Tuesday, April 21, 2009

Filem dan kisah wanita Lebanon

SINEMA Lebanon merupakan sebahagian daripada perkembangan sinema negara-negara Timur Tengah yang merangkumi negara-negara Arab dan negara-negara di Afrika Utara. Beberapa peristiwa besar dunia sebenarnya telah banyak mempengaruhi industri filem negara-negara di rantau tersebut, antaranya peperangan, kolonialisme, batasan-batasan yang ditetapkan oleh Islam, penguasaan Hollywood dan juga sensorsip.

Walaupun negara-negara di rantau ini kaya dengan tradisi kesenian dan penceritaan yang menarik, sebaliknya golongan tradisionalis mempunyai pandangan yang berbeza mengenai filem. Bagi mereka filem akan membawa kesan yang tidak baik. Walaupun Islam dianggap mempunyai pandangan yang berbeza tentang seni filem hingga membawa banyak larangan moral yang menjadi batasan dan memberikan impak tertentu kepada industri filem, tetapi Islam juga telah memberikan bentuk dan genre baru kepada seni filem Iran.

Di antara negara-negara Timur Tengah ini, selain Mesir, Lebanon mempunyai sejarah dan industri perfileman yang menarik dan pernah gemilang terutamanya pada dekad 1970-an. Dalam tempuh tersebut industri filem Lebanon mempunyai hubungan yang rapat dengan Hollywood. Malah sebelum meletusnya peperangan saudara (1975-1990), industri perfileman di Lebanon mempunyai peralatan dan kemudahan teknikal terbaik di rantau tersebut.

Perkembangan perfileman di Lebanon menyaksikan jualan tiket yang cukup baik hinggalah peperangan memusnahkan industri perfileman Lebanon. Selepas peperangan, beberapa pembikin filem Lebanon kembali ke Beirut untuk menghasilkan filem dengan mengambil Lebanon yang musnah oleh peperangan sebagai latarnya.

Antara pembikin filem tersebut adalah Jocelyn Saab yang menghasilkan filem Once Upon a Time, Beirut (1995), pengarah filem wanita yang cukup terkenal di Lebanon dan Ziad Doueiri, yang menghasilkan filem West Beirut (1998), sebuah filem yang melihat kesan peperangan Lebanon dari perspektif orang muda. Filem Ziad ini mendapat sambutan hebat di Lebanon tetapi sebahagian negara Arab melarang tayangannya kerana filem ini membincangkan isu seks dan agama secara terangan.

Nadine Labaki sebelum muncul sebagai pengarah merupakan seorang pelakon dan pengarah video muzik. Filem Caramel merupakan filem pertama arahan Nadine. Kemunculan Nadine Labaki sebagai pengarah memperlihatkan perkembangan yang cukup menarik kerana Lebanon juga telah menghasilkan sejumlah pengarah wanita yang berwibawa. Antaranya Jocelyne Saab, Joana Hadjithomas, Daniella Arbid, Leila Kanaan dan Randa Chahal (telah meninggal dunia). Filem-filem mereka menjadi perakam dan suara wanita Lebanon yang berhadapan dengan kesan peperangan atau cuba memberikan kritikan daripada perspektif wanita.

Filem Caramel (yang bermaksud sejenis manisan) dengan lakonlayar yang ditulis oleh Nadine Labaki dan Rodney Al Haddad secara simbolik cuba melepaskan diri daripada kesan peperangan dan sebaliknya mengangkat isu-isu universal yang lebih dekat dengan persoalan seharian yang dilalui oleh wanita Lebanon. Persoalan yang dibangkitkan berkisar tentang hubungan terlarang, tekanan seksualiti, kongkongan tradisi dan juga masalah wanita dan usia.

Pilihan banyak

Filem ini memberikan tumpuan kepada masalah Layale (Nadine Labaki) yang bekerja disebuah salon bersama Nisrine (Yasmine Al Masri) dan Rima (Joanna Moukarzal). Layale sedang terperangkap dalam hubungan dengan seorang lelaki yang telah berkahwin. Manakala Nisrine sedang merancang perkahwinannya, tetapi dia juga perlu berhadapan dengan adat masyarakat Arab yang tidak dapat menerima wanita yang melakukan seks sebelum nikah. Dan Rima pula membuat hubungan dengan seorang wanita lain sedangkan hubungan tersebut adalah tabu dalam masyarakat mereka yang masih kuat adat tradisi.

Seorang pelanggan yang sering ke salon tersebut iaitu Jamale (Gisele Aouad) yang bercita-cita menjadi aktres pula berhadapan dengan masalah usianya yang kian meningkat. Dan, Rose (Sihame Haddad) bekerja sebagai tukang jahit di kedai sebelah salon tersebut yang menghabiskan usianya untuk menjaga adiknya yang mengidap sakit mental.

Nadine Labaki sebagai penulis lakon layar dan juga pengarah filem ini cuba mengangkat secara mudah dan cukup sederhana permasalahan, kesukaran serta kepahitan wanita-wanita biasa Lebanon ini untuk berhadapan dengan realiti masyarakat Lebanon yang masih kuat adat budaya mereka. Mereka bercerita dengan ghairah sekali tetapi kepahitan tersebut berjaya dirakamkan dengan penuh emosi oleh Nadine Labaki.

Gambaran kepahitan yang dilalui oleh mereka dilengkapkan dengan sebahagian kota Beirut yang digambarkan tua dan lengang serta kering. Imej dan visual dalam filem ini melengkapkan perasaan dan apa yang diperkatakan oleh wanita-wanita ini.

Dengan kekuatan stail dan penceritaan dalam plot hubungan watak-watak wanita Lebanon yang biasa yang menceritakan derita masing-masing dan dilengkapkan oleh gambaran imej yang moodnya cukup terkawal, maka tidak hairan jika filem ini menjadi pilihan banyak festival filem, yang bermula di Festival Filem Cannes, 2007.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: