Thursday, April 16, 2009

Bukan lagi anak manja...Diana Danielle


BEBERAPA jam meninggalkan Kem Princess Haliza, Sepang, yang menjadi lokasi menjalani kursus Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), pelakon muda berbakat besar Diana Danielle, 18, mulai rindu suasana meriah dikelilingi rakan sebaya.

Sebagai anak tunggal, suasana sebegitu hanya dapat dirasai tatkala dia ke sekolah, selebihnya jika tidak menjalani penggambaran drama atau filem, dia dan ibunya akan meluangkan masa di rumah.

"Saya mula merindui kawan-kawan di kem. Mana tidaknya, setiap malam sebelum tidur kami akan berbual-bual berkongsi pengalaman.

"Hari pertama pulang ke rumah saya rasa sunyi. Tetapi yang seronoknya, dapat berbual dengan mama dan menceritakan pengalaman menarik yang saya lalui.

"Sebenarnya saya tidak pernah sangka dapat berjauhan dengan ibu dalam tempoh yang lama sebabnya dari kecil tidak pernah berpisah dengannya," katanya.

Diana yang muncul sebagai artis undangan sempena majlis eksklusif Lord's Tailor bersama 10 selebriti lelaki juga calon akhir Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008), yang diadakan di Olive, Hotel Genting, Ahad lalu, masih dalam tempoh kursus PLKN.

Bagaimanapun, atas permintaan penganjur, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) memberikan kebenaran pelepasan selama tiga hari bermula 11 hingga 13 April kepada Diana untuk persediaan menghadiri Anugerah ABPBH 2008 yang dilangsungkan di Arena Of Stars, Genting Highlands, Ahad lalu.

Apatah lagi, dia tercalon sebagai finalis Pelakon TV Wanita Popular bersaing dengan Abby Abadi, Rita Rudaini, Fasha Sandha dan Dynas yang muncul sebagai pemenang bagi kategori berkenaan.

Rancak berkongsi pengalamannya sebagai Timbalan Penghuluwati, Diana berkata, dia memikul tugas berat di mana harus memastikan setiap pelatih mengikuti arahan yang ditetapkan.

"Pada awalnya tidak mudah kerana ada antara pelajar yang cuba menguji kesabaran saya. Tetapi lama kelamaan semuanya berada dalam keadaan terkawal. Mereka mula memberikan kerjasama dan menghormati tugas saya.



"Tidak seperti mula-mula dulu, saya kini diterima seperti kebanyakan pelajar lain. Minggu pertama, jika ada yang menyapa saya untuk bergambar, sekarang tidak lagi. Saya tidak rasa seperti selebriti dan mampu menjalani tugas serta aktiviti dengan tenang.



"Sebulan mengikuti PLKN membentuk saya menjadi invididu yang berdisiplin. Dulu, bukan tidak berdisiplin tetapi sekarang tambah berdisiplin.

"Seawal jam lima pagi saya sudah bangun dan mengejutkan rakan-rakan. Selepas mandi, kami akan bersolat.

"Tidak kira yang beragama Islam mahupun bukan Islam semuanya akan bangun awal.

"Jam 6.20 pagi kami akan ke padang kawad untuk bersenam dan berkawad. Aktiviti di sana langsung tidak membosankan, baru-baru ini misalnya ada perlawanan antara divisi. Kemeriahannya sama saja seperti di sekolah, cuma bezanya tidak pulang ke rumah atau erti kata lain ibarat tinggal di asrama penuh," katanya.

Ditanya, selain menjadi perhatian di kalangan pelajar lelaki, mungkinkah jurulatih juga mengusiknya dengan selamba Diana menjawab, dia yang selalu mengusik mereka.

Berhubung pembikinan album dan tawaran lakonan, Diana memaklumkan, berkemungkinan besar sebuah filem bakal dijayakan pada September.

"Pembikinan album pula, buat masa ini terpaksa ditunda dulu kerana tidak mahu buat kerja separuh jalan. Selepas tamat kursus PLKN nanti, barulah saya memikirkannya," katanya.

Sementara itu, Norsiah Ramli, 45, mengakui berbangga dengan pencapaian Diana dan akuinya daripada seorang anak manja, Diana kini menjadi gadis yang cukup berdikari sejak mengikuti PLKN.

"Banyak perubahan yang saya lihat. Selain lebih matang, dia sekarang semakin berdikari. Dulu, kalau selepas makan dia biarkan pinggan di atas meja tapi sekarang, dia akan angkat ke dapur dan membasuhnya.

"Dia begitu bukan kerana manja, tetapi sejak dari kecil sudah dilatih sebegitu kerana kami ada pembantu rumah yang akan mengemas selepas makan.

"Tetapi saya perasaan sejak pulang, dia tidak lagi membiarkan pembantu rumah mengangkat pinggannya. Oleh kerana dia hanya mendapat pelepasan selama tiga hari, tidak banyaklah kerja yang dapat dilakukan.

"Saya pun faham dia mungkin kepenatan dengan aktiviti PLKN yang padat termasuk persediaan untuk ABPBH2008. Pun begitu, nampaknya dia gembira berada di sana.

"Banyak benda baru yang dilalui dan dipelajari. Semua itu tidak pernah terjangkau di fikiran saya, apatah lagi mempercayai dia berjaya mengatasi segala rintangan. Maklumlah, dia kan anak manja," katanya.

Norsiah menambah lagi, jika dulu Diana cukup cerewet terutama dalam bab pemakanan kerana hanya makan daging dan ayam, namun sejak mengikuti kursus berkenaan, dia mula mengambil hidangan protein yang lain seperti ikan dan makanan laut.

"Tengoklah badan dia, semakin berisi. Ingatkan tidak lalu makan rindukan kita, rupanya bertambah seronok di sana," seloroh ibunya.



Profil

Nama penuh: Diana Danielle Danny Beeson

Panggilan: Diana

Tarikh lahir: 22 November 1991

Zodiak: Sagitarius

Asal: Dilahirkan di Houston, Amerika Syarikat, namun dibesarkan di Kuala Lumpur sejak berumur dua tahun

Keluarga: Anak tunggal

Komersial: Lampin Merries (ketika berusia sembilan bulan), Milo, Telekom Malaysia (TM), Hazeline Snow dan Fair & Lovely

Antara Drama: Air Mata Maria, Janji Diana, Gol & Gincu The Series dan Farah Syakirah.

Filem: Idola (ketika berusia sembilan tahun), Evolusi KL Drift, Malaikat Maut, Bohsia (belum tayang) dan Setem (belum tayang).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: