Tuesday, April 28, 2009

Dengarnya... Suramnya Bintang RTM


CIK Normah bukanlah berniat hendak menafikan kesungguhan RTM menganjurkan program berbentuk talentime seperti Bakat RTM (BRTM) yang sedang berlangsung sekarang.

Matlamat program itu memang bagus iaitu melahirkan bakat muda dalam bidang nyanyian. Malahan ia tidak berbeza dengan Akademi Fantasia (AF) di Astro Ria dan One In A Million (OIAM) di 8TV. Apa yang membezakan ialah cara persembahannya saja.

Pada Ahad lalu, atas cadangan kawan-kawan, Cik Normah menonton BRTM. Sebelum ini, memang Cik Normah sentiasa cuba meluangkan masa untuk menontonnya tetapi tidak berkesempatan.

Maklumlah hujung minggu selalunya Cik Normah ada macam-macam perkara yang hendak dibuat. Kalau ada masa memang Cik Normah nak juga tengok sendiri walaupun terpaksa memanjat bukit Angkasapuri yang boleh menjadikan tercungap-cungap dan berpeluh juga.

Cik Normah tidak boleh bias atau berat sebelah sebab sebelum ini diberitahu BRTM membosankan selagi belum menontonnya sendiri program itu.

Tapi sememangnya Cik Normah tak nafikan BRTM tidak jadi sebutan. Tidak mendapat perhatian macam program sepertinya di stesen TV lain. Bila Cik Normah tengok menerusi TV baru-baru, program itu nampak muram saja. Tiada daripada kebanyakan program hiburan lain terbitan RTM. Pencahayaan dan hiasan pentasnya juga nampak tak meriah.

Bagi Cik Normah, hiasan pentas dan pencahayaan penting sebab dari sinilah baru dapat membangkitkan suasana atau mood program ini.

Mungkin suasana itu berlainan kalau berada di Auditorium Angkasapuri, tapi BRTM disiarkan untuk ditonton menerusi TV.

Cik Normah rasa untuk menarik perhatian, bukan sekadar promosi dan publisiti saja, tetapi kemeriahan program itu sendiri juga penting. Bayangkan kalau kakitangan RTM sendiri pun macam kurang berminat untuk menonton BRTM, sebaliknya lebih mengikuti AF atau OIAM, apatah lagi dengan orang luar.

Buat masa ini, Cik Normah memang tidak kenal penerbit atau pengurus hiburan seperti mana mengenali orang yang sama di stesen TV lain untuk bertukar pendapat dan pandangan. Itulah yang menyebabkan program hiburan terbitan RTM kurang sikit berada dekat di hati.

Macam mana pun, Cik Normah haraplah supaya BRTM menjadi lebih baik bila masuk ke peringkat separuh akhir dan akhir nanti. RTM tidak boleh anggap Bintang RTM sekarang macam tahun 70-an hingga 90-an. Waktu itu memanglah BRTM jadi perhatian sebab tidak ada lagi atau tidak banyak program bercorak talentime diterbitkan.

Sekarang saluran TV sudah banyak dan mereka pun menerbitkan program seperti itu juga, malahan lebih baik dan menarik daripada RTM sendiri. Kalau BRTM asyik di takuk lama, kurang kreatif, susahlah!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: