Wednesday, April 22, 2009

Usaha angkat lagu Melayu klasik


CHUARI Selamat (berdiri tujuh dari kiri) bersama tenaga kerja dan kumpulan promosi pertandingan Bintang Klasik Nasional (BKN) di majlis suai mesra BKN 2009 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


PENGANJURAN pertandingan Bintang Klasik Nasional (BKN) kini memasuki tahun ketiga penerbitannya.

Dimulakan sejak dua tahun lalu, RTM berpendapat, usaha memelihara lagu-lagu khazanah Melayu itu wajar diteruskan.

Justeru, stesen radio Klasik Nasional selaku penganjur bersama Unit Hiburan Radio RTM mengambil inisiatif kembali untuk musim ketiga dengan umur penyertaan peserta diturunkan daripada 18 tahun kepada 16 tahun.

Menurut Pengawal Radio Klasik Nasional, Chuari Selamat, rasional membuka peluang kepada remaja bermula usia 16 tahun menyertai BKN bertujuan mengajak generasi muda menghargai karya klasik.

"Sebelum ini, BKN dibuka kepada mereka yang berumur 18 hingga 35 tahun. Ramai yang dakwa BKN pertandingan untuk orang tua sahaja.

"Oleh itu, kami ubah syarat dengan harapan mampu mengubah persepsi terhadap BKN.

"Generasi muda perlu didedahkan dengan lagu-lagu Melayu klasik kerana mereka merupakan kesinambungan kelangsungan hayat lagu tersebut," katanya ketika ditemui media pada majlis suai mesra BKN di Kelab Kilat TNB, Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Chuari, sepanjang pengalaman mengendalikan BKN, sambutan yang diberikan amat menggalakkan terutama peserta dari Sabah dan Sarawak.

"Kedua-dua negeri ini mempunyai bakat-bakat besar dalam bidang nyanyian. Oleh sebab itu, kita perluaskan lokasi uji bakat di Sabah dan Sarawak di hampir setiap bahagian.

"Sambutan di negeri-negeri lain juga bagus sehingga memaksa kami memasuki ke daerah-daerah bagi memberi peluang kepada mereka yang tidak berkesempatan menghadiri uji bakat yang kebanyakannya diadakan di kawasan bandar,'' ujarnya.

Katanya, untuk menyertai BKN, pemilihan lagu adalah daripada lagu-lagu Melayu klasik yang berkembang pada era 1965 dan sebelum itu.

Ditanya tentang perkembangan terkini radio Klasik Nasional, Chuari memberitahu, stesen itu berjaya mencatat jumlah pendengar sebanyak 1.5 juta orang pada tahun lalu yang disifatkannya sebagai pencapaian hebat.

"Bukan sahaja pendengar tempatan, Klasik Nasional juga mendapat sambutan baik di kalangan pendengar di Singapura.

"Mencecah 1.5 juta pendengar sesuatu yang membanggakan kerana ada juga stesen radio swasta yang tidak mampu untuk memperoleh jumlah berkenaan,'' katanya.

Ujar Chuari, sehingga kini, Klasik Nasional telah mengumpul lebih 2,000 buah lagu-lagu Melayu klasik yang kesemuanya disimpan di arkib RTM.

Lagu-lagu itu, jelasnya, ada yang turut disumbangkan kepada RTM oleh pengumpul lagu-lagu Melayu klasik.

Sementara itu, salah seorang juri BKN 2009, Mohd. Anip Majid berkata, untuk sesi uji bakat, pemarkahan sebanyak 100 peratus diberikan kepada spesifikasi kualiti nyanyian.

Katanya, alasan 100 peratus penilaian terhadap kualiti nyanyian adalah untuk memastikan peserta yang dipilih adalah benar-benar mampu menyanyikan sesebuah lagu dengan baik.

"Itu untuk sesi uji bakat sahaja. Apabila peringkat akhir nanti, kita bukan sahaja menilai kekuatan vokal sebaliknya penampilan dan persembahan akan turut dinilai sama,'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: