Ameng |
LAMA juga Cik Normah tidak mendengar berita mengenai bekas vokalis kumpulan Spring, Ameng. Yalah, Cik Normah ini menikmati usia remaja pada ketika kumpulan itu meletup-letup di arena muzik tanah air. Kiranya, Cik Normah hafal hampir semua lagu popular mereka seperti Sampai Hati, Sejujur Mana Kata-Kata, Sejiwa, Bourgeinvilla dan banyak lagi.
Kumpulan itu sendiri pun sudah berusia dua dekad. Mereka sudah menjadi sebahagian daripada khazanah berharga dalam industri muzik negara. Jika tidak silap Cik Normah, kira-kira tujuh atau lapan album studio sempat dihasilkan kumpulan berkenaan.
Baru-baru ini, seorang teman Cik Normah yang semakin cantik khabarnya bertemu secara tidak sengaja dengan Ameng. Teman Cik Normah yang boleh tahan ‘gediknya’ itu pun mulalah buat PR apabila bersua muka dengan lelaki ini. Maklumlah, dia pun peminat setia Ameng.
Katanya, Ameng kini sedang menghasilkan album solo bersama syarikat rakaman FMC. Wah gitu! jadi, buat peminat penyanyi ini, mereka kenalah sabar sikit menunggu hasil terbaru daripada vokalis bersuara romantis ini. Khabarnya, album itu akan berada di pasaran sebelum penghujung tahun ini.
Nampaknya, FMC giat benar memperjuangkan nasib penyanyi ‘veteran’ yang mencipta nama sekitar 80-an. Selepas bekerjasama dengan Ramlah Ram, yang akan tampil dengan album solo terbaru pada Mei ini, kini mereka menghasilkan pula album Ameng.
Jay Jay juga sudah muncul dengan album solo, keluaran syarikat sama. Khabarnya, Noraniza Idris pun turut bekerjasama dengan FMC untuk penghasilan terbarunya. Kira-kiranya, meriah jugalah industri muzik kita hari ini dengan penampilan semula orang-orang lama yang bukan sebarangan bakatnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: