![]() |
| CHANDRA mengakui nama besar Sheila banyak membantunya untuk album keduanya. |
JIKA sebelum ini Chandra Satria hanya setia berdiri di sisi pentas sebagai penyanyi latar kepada beberapa penyanyi terkenal Indonesia dan Malaysia, kini dia pula menjadi tumpuan utama.
Tidak lagi bergelar penyanyi latar sejak tahun 2007 setelah mengeluarkan album pertamanya yang berjudul Dari Hati Terdalam, Chandra ligat mempromosi diri dan albumnya.
Usahanya itu membuahkan hasil apabila di Indonesia namanya mula dikenali apatah lagi dalam album pertamanya itu, dia berduet dengan diva Indonesia, Ruth Sahanaya menerusi lagu Dari Hati Terdalam.
Terbaru, dia telah muncul dengan album kedua berjudul Ingat Diriku yang telah berada di pasaran Indonesia sejak Disember 2008.
Menggunakan formula yang sama seperti album pertamanya dengan menampilkan lagu duet bersama penyanyi yang memiliki nama besar, kali ini Chandra berduet dengan Datuk Sheila Majid menerusi lagu Ingat Diriku yang telah pun mula diputarkan di beberapa buah stesen radio tempatan.
Melihat kepada sejarah albumnya, Chandra sering kali berduet dengan penyanyi terkenal seolah-oleh mempergunakan mereka untuk mempopularkan dirinya.
![]() |
| |
Namun, Chandra mempunyai jawapan tersendiri mengapa dia memilih untuk berduet dengan Sheila dan Ruth Sahanaya.
"Saya bukan menggunakan mereka, itu tidak benar sama sekali. Sebelum saya menghasilkan album mereka sudah menjadi rakan saya dan saya mempunyai impian untuk berduet dengan mereka andai saya merakamkan album satu hari nanti.
"Jadi, bila peluang untuk membikin album ada, saya terus memikirkan untuk berduet dengan Ruth dan album kedua bersama Sheila. Ini umpama mimpi menjadi kenyataan bukannya menggunakan mereka untuk kepentingan sendiri," tuturnya yang juga seorang pereka hiasan dalaman.
Walaupun begitu, Chandra mengakui nama besar Sheila banyak membantunya melancarkan album keduanya.
"Saya akui nama Sheila besar dan itu banyak membantu terutamanya apabila saya mahu melancarkan single di Malaysia.
"Kalau ikutkan siapa saya, orang tidak kenal. Saya pun bersyukur kerana Sheila terus bersetuju apabila saya menyatakan hasrat untuk berduet dengannya tahun lalu," terangnya.
Hubungan rapat antaranya dan Sheila memudahkan proses rakaman lagu yang dilakukan di Studio Baby Boss, Petaling Jaya pada September 2008.
Bahkan, pengalaman bekerja dengan Sheila tidak akan dilupakan memandangkan Sheila banyak memberi panduan untuk menyanyi lagu duet tersebut dengan baik.
"Saya sangat senang bekerja dengan Sheila, saya telah mengikutnya buat persembahan sekitar Jakarta sejak tahun 200 lagi. Saya hormati dia kerana dia seorang yang sangat profesional, dia memang seorang diva," ujarnya yang juga penyanyi latar dalam album Anuar Zain.
Albumnya yang berkonsep pop jazz itu, akan dipasarkan di Malaysia tidak lama lagi. Menariknya, album tersebut akan mengandungi 14 buah lagu termasuk 10 lagu daripada album pertamanya.
"Album baru ini ada empat lagu sahaja, ia lebih kepada mini album dan untuk pasaran Malaysia saya gabungkan kedua-duanya sekali.
"Klip video lagu duet saya bersama Sheila telah pun siap dan akan disiarkan tidak lama lagi," katanya.
Penyanyi asal Padang, Indonesia ini berharap kehadirannya dalam industri muzik Malaysia diterima peminat kerana Malaysia bukanlah begitu asing baginya.
Malaysia sudah seperti rumah keduanya, kerana tuntutan kerja dia sentiasa berulang-alik antara Kuala Lumpur-Jakarta.
"Saya senang di sini kerana ramai teman, malah pernah juga buat persembahan di Alexis Great Eastern Mall, Ampang. Sambutannya menggalakkan dan berharap suatu hari nanti saya akan buat persembahan di sini bersama Sheila," luahnya.
Buat peminat yang ingin mendengar muzik dan mengenalinya dengan lebih dekat, anda bolehlah layari laman web, www.listentochandra.com.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: