Thursday, April 16, 2009

BORAK LOKASI: Wawa fokus solekan kesan khas


TIDAK seperti di Hollywood yang mempunyai kemudahan solekan kesan khas berteknologi tinggi, kebanyakan jurusolek di negara ini masih bergantung kepada cara 'manual'.

Dengan menggunakan bahan mentah seperti tepung, tisu, gam dan sirap sebagai asas dalam solekan kesan khas, proses ini menuntut kreativiti yang sangat tinggi daripada jurusolek.

Alias Mohd Zain, 38, atau mesra disapa Wawa berkata, meskipun Ewah Ewah hanyalah program 'game show', tema diperkenalkan pada setiap episod memberi cabaran kepadanya.

"Seperti yang diketahui penonton, Ewah Ewah bukan program 'game show' biasa kerana ia mempunyai tema pelbagai. Contohnya episod pontianak dan warga emas yang memerlukan saya menggunakan solekan kesan khas supaya wajah pengacara kelihatan menyeramkan selain kelihatan tua.

"Dengan bahan solekan yang terhad saya perlu menggunakan kreativiti supaya sentuhan itu tampak 'asli'. Pes sirap misalnya, digunakan sebagai darah, tisu yang dicampur gam pula untuk kulit menggelupas.

"Walaupun ia satu proses yang rumit, namun secara peribadi, saya lebih suka menghasilkan solekan yang artistik dan berkarakter daripada solekan cantik kerana ini lebih memberi kepuasan dan cabaran.

"Kebetulan, bidang ini di Malaysia belum diterokai sepenuhnya kerana jelas sekali bilangan jurusolek kesan khas di Malaysia sangat kecil," katanya.

Cabaran lain yang harus dipikulnya dalam program ini, dalam satu hari dia perlu menyolek pengacara berulang-kali mengikut karakter berbeza-beza dalam masa yang singkat.

"Tiga atau dua episod dirakamkan pada hari sama bermula awal pagi sehinggalah malam. Justeru, selesai saja rakaman setiap episod, saya perlu menukar semula solekan serta rambut mereka sebelum kembali menyolek mengikut tema seterusnya," katanya.

Menjawat jawatan sebagai Eksekutif Kanan Make Up & Wardrobe di TV3, terdapat 20 kakitangan tetap dan sambilan yang bernaung di bawah Wawa.



Lebih 10 tahun berkecimpung dalam bidang solekan, Wawa yang meminati dunia kecantikan sejak bersekolah menengah sudah melaburkan lebih RM60,000 untuk membeli segala keperluan alat dan perkakas solekan daripada pelbagai jenama terkenal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: