SUDAH lama Cik Normah merindui gemersik nyanyian penyanyi dari Kuching, Sarawak, Dayang Nurfaizah. Ada beberapa lagu terbaru nyanyiannya seperti Luka yang berkumandang di corong radio, namun entah kenapa, sengat lagu itu tidak sekuat ketika Dayang mempopularkan Seandainya Masih Ada Cinta, Hembusan Asmara dan beberapa lagu lain.
Cik Normah rindu Dayang menyanyikan semula lagu balada seperti itu. Sesekali tiada salahnya Dayang kembali menoleh ke belakang. Cik Normah percaya peminat masih menyokong Dayang kerana keunikan suara dan penyampaiannya yang tersendiri.
Cuma satu yang Cik Normah ingin memuji ialah kesungguhan Dayang untuk membawa karier nyanyiannya ke peringkat lebih tinggi.
Terbaru Dayang merakamkan single Lately, di mana projek ini menggabungkannya bersama 35 penyanyi berbakat daripada lima benua dan dipasarkan serentak dalam bahasa berbeza.
Cetusan idea daripada Global One Music ini akan dipasarkan di seluruh dunia, malah gabungan suara Dayang dan penyanyi terkenal lain dapat didengar menerusi single itu yang turut dirakamkan dalam versi ‘multimix’.
Lately versi Dayang memperlihatkan gadis bersuara serak dan lantang itu bekerjasama dengan Daly dari kumpulan hip hop popular, Ahli Fiqir. Daripada apa yang Cik Normah dengar single itu akan mula dimainkan Mei ini.
Artis antarabangsa yang turut serta dalam projek yang membawa slogan "Tiada pasport, tiada visa, tiada politik - hanya muzik" ini termasuk Ruth Sahanaya (Indonesia) dan Sonu Nigam (India).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: