KALAU disebut mengenai penyanyi wanita ini, Papa memang cukup kagum dengannya.
Bakatnya memang boleh disifatkan sebagai luar biasa dan memiliki kelas tersendiri.
Sebagai salah seorang peminat, Papa sangat merindui untuk mendengar lagu-lagu terbarunya.
Berita terbaru yang sampai ke telinga Papa menyebut, dia kini sibuk di dalam studio untuk rakaman album terbarunya yang dikhabarkan akan berada di pasaran sebelum hujung tahun ini.
Bagaimanapun, dalam keadaan sekarang, seperti yang kita semua tahu keadaan ekonomi negara tidak begitu memberangsangkan.
Kerana itu ramai yang berhadapan dengan masalah termasuk golongan artis.
Tetapi tidak semua artis terkena tempias kegawatan kerana mereka yang popular dan terbaik masih lagi menjadi kepercayaan penganjur yang mahukan khidmat mereka seperti Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain dan Mawi.
Mana yang tidak ada persembahan pula, inilah masanya untuk meneroka cabang lain.
Ada yang jadi pengacara, pelakon dan ada yang buka bisnes sendiri.
Penyanyi yang Papa maksudkan ini pun mula berjinak-jinak menjadi seorang pelakon dan filemnya pun sudah ditayangkan.
Lakonannya dalam filem itu mendapat pujian ramai dan ramai mengatakan dia mempunyai bakat lakonan semula jadi.
Dia juga beruntung apabila filemnya itu diarahkan oleh pengarah yang cukup disegani.
Dulu, dia pernah mencipta kontroversi kerana tidak mahu membintangi sebuah filem arahan pengarah berkaliber sehingga ada yang kata dia lupa diri. Biarlah, itu cerita lama.
Cuma, Papa sedikit kesal apabila penyanyi ini mencalar kredibilitinya apabila membintangi sebuah program yang cukup dikenali sebagai program yang langsung tidak mencabar minda penonton.
Papa memang geli dan jelik dengan program ini dan tidak pernah langsung menontonnya.
Entah bagaimana, hari itu Papa terbuka saluran yang menayangkan program itu. Alangkah terkejutnya Papa apabila melihat penyanyi ini membintangi rancangan itu.
Terdesak sangatkah penyanyi itu sampai sanggup berlakon dalam rancangan itu?
Memanglah dalam zaman tengah gawat ni, tidak boleh terlalu memilih tetapi agak-agaklah.
Awak itu dah dikenali sebagai antara penyanyi terbaik negara dan mula membina sebagai seorang pelakon yang baik.
Tiba-tiba saja berlakon dalam rancangan murahan seperti itu. Tolonglah. Jangan jatuhkan reputasi anda.
Fikir-fikirlah sebelum menerima sebarang tawaran. Jangan sampai nanti peminat lari pula.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: