![]() JAMAL masih setia bersama Warner Music sejak tiga dekad lalu. |
CIK NORMAH cukup kagum dengan penyanyi hebat, Jamal Abdillah, yang nampaknya cukup setia dengan syarikat rakaman Warner Music, sejak kira-kira tiga dekad lalu. Pendek kata, sepanjang dia bergelar penghibur, selama itulah dia bernaung di bawah label antarabangsa terbabit.
Dengarnya, Jamal lebih senang berurusan dengan mereka yang sudah lama mengenalinya. Petugas di Warner pula, sememangnya cukup masak dan kenal hati budi penyanyi ini. Iyalah, kalau sudah 30 tahun bersama-sama, tetapi masih tidak faham-faham juga, apa ke ceritanya?
Khabarnya juga, kata Jamal, kalau dia berpindah ke syarikat rakaman baru, maknanya dia harus berdepan dengan mereka yang baru juga. Orang baru pula, pasti tidak berapa mengenali cita rasa atau budaya kerja penyanyi ini. Jadi, daripada mengambil risiko yang bukan-bukan, dia nekad untuk terus memperjuangkan seninya bersama syarikat berkenaan.
Tidak ramai penyanyi Malaysia yang mampu menyimpan kesetiaan terhadap syarikat rakaman mereka selama yang ditunjukkan oleh Jamal. Yalah, jangka hayat populariti artis lain pun belum tentu sepanjang kemasyhuran yang dicipta penghibur berusia 50 tahun ini. Sebahagiannya, baru keluar sebuah album, terus hilang entah ke mana.
Jamal pula, setiap kali naik ke pentas mengadakan persembahan, peminat masih terpaku menonton nyanyiannya. Suaranya tetap hebat seperti dulu. Biarlah apa juga yang terjadi kepada anak seni ini, dia nyata mampu untuk bangun kembali dan meneruskan karier muziknya dalam suasana lebih baik.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: