Tuesday, April 28, 2009

Dengarnya... Aizat terpilih ke Bulgaria


PADA 8 hingga 10 Mei ini, bekas peserta program realiti Akademi Fantasia (AF) yang terkenal dengan lagu Hanya Kau Yang Mampu akan berangkat ke Varna, Bulgaria untuk menyertai Festival Muzik Pop Antarabangsa Discovery ke-18.

Tahniah Cik Normah ucapkan kepada bintang baru seperti Aizat kerana mendapat kepercayaan untuk mewakili tanah air ke sebuah pertandingan berprestij.

Tahun lalu, juara AF musim kelima yang bertubuh genit, Mila diberi peluang ke sana dan ternyata penyanyi itu tidak mensia-siakan peluang berkenaan apabila berjaya menggondol anugerah Lagu Terbaik untuk lagu Ilham Di Matamu serta turut menerima Anugerah Khas Juri.

Mila berjaya menewaskan lebih 40 negara seperti Bulgaria, Sepanyol, Poland, Romania, Itali, Lithuania, Moldova, Uzbekistan dan banyak lagi negara lain sekali gus mengharumkan nama negara.

Cik Normah percaya, dengan bakat serta kebolehan mencipta lagu yang dimiliki Aizat, insyaAllah penyanyi yang semakin langsing itu bakal menurut jejak langkah Mila. Silap-silap hari bulan, Aizat boleh membawa pulang lebih banyak anugerah pada festival yang mula dianjurkan sejak 1992 itu.

Cik Normah bukanlah nak mendabik dada atau terlalu yakin, tetapi Cik Normah rasa Aizat tidak mempunyai masalah untuk menonjolkan persembahan yang hebat di sana nanti. Maklumlah anak muda yang hangat dikaitkan dengan pelakon Liyana Jasmay ni seorang penyanyi yang hebat.

Lihat saja pencapaian Aizat walaupun baru setahun jagung berkecimpung dalam industri seni suara, banyak kejayaan yang sudah dicatatnya antaranya penyertaan dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) baru-baru ini dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang mana namanya disenaraikan dalam kategori Top 5, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008.

Walaupun tak berjaya membawa pulang sebarang trofi, Aizat sudah membuktikan yang kehadirannya dalam persada muzik diterima. Malah dia juga mempunyai banyak peminat, Cik Normah yakin Aizat tidak akan mengecewakan harapan orang Malaysia.

Marilah kita sama-sama mendoakan kejayaan anak muda ini di Bulgaria nanti, semoga nama Malaysia akan terus gah di persada dunia. Bukan sekadar angan-angan kosong semata-mata!.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: