Thursday, April 16, 2009

Galak hasil dokumentari


BUAT julung kalinya, Festival Filem Dokumentari Malaysia diadakan serentak dengan penganjuran Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) yang akan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 hingga 8 Ogos ini.

Di samping memeriahkan acara FFM22 yang menobatkan karya seni tempatan, usaha menganjurkan festival berkenaan adalah bagi menggalakkan penghasilan dokumentari.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Mohd Mahyidin Mustakim berkata, selaku penganjur festival, pihaknya berharap dapat mencungkil bakat dan idea baru demi menghasilkan karya dokumentari bermutu untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa.

"Kami menerima sambutan menggalakkan selepas memberi tumpuan kepada penghasilan kategori dokumentari tahun lalu. Seramai lebih 100 penyertaan diterima dan kebanyakannya dihasilkan karyawan luar negara.

"Penghasilan dokumentari mempunyai banyak definisi. Kewujudan festival ini diharap dapat memenuhi hasrat untuk membawa karya tempatan ke peringkat antarabangsa dari kaca mata rakyat Malaysia sendiri. Dokumentari berkualiti tinggi dan dikenali pasti antara karya yang boleh dijual menerusi pasaran antarabangsa.

"Ia juga sebahagian daripada usaha meningkatkan teknologi penerbitan, selain menonjolkan budaya masyarakat tempatan ke luar negara di samping menjual produk Malaysia di pasaran antarabangsa," kata Mahyidin ketika ditemui pada majlis pelancaran festival itu dan penyampaian duti hiburan di Finas baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Finas, Mohd Zulkifli Ab Wahab, wakil Ketua Jabatan dan agensi di bawah kementerian dan karyawan seni tempatan.

Kata Mahyidin, festival berkenaan dijadualkan menjadi acara tahunan Finas selaras dengan penganjuran siri Festival Filem & Video Pelajar Malaysia, Festival Filem Malaysia dan Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur.

"Antara langkah penting dalam melaksanakan program ini ialah mewujudkan kerjasama bersama beberapa produksi antarabangsa seperti saluran National Geographic dan saluran Discovery.

"Malah kami turut memperuntukkan sejumlah RM4 juta bagi program Pembangunan Filem Dokumentari Malaysia Ke Persada Dunia bertujuan mencari 13 dokumentari berdurasi 30 minit dan 13 cerita 60 minit dengan tajuk berbeza," katanya.



Langkah penganjuran festival itu adalah sebahagian daripada strategi pembangunan tenaga kerja industri dalam tempoh jangka panjang. Usaha menggalakkan orang ramai menyertainya disemarakkan lagi dengan tawaran hadiah keseluruhan bernilai RM50,000.



Anugerah Cipta Filem Dokumentari Terbaik Festival Filem Malaysia sebagai anugerah tertinggi yang membawa pulang RM10,000, trofi, sijil penghargaan serta dana penerbitan daripada Finas. Turut dipertandingkan bagi kategori utama ialah dokumentari berbentuk ilmiah dan sejarah, kesenian dan kebudayaan, alam semula jadi dan pelancongan, isu semasa dan kemasyarakatan. Masing-masing menawarkan RM5,000, trofi dan sijil penghargaan.

Manakala Anugerah Pengarah Terbaik, Sinematografi Terbaik, Skor Muzik Terbaik dan Penyunting Terbaik akan menerima RM3,000, trofi dan sijil penghargaan sementara dua Anugerah Khas Juri menerima trofi serta sijil penghargaan.

Pada majlis sama pihaknya turut menyerahkan Duti Hiburan Filem Tempatan dari November 2008 hingga Februari 2009 berjumlah RM1.6 juta kepada 11 syarikat filem bagi 17 filem. Antara penerima tertinggi ialah Kru Communications Sdn Bhd menerusi filem Cicak-man, Cicak-man 2: Planet Hitam dan Duyung sejumlah RM544,927, MIG Production Sdn Bhd menerusi filem I'm Not Single dan Congkak (RM483,760.40), Tall Order Production Sdn Bhd filem Cuci (RM273,877.60).

Turut menerima sumbangan, Primeworks Studio Sdn Bhd menerusi filem Gong, Susuk, Sepi dan Nana Tanjung (RM115,615.10), Skop Production Sdn Bhd untuk Evolusi KL Drift (RM107,240.30), Box Lite Filem Sdn Bhd filem Anak (RM50,048.60) serta Pyramid Saimira Theatre Chain (M) Sdn Bhd untuk Cinta U-Turn (RM36,312).

Filem Akhirat terbitan Sri Saheb Production Sdn Bhd (RM33,563.50), 1957-Hati Malaya terbitan Pesona Pictures Sdn Bhd (RM24,904.35), Sumolah terbitan Vision Works (M) Sdn Bhd (RM6,789.60) dan Diva oleh Astro Shaw Sdn Bhd (RM1,363.60).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: