|
|
SABAN minggu, pasti kedengaran keluhan pengkritik malah turut diulas pelbagai pihak termasuk penulis blog dan peminat mengenai ketidakpuasan hati mereka terhadap pemilihan lagu yang dinyanyikan oleh para pelajar di Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7).
"Mengapa diberikan lagu ini kepada pelajar itu?''; "Lagu tersebut tidak sesuai dengan vokal pelajar ini." atau "Pelajar ini akan nampak lebih bagus andai diberikan lagu lain."
Itu merupakan antara komen-komen yang dapat dipetik daripada mereka yang melihat perjalanan AF7 daripada minggu pertama sehingga kini.
Menerusi ruangan komentar yang ditulis oleh peminat AF di laman sesawang AF7 juga tidak kurang hebatnya mengkritik serta meminta pihak akademi 'mewarnai' konsert pada setiap minggu dengan lagu-lagu yang lebih variasi.
Melihatkan komen-komen tersebut, mungkin ada benarnya penjelasan mereka ini kerana tidak semua pelajar mampu untuk membawakan lagu rock dan tidak semua juga yang mempunyai kehebatan suara dalam menyampaikan lagu bercorak pop atau balada.
Pada minggu keenam contohnya, boleh dikatakan hanya Akim dan Aril sahaja yang dapat memuaskan penonton apabila diberikan tugasan menyanyikan lagu rock manakala pelajar lain, amat mendukacitakan.
Hafiz yang saban minggu mendapat sambutan dengan vokalnya yang mantap juga dilihat tenggelam tatkala menyanyikan lagu berjudul Pak Belalang nyanyian kumpulan Kristal. Begitu juga Claudia, Isma, Aishah, Yazid serta Qhaud.
Walaupun Claudia, Isma dan Aishah pernah mengharungi lagu-lagu rock ketika menyanyikan lagu Amy Search di minggu keempat, minggu ini mereka nyata tidak dapat menghayati elemen rock daripada Kristal serta Cokelat.
Tidak salah untuk mereka diberi pendedahan akan pelbagai jenis lagu tetapi biarlah bertepatan dengan keupayaan vokal serta imej masing-masing.
Menjawab mengenai komentar berkenaan, Pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina punyai alasan sendiri mengapa kehendak dan permintaan semua pihak mengenai pemilihan lagu bagi seseorang pelajar itu tidak dapat direalisasikan sepenuhnya.
Jelas Tiara, pemilihan lagu bukannya perkara mudah dan ia melibatkan banyak proses sebelum pelajar diberikan tugasan untuk menyanyikan sesebuah lagu.
"Proses itu antara lain melibatkan kebenaran daripada pemilik hak lagu yang kadang-kadang mengambil masa untuk diluluskan.
"Bekerja di bawah naungan produksi yang besar seperti Astro, banyak pula peringkat yang perlu dilalui sebelum senarai lagu itu dipersetujui.
"Di peringkat akhir sekali barulah lagu itu tiba di tangan pihak akademi,'' katanya ketika ditemui pada sidang akhbar sejurus selepas berakhirnya konsert minggu keenam AF7 di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam Sabtu lalu.
Ujar Tiara, ruang dan masa untuk akademi menyatakan pandangan atau bangkangan mengenai pemilihan sesebuah lagu itu agak terbatas ekoran kesuntukan masa.
"Kalau hendak bangkang dan minta tukar juga, kami terpaksa melalui proses pemilihan lagu daripada mula dan ia sememangnya tidak akan sempat.
"Kebiasaannya, pihak akademi akan mendapat lagu pada hari Isnin dan minus one lagu itu pada Selasa diikuti latihan (Rabu) dan Khamis adalah hari untuk proses sound check.
"Orang yang paling sibuk setiap kali terima lagu adalah Acis yang juga pengarah muzik AF7. Bayangkan bagaimana Acis akan bekerja andai lagu yang telah ditetapkan mahu ditukar pada saat-saat akhir,'' jelasnya.
Katanya, disebabkan proses yang cukup rumit itu, pemilihan lagu diserahkan sepenuhnya kepada pihak produksi manakala akademi mengambil jalan untuk memfokus kepada silibus pembelajaran dalam akademi.
Bagi Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul pula, meski pihak produksi diberi tanggungjawab dalam pemilihan lagu, ia juga membuka ruang kepada pihak akademi untuk memberikan cadangan melalui proses perbincangan.
"Pihak produksi tidak ada kuasa veto kerana pemilihan lagu turut membabitkan akademi,'' jelasnya.
Ketika ditanya soal ketidakadilan persembahan pelajar apabila sebahagiannya diberikan peluang bergandingan dengan penyanyi asal sesebuah kumpulan rock yang dibawa ke pentas untuk konsert di minggu keenam, Khairul berkata, ia adalah antara ujian yang harus dilalui setiap pelajar.
"Mengenai vokalis Lefthanded iaitu Nash, penyanyi itu sudah memaklumkan bahawa dia tidak dapat hadir dan begitu juga dengan Estranged atas sebab tertentu. Hal itu membuatkan Akim, Yazid, Qhaud, Aril terpaksa menyanyi seorang diri.
"Hanya yang dapat hadir adalah Lan daripada Kristal, bergandingan dengan Claudia dan Hafiz manakala vokalis Cokelat, Kikan pula bersama Isma dan Aishah,'' ujar Khairul.
Qhaud kempunan anugerah pelajar cemerlang
Sementara itu, konsert AF7 di minggu keenam menyaksikan Mohd. Qhauhd Abdul Rashid atau Qhaud tersingkir dalam meneruskan saingan merebut gelaran juara.
Tampil bertenaga membawakan lagu berjudul Seruan nyanyian Lefthanded sambil diiringi Man Kidal, Man Dayak dan Yan, namun, Qhaud terpaksa akur dengan sistem undian yang dilakukan penonton.
Menurut Tiara, penyingkiran Qhaud umpama satu 'kehilangan besar' kepada AF7 kerana jejaka berusia 25 tahun itu dilihatnya sebagai seorang pelajar yang baik dari segi karakter dan budi bahasa.
"Apa yang membuatkan saya terkilan, kami di akademi sebenarnya telah sepakat untuk memilih Qhaud sebagai penerima anugerah pelajar cemerlang bagi minggu ini.
"Tetapi, tidak sangka dia telah tersingkir. Pemilihan pelajar cemerlang itu dilakukan setiap minggu dan diundi oleh kalangan tenaga pengajar dalam akademi,'' jelasnya yang tidak dapat menahan air mata atas pengumuman penyingkiran Qhaud.
Ujar Tiara, ketiadaan Qhaud pasti terasa terutama pada setiap Sabtu tatkala dirinya dan pelajar lain berkumpul serta berdoa agar diberikan kekuatan untuk melakukan persembahan di konsert mingguan.
"Untuk pengetahuan semua, Qhaud adalah pelajar yang sentiasa mengetuai bacaan doa pada setiap minggu,'' katanya.
Dalam pada itu, Qhaud ketika ditemui berkata, diberi peluang untuk teruskan perjuangan atau tersingkir daripada AF7 adalah adat bertanding.
"Sudah tentu ada yang menang dan ada yang kalah. Juara hanyalah seorang. Apa pun, saya sudah lakukan yang terbaik dan berpuas hati dengan persembahan,'' ujarnya.
Jelas Qhaud, sebaik melepasi garisan sempadan akademi, dirinya akan berusaha untuk menjadi seorang penyanyi berkaliber dengan memfokus kepada lagu-lagu berunsurkan ketuhanan atau irama asli.
Kepada persoalan tentang minggu-minggu yang menjadi kenangan manis buatnya sepanjang berada dalam akademi, Qhaud berkata;
"Setiap minggu saya dapat belajar benda baru dan saya amat suka dengan minggu pertama kerana diberikan lagu Phoenix Bangkit nyanyian M. Nasir.
"Minggu keenam juga menjadi kenangan manis buat diri saya kerana dapat mengadakan persembahan bersama legenda rock tanah air iaitu Lefthanded.''
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: