwin dengan jaguh bola keranjang, Tony Parker pada Julai 2007 memberi ruang kepada media membuat spekulasi mengatakan bintang Desperate Housewives, Eva Longoria, 33, bakal bergelar ibu.

Jadi ibu secara semula jadi

Spekulasi mengenai kehamilannya bermula Julai tahun lalu apabila gambar Eva berbikini ketika bercuti di Itali disiarkan kerana menampakkan badannya lebih berisi daripada biasa.

Perkara itu dinafikan jurucakap Eva dan mengatakan pelakon kelahiran Corpus Christi, Texas pada 15 Mac 1975 itu berisi sebagai persediaan untuk menjayakan watak Gabrielle Solis bagi musim baru Desperate Housewives.

Untuk musim kelima yang kini disiarkan di 8TV setiap Khamis, 10.30 malam, penulis skrip melakukan perubahan dengan paparkan kehidupan di Wisteria Lane selepas lima tahun.

Kali ini Gabrielle digambarkan sebagai ibu dua anak dan sibuk melayan anaknya hingga tiada masa menjaga penampilan.

Kata Eva, dia menganggap berita yang mengatakan dia mengandung sebagai cerita lucu kerana tidak benar sama sekali.

Katanya, dia dan suami sememangnya ingin menimang cahaya mata dan dia sendiri tidak sabar untuk bergelar ibu.

“Saya sudah bersedia bergelar ibu dan tidak sabar menantikan detik itu. Bagaimanapun, saya tidak berharap sangat sebaliknya mahu ia berlaku secara semula jadi dan tanpa paksaan,” katanya.

Sebulan selepas menafikan hamil, sekali lagi Eva dikatakan berbadan dua apabila dilihat memakai baju labuh dan besar ketika di Los Angeles. Sekali lagi jurucakap Eva menafikannya. Begitu juga apabila gambar Eva memakai baju besar ketika membeli-belah di butik Ferragamo di New York. Kawan baik Eva, Mario Lopez mengatakan dia tidak tersinggung dengan semua laporan itu sebaliknya menganggap sebagai sangat melucukan.



“Kami berdua ketawa besar apabila bercakap soal ini. Dia benar-benar tenang dan menerima saja apa diperkatakan orang mengenai dirinya.

“Walaupun dia tidak ambil kisah dengan cerita itu, sudah tentu dia tahu mengenai apa yang diperkatakan orang terhadapnya. Memang dia tidak membaca semua berita itu, tapi saya rasa orang sekeliling ada bertanya kepadanya. Bagaimanapun, dia tidak ambil peduli semua itu.

“Dia cukup tenang dan tidak pernah rasa terganggu. Malah, dia tahu orang tidak akan berhenti bercakap perkara itu dan dia mengambil sikap tidak ambil kisah,” katanya.

Mengenai dirinya agak berisi akhir-akhir ini, dengan ketinggian 157 sentimeter, pertambahan berat badan sebanyak 5 kilogram disifatkan agak banyak untuk orang bertubuh kecil sepertinya.

Kata Eva, semua itu disebabkan melayan minat barunya, memasak. Apabila tiada penggambaran, apa yang dilakukan Eva ialah masak dan makan.

“Setiap hari saya masak dan makan dengan berselera apa yang dimasak hingga berat badan naik lima kilogram. Lebih memburukkan keadaan selepas saya berhenti melakukan senaman sepanjang musim panas lalu,” katanya.

Apabila sering menjadi sasaran gosip mengatakan dia mengandung, Eva berminat mengamalkan makan banyak sayur seperti dicadangkan buku Skinny Bitch yang diberikan rakannya, aktres Lake Bell. Bagaimanapun, Eva belum bersedia mengamalkan makan sayur sahaja (vegetarian) sebagaimana disarankan buku itu.

Tidak cukup dengan itu, Eva juga mendapat bimbingan jurulatih Aimet Victoria yang menyediakan jadual latihan tiga hingga empat kali seminggu untuk memastikan penampilannya lebih menarik.

Eva juga sibuk dengan kerja amal dan menjadi jurucakap PADRES Contra El Cancer pada 2006 dan juga menyokong Clothes Off Our Back Foundation, National Center For Missing And Exploited Children, National Stroke Association, Project HOME dan St Jude Children's Research Hospital.

Dalam satu acara lelong untuk menambahkan dana New York Rescue Workers Detox Project bulan lalu (Mac), Eva berjaya menjual pakej makan malam untuk 12 orang di restoran miliknya, Beso dengan harga AS$37,500.

Lebih menarik, Eva sanggup memakai apron untuk melayan mereka dan menyediakan makanan mereka. Tidak cukup dengan itu, Eva menambah dua tiket menyaksikan perlawanan Spurs/Lakers bersama jersi Tony Parker.

Terbaru, Eva turut membantu menjayakan perlawanan Rally For Kids with Cancer Scavenger Cup di Glendale, California pada 1 Mei ini.

Sementara itu, ketika dunia mengalami krisis ekonomi, Parker sudah merancang sesuatu apabila bersara kelak. Jaguh NBA All-Star itu membeli pasukan bola keranjang Perancis. Dalam kenyataannya kepada stesen televisyen Infosport, Perancis, Parker mengumumkan dia kini pemilik kedua terbesar saham ASVEL.

Parker juga menjadi Pengarah Operasi pasukan itu berkuatkuasa serta merta. Malah Parker tidak menolak kemungkinan kembali bermain untuk kelab di Perancis.

“Apabila usia mencecah 36 atau 37 tahun, siapa boleh jangka masa depan saya dengan NBA. Apa salahnya berkhidmat di negara sendiri sebelum membuat keputusan untuk bersara.

“Saya juga sudah berbincang dengan Eva mengenai perkara itu dan dia tiada masalah untuk tinggal di Perancis,” katanya.

Parker yang masih mempunyai kontrak dengan San Antonio Spurs hingga 2011 mengakui sudah lama membuat perancangan melabur dengan satu kelab bola keranjang sebagai persediaan selepas bersara nanti.

Eva dan Parker memilih tarikh 7.7.07 untuk hari bersejarah mereka apabila berkahwin di Paris pada 7 Julai 2007 di istana lama, Vaux-le-Vicomte dihadiri 200 tetamu termasuk ahli pasukan Spurs, pasangan Michael Douglas dan Catherine Zeta-Jones, Thierry Henry dan Victoria Beckham.

Sehari sebelum itu, pasangan ini mendaftarkan perkahwinan mereka secara sivil mengikut undang-undang Perancis yang dikendalikan Datuk Bandar Paris, Bertrand Delanoƫ.

Mereka mula berkenalan pada November 2004 apabila Parker mengundang Eva dan ayahnya makan malam sebaik saja selesai menyaksikan perlawanan bola keranjang membabitkan San Antonio Spurs. Selepas itu, telefon menjadi penghubung mereka sebelum Parker berani mengajak Eva keluar berdua diikuti melamar Eva untuk menjadi suri hidupnya pada 29 November 2006.

Ini perkahwinan kedua Eva selepas bercerai dengan Tyler Christopher pada 19 Januari 2004. Eva bertemu Christopher, pelakon General Hospital ketika menjadi pelakon undangan untuk satu episod siri itu dan berkahwin pada 20 Januari 2002.

Siapa sangka anak bongsu daripada empat beradik perempuan yang dianggap paling tidak comel kerana berkulit gelap dan memiliki mata dan rambut hitam dalam kalangan saudaranya dimahkotakan Miss Corpus Christi USA. Pada 1998 membawanya ke Los Angeles hingga menjadi bintang.

Bermula watak kecil dalam The Bold And The Beautiful dan Beverly Hills, 90210 pada 1990, Eva berjaya dipilih memegang watak Isabella untuk The Young And The Restless. Bagaimanapun, namanya mula dikenali di seluruh dunia apabila memegang watak Gabrielle Solis dalam Desperate Housewives pada 2004.

Siri paparkan kisah wanita yang tinggal berjiran di Wisteria Lane itu turut dijayakan Teri Hatcher, Felicity Huffman dan Marcia Cross sebagai watak utama.

Bagaimanapun, Eva menjadi satu-satunya pelakon utama siri itu yang tidak dicalonkan untuk Anugerah Emmy dan dimenangi Felicity.

PROFIL
Nama sebenar: Eva Jacqueline Longoria
Tarikh lahir: 15 Mac 1975
Tempat lahir: Corpus Christi, Texas, Amerika
Tinggi: 157 sentimeter
Adik beradik: Anak bongsu daripada empat beradik perempuan (Elizabeth Judina, Emily Jeannette, Esmeralda Josephina)
Status: Berkahwin (7 Julai 2007)
Suami: Tony Parker
Bapa: Enrique Longoria Jr
Ibu: Ella Eva Mireles
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Sains (Kinesiology) dari Texas A&M University-Kingsville
Kerjaya: Model, pelakon

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: