Thursday, April 16, 2009

Interaksi: 'Peminat adalah majikan saya'


TANGGAL 12 April lalu, melakar sejarah manis buat Raja Pop unggul tanah air, Jamal Abdillah kerana menerima pengiktirafan tertinggi dalam sejarah kerjaya seninya apabila diangkat penerima Anugerah Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 edisi ke-22 sebagai menghargai jasa dan sumbangannya sebagai anak seni sejak 30 tahun lalu.

Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, dilahirkan pada 7 Mei 1959 di Teluk Intan, Perak.

Bakat besar Jamal mula digilap selepas menjuarai Bintang RTM 1979. Namanya mula mendapat tempat di hati peminat selepas kejayaan album sulungnya, Perpisahan Tanpa Relamu yang dihasilkan pada 1980 bersama syarikat rakaman Warner Music.

Sepanjang bersama syarikat rakaman itu, Jamal sudah menghasilkan 19 album dan semua album yang dihasilkan juga tidak pernah gagal di pasaran.

Antara album dihasilkan ialah Derita Cinta (1981), Hatiku Luka Kembali (1982), Layang-layang (1983), Mati Hidup Semula (1986), Untukmu (1988), Sepi Seorang Perindu (1989), Seniman Menangis dan Sendiri (1990), Jamal (1991), Penghujung Rindu (1994), Suratan Kasih (1996), Penawar Kasih (1997), Samrah Mentari (1998), Segala Cinta (2002), Raja Pop Kompilasi (2003), Aku Penghibur (2005), Raja Cinta-kompilasi (2006) dan Live Istana Budaya (2007).

Terkini, legasi anak seni versatil ini diteruskan dengan kemunculan bingkisan album terbarunya yang juga album ke-20 bersama Warner Music, Tak Hilang Cinta yang menjengah pasaran tempatan sejak 16 April lalu.

Ikuti temu bual wartawan Harian Metro, RAMLAH ZAINAL bersama Jamal yang mencecah usia 50 tahun bulan depan mengenai pengiktirafan yang diterima, perkembangan terkini kerjaya seninya sekali gus berkongsi suka duka sebagai anak seni sejak tiga dekad lalu.



SOALAN (S): Apa perasaan anda selepas menerima anugerah ini?

JAWAPAN (J) : Anugerah ini adalah pengiktirafan tertinggi dalam sejarah pembabitan saya yang sudah tiga dekad dalam industri seni. Ia cukup bermakna apabila akhirnya orang menghargai bakat saya selepas sekian lama menghambakan diri dalam bidang seni. Sebenarnya, saya tidak sangka orang nak menghargai saya kerana dari dulu sampai sekarang saya tidak pernah harap apa-apa penghargaan atau trofi. Saya juga ikhlas menjadi anak seni kerana menceburi bidang seni bukan untuk kejar glamor, populariti atau anugerah kerana saya percaya, selepas kita bekerja keras untuk menghasilkan yang terbaik buat peminat, glamor itu akan datang kemudian.


S: Apa cabaran paling besar anda hadapi sepanjang berkecimpung sebagai anak seni?

J: Sebenarnya, apa yang saya kecapi hari ini tidak mudah untuk dicapai kerana cabarannya juga sangat besar. Saya pernah mengalami kejatuhan dalam hidup sebelum ini, tapi saya melihatnya sebagai proses perjalanan hidup sebagai manusia biasa. Kehidupan juga memerlukan ketabahan, kesabaran dan sikap tidak kenal erti putus asa. Antara cabaran dihadapi untuk melupakan sejarah hitam dulu yang masih menghantui sampai sekarang. Maklumlah, saya baru mengamalkan cara hidup positif dua tiga tahun lalu kerana selama ini sudah puluhan tahun terbabit dengan gejala negatif (penagihan dadah).



S: Bagaimana pula pengorbanan yang anda lakukan sehingga mampu berada pada tahap sekarang?

J: Anak seni itu perlu sabar dan reda kerana mereka adalah hak masyarakat. Peminat (pendengar) adalah majikan kita kerana mereka adalah pembeli album. Menyedari diri adalah hak masyarakat, saya sanggup berkongsi apa saja dengan peminat termasuk cerita negatif, positif atau peribadi dari dulu sampai sekarang. Saya jujur dengan peminat sebab itu mereka masih sayang dan menyokong kerjaya seni sampai hari ini sekalipun ada sejarah hitam dulu.



S: Kekuatan utama anda sebagai anak seni?

J: Kekuatan itu sebenarnya datang dari dalam diri sendiri. Selain itu keinginan, minat serta tidak putus asa dalam hidup.

Malah, saya pernah jatuh dulu, tetapi kerana cinta yang mendalam dalam bidang seni, saya bangkit kembali untuk membina hidup baru dan mendapat semula kepercayaan peminat.



S: Pernah terfikir untuk bersara dan memberi laluan kepada muka baru?

J: Saya akan terus menyanyi selagi masih bernafas di dunia ini. Saya juga berdoa semoga Tuhan memberikan kesihatan yang baik untuk terus memberi sumbangan kepada bidang seni.



S: Apa perkembangan terkini kerjaya seni sekarang?

J: Buat masa ini saya fokus pada promosi bingkisan album baru yang dilancarkan baru-baru ini. Saya juga akan menjayakan konsert rock rohani `Malam Seribu Karya' di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor 18 April nanti. Memang saya berminat untuk mempromosikan album baru ini di serata tanah air, tapi semuanya masih dalam perancangan syarikat rakaman, Warner Music yang akan menguruskannya. Saya akui sudah lama tidak buat sesi bertemu peminat di luar Kuala Lumpur.



S: Dalam zaman kegawatan ekonomi ini, syarikat rakaman yang berfikir banyak kali untuk buat sesi bertemu peminat untuk mempromosikan album artis mereka di serata tanah air kerana memikirkan bajet besar yang terpaksa dikeluarkan? Adakah syarikat rakaman anda menghadapi masalah sedemikian?

J: Saya difahamkan syarikat rakaman saya tidak ada masalah untuk buat sesi jelajah saya bersama peminat di luar Kuala Lumpur kerana sebagai penyanyi yang sudah ada nama, saya mempunyai peminat setia yang menyokong kerjaya seni sejak dulu. Begitu juga dengan penjualan album, setakat ini sambutannya menggalakkan dan ia tidak terjejas pada zaman kegawatan ekonomi ketika ini.



S: Selain album, ada perkembangan terbaru konsert solo anda di Istana Budaya (IB) yang diuar-uarkan sebelum ini?

J: Konsert ini dianjurkan syarikat sendiri dan mendapat kerjasama dengan IB. Konsert secara besar-besaran, berjudul Kembara Seni (Seniman) Jamal Abdilah yang akan berlangsung pada 5 hingga 9 Ogos nanti di IB. Bagaimanapun, kami masih mencari penaja sama ada dari syarikat korporat mahupun swasta yang berminat untuk membiayai konsert ini nanti kerana kami memerlukan bajet sebanyak RM200,000.



S: Ramai artis yang ada nama besar pun sukar untuk mendapat penaja bagi menjayakan konsert mereka. Justeru, jika tidak dapat penaja anda masih ingin meneruskan konsert ini?

J: Konsert ini adalah impian saya sebagai anak seni. Jika kami gagal mendapatkan penaja korporat untuk konsert ini nanti, saya juga sanggup menggunakan duit simpanan sendiri semata-mata untuk merealisasikan konsert ini nanti.



S: Mungkin anda terfikir untuk berkahwin lagi selepas bercerai?

J: Mungkin dulu saya yang mencari jodoh, tetapi sekarang fokus saya pada bidang seni. Jika saya tidak boleh menjaga diri sendiri, bagaimana saya ingin menjaga orang lain?. Kesian jika orang lain menjadi mangsa nanti. Soal jodoh ini ketentuan Tuhan. Soal sama ada saya ingin rujuk kembali dengan bekas isteri, Fatimatuzahra Samad, 26, biarlah masa yang akan menentukannya. Buat masa ini, keluarga saya adalah Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) yang sentiasa mengambil berat kebajikan saya sampai sekarang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: