KUALA LUMPUR: Sebagai selebriti yang terbabit dalam dunia nyanyian atau lakonan, mereka ada tarikan tersendiri. Namun, status janda yang disandang menambah aura dan glamor sedia ada sehingga kehebatan mereka ada kalanya mengalahkan artis yang belum berkahwin.
Abby Abadi, Rozita Che Wan, Nora Danish, Azharina dan Nurul antara selebriti berstatus janda yang dianggap ‘panas’ dan meletup, menjadi buruan, mengundang cemburu artis wanita lain serta menimbulkan kebimbangan isteri golongan VIP, kalau-kalau suami mereka ‘dirampas’.
|
ABBY ABADI:
“SAYA tidak mahu mencipta populariti dengan status janda. Apatah lagi selepas menjanda, saya melalui apa yang janda lain rasai. Paling membuatkan saya terkejut, ada artis senior sanggup menjadi orang tengah mengaturkan pertemuan saya dengan VIP di luar negara.
“Saya tahu siapa VIP itu yang memang dikenali ramai, tetapi tidak perlu saya sebutkan namanya. Sampai ke tahap itu mereka meletakkan kedudukan janda yang dijadikan sebagai barang dagangan.
“Bayaran dijanjikan memang lumayan, tetapi saya tidak gelap mata,” kata wanita berusia 31 tahun itu mengenai dugaannya yang baru empat bulan bergelar janda.
Menurut Abby, tindakan artis senior itu menjadi orang tengah untuk ‘menjual’ rakan artis sendiri sungguh mengejutkannya dan membuatkan dirinya berasa terhina.
“Jika orang yang saya tidak kenal buat kerja itu, tidaklah saya rasa terlalu terhina, tapi dia rakan saya. Tergamak dia lakukan perangai keji itu. Kami pernah berlakon bersama dan saya tidak sangka dia meletakkan diri saya sebagai janda tahap murahan.
“Artis senior itu juga maklumkan kepada saya bahawa ramai artis melayan VIP itu di luar negara. Untuk mengetahui siapa VIP terbabit, mulanya saya tunjuk macam berminat untuk terima tawaran. Dia akhirnya memaklumkan siapa VIP terbabit dan hendak tempah tiket penerbangan.
“Mungkin ada yang ingat bila dah janda, saya mudah didekati, hakikatnya tidak begitu. Saya pernah alami situasi seperti ini ketika zaman anak dara dulu, tak sangka bila sudah jadi janda ia terpaksa saya alami lagi,” katanya.
Menurut Abby, ketika zaman bujang, ada yang menawarkannya melayan VIP di sebuah negara jiran dengan jumlah bayaran sangat besar, tetapi dia tidak mengenali orang tengah terbabit.
“Alhamdulillah, saya tidak mudah digoda dan bukan jenis perempuan murahan. Jangan ingat diri saya boleh dijual beli dengan begitu mudah. Saya fikirkan jangka masa panjang, keluarga dan anak.
“Saya tidak mahu perkara itu menjadi ‘track record’ dalam hidup saya dan rasa berdosa seumur hidup. Memang ramai hendak kenalkan saya dengan orang itu dan ini tetapi apabila membabitkan maruah, saya perlu tegas,” katanya.
Tambah Abby, ada juga orang kenamaan mengirim SMS menawarkan sejumlah wang kononnya ingin berkongsi membuka perniagaan bersama dan ada juga yang sibuk ingin carikan jodoh untuknya.
“Jika benar ada yang ingin jadikan saya isteri, ada caranya. Bukan baru kenal sehari dua terus melonggokkan wang di depan saya. Jika ada jodoh, cukuplah lelaki sederhana sebagai suami saya. Kami boleh berusaha bersama-sama. Wang memang penting, namun ia bukan segala-galanya dalam hidup.
“Bukan pula saya kata orang yang berduit jahat belaka. Yang pasti, hati saya belum terbuka untuk bernikah lagi. Saya bukan terlalu ‘desperate’ (terdesak), lepas bercerai terus mencari pengganti,” katanya.
Menurut Abby, dia mengimpikan kebahagiaan dunia dan akhirat serta kini berusaha ke arah itu kerana pengalaman membuatkan dia semakin mengenal erti hidup.
“Paling saya elakkan, saya tidak mungkin menjadi orang ketiga kepada mana-mana wanita. Jadi kepada wanita di luar sana, saya bukan perampas,” tegasnya.
ROZITA CHE WAN:
“TAK sangka pula saya tersenarai dalam kategori janda meletup. Hakikatnya, bukan senang jadi janda kerana terlalu banyak dugaan. Antaranya, saya pernah diminta menemani seorang VIP makan malam selama dua jam saja.
“Saya tidak tahu siapa kerana saya tidak berminat untuk mengenalinya. Undangan itu saya tolak kerana saya tidak tahu apa akan berlaku selepas dua jam temankan dia makan,” luah Rozita Che Wan, 36.
Menurut Rozita, ada orang tengah mengatur pertemuannya dengan VIP itu. Kejadian itu membuatkan dia sangat terhina. Sebagai orang Islam, dia tahu hukum Allah SWT.
“Mula-mula temankan dia makan, lepas itu entah dia hendak minta apa pula dengan saya. Oleh kerana memang tidak berminat, saya tak kuasa hendak ambil tahu siapa VIP itu. Dalam masa sama, setiap hari ada VIP kirim SMS ingin berkenalan, mengajak saya keluar dan pelbagai lagi.
“Supaya tidak menyakiti hati sesiapa, saya menolak pelawaan mereka secara baik dengan menyatakan ‘lain kali’. Apabila selalu sangat saya kata lain kali, mereka faham dan tidak mengganggu lagi,” katanya.
Tambah Rozita, dia kesal masyarakat masih berfikiran kolot apabila bercakap mengenai janda dengan beranggapan janda tiada harga diri, suka rampas suami orang dan mata duitan.
Menurut janda anak dua itu, banyak gosip mengatakan dia berkahwin dengan VIP, tetapi hingga kini belum terbukti apa-apa.
“Tumpuan kini kepada anak dan kerjaya. Kejayaan anak sulung, Ammar Effendy dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu dengan mendapat 5A membuka mata masyarakat yang anak janda juga boleh berjaya.
“Syukur anak kedua, Aniq Ezzra, turut menunjukkan prestasi membanggakan dalam pelajaran dan sukan. Harap Aniq akan mengikut jejak langkah abangnya. Andainya Ammar dapat 1A, orang pasti kata ‘tengoklah emak dia pula macam mana’,” katanya.
Menurut Rozita, anak tahu dan faham kesusahannya bekerja siang malam dan menghargai pengorbanan itu.
Atas kejayaan anak juga, pada Hari Ibu nanti, Hotel May Tower Singapura akan menganugerahkan Rozita Ikon Ibu Cemerlang dengan majlis diadakan di Kuala Lumpur.
“Itulah penawar kesedihan saya selama tiga tahun bergelar anak seni. Kejayaan anak dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap saya.
“Sebenarnya, saya kurang senang apabila dilabel janda meletup kerana keadaan ini memberi ruang kepada pihak tertentu menjadikan saya mangsa gosip dan fitnah. Oleh itu, saya harap masyarakat menilai berdasarkan kualiti orang itu dan bukan daripada status,” katanya.
Apapun, kata Rozita, dia tetap bersyukur dan reda dengan ketentuan Ilahi. Ini kerana status itu juga menjadikan dirinya kuat, tabah, cekal dan berani.
NORA DANISH:
HAMPIR 10 bulan berpisah, kehidupan dijalani pelakon ini seperti biasa. Walau kadangkala terasa sunyi, Nora Danish, 27, menafikan dia menjadi buruan lelaki.
“Sepanjang bergelar ibu tunggal, saya belum pernah merasai menjadi buruan mereka, lebih-lebih lagi golongan VIP. Mungkin itu berlaku disebabkan saya tidak menjawab panggilan telefon daripada orang tidak dikenali.
“Begitupun, saya tidak menafikan status janda membuatkan golongan artis wanita diburu. Sama ada mereka cuba memikat kami kerana populariti atau harta, itu saya tidak tahu.
“Pengalaman dulu mengajar saya banyak perkara dan ia juga menjadikan saya lebih matang untuk menjalin hubungan selepas ini.
“Bagi saya, tidak kira janda atau gadis, asalkan bernama wanita, pasti akan cuba didekati lelaki,” katanya yang kini bahagia dengan kehadiran putera sulung, Putra Rayqal Rizal Ashram Ramli (Rayqal) yang lahir pada 7 Januari lalu.
Perceraian Nora menyentuh hati banyak pihak kerana dia diceraikan ketika disahkan mengandung tiga bulan.
Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan mengesahkan lafaz cerai diucapkan suami Nora, Rizal Ashram Ramli, 32, pada Februari dan Jun lalu sebagai sah dan memutuskan pasangan itu bercerai dengan talak dua.
Hakim Syarie, Ahmad Irwan Ismail, membuat keputusan itu selepas mengesahkan dua lafaz talak oleh Rizal berbunyi ‘I ceraikan you’ pada Februari dan ‘Saya ceraikan awak’ pada Jun lalu sebagai sah.
Perceraian itu berlaku sewaktu Nora disahkan mengandung. Oleh itu talak hanya jatuh selepas dia melahirkan.
AZHARINA:
“SELEPAS bercerai, ‘berbakul’ saya dikutuk, dihina dan dicaci. Itulah risiko yang dihadapi apabila menjadi janda muda. Sebagai artis, lagi banyak dugaan datang kerana satu Malaysia tahu saya bercerai.
“Kalau saya bukan artis, mungkin dugaan tidak seteruk ini. Memang saya tahu risiko menjadi janda, tetapi saya tidak terfikir sesukar ini. Apa hendak saya katakan lagi, ia (perceraian) sudah berlaku. Namun, ia membuatkan saya tabah dan cepat dewasa,” kata Azharina Azhar, 24.
Menurutnya, selepas kembali solo ada yang menggoda, tetapi dia tidak melayan kerana pintu hatinya belum terbuka untuk bersuami lagi.
Yang penting, kata Azharina, sekarang adalah waktu untuk dia melakukan proses ‘baik pulih’ dan menjaga hatinya.
“Untuk berkahwin semula, saya serahkan pada Yang Maha Esa. Jika ada jodoh, adalah. Seandainya sebaliknya, saya tetap bersyukur ke hadrat Ilahi jika itu yang terbaik untuk saya.
“Pada masa ini saya tiada hubungan istimewa dengan sesiapa. Rakan lelaki memang ramai, tetapi setakat berkawan saja,” katanya.
Menariknya, Azharina berkata, lelaki yang ingin memperisterikannya perlu melalui proses penilaian yang akan dilakukan oleh bekas suaminya.
“Suami saya dulu baik, tetapi tekanan orang sekeliling membuatkan saya tidak tahan untuk terus hidup bersamanya. Lelaki yang ingin menjadi suami saya juga perlu jujur dan ada pengetahuan agama.
“Apabila saya melalui proses perceraian, ia bukan perkara yang terlalu buruk kerana ada yang menemui kebahagiaan selepas bercerai. Pun begitu, terasa juga serik untuk berkahwin lagi,” katanya.
Mengenai hubungan dengan bekas suaminya, Azharina berkata, mereka masih bertegur sapa dan berhubungan seperti kawan biasa.
“Kami bercerai cara baik dan sampai sekarang saya masih menghormatinya sebagai kawan, bekas suami dan rakan perniagaan. Enam tahun kami berkawan, tetapi perkahwinan kami bertahan tiga tahun saja.
“Bagaimanapun, saya tidak kesal rumah tangga runtuh di tengah jalan, malah jauh di sudut hati, saya bahagia dan sibuk dengan kerja sendiri,” katanya.
NURUL:
KESIBUKAN mengejar kerjaya dan pengalaman lalu membuatkan penyanyi ini bertekad untuk tidak memikirkan mengenai jodoh buat seketika.
Katanya, biar dia fokus kepada dunia seni yang menjadi cintanya sejak dulu. Begitupun, menyentuh mengenai soal janda yang diburu lelaki, Nurul, 31, belum pernah menghadapi situasi seperti itu.
“Selama bergelar ibu tunggal lebih setahun lalu, belum ada lagi lelaki yang bersungguh-sungguh atau datang bersemuka dengan saya untuk menyuarakan hasrat memperisterikan saya. Mungkin mereka takut berjumpa saya kerana sewaktu di luar saya sentiasa serius.
“Setakat ini, kalau ada pun lelaki cuba memikat saya, saya anggap mereka tidak serius. Ini kerana mereka tidak berani bersua muka dengan saya, tapi cuma menghantar SMS dan tidak kurang juga memanggil sayang serta menelefon pada tengah malam,” katanya.
Nurul berkata, dia langsung tidak melayan gangguan daripada lelaki seperti itu kerana tindakan mereka mencerminkan sikap tidak menghormati wanita.
“Jangan memandang status janda sebagai sesuatu yang negatif. Sama ada janda, anak dara mahupun bergelar isteri, kami masih lagi wanita yang ada perasaan,” katanya.
Menurutnya, populariti sebagai artis menyebabkan dia lebih berhati-hati kerana bimbang ada lelaki cuba mengambil kesempatan dengan menumpang kemewahan.
“Ada golongan cuba mendekati artis, terutama wanita bergelar janda seperti saya, semata-mata untuk mencari jalan mudah memperoleh kesenangan. Namun saya bersyukur kerana setakat ini ia belum terjadi kepada saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: