|
PENYANYI jadi pelakon sudah menjadi lumrah sekarang apatah lagi ketika kegawatan ekonomi, tawaran menyanyi berkurangan. Untuk kelangsungan hidup ada penyanyi lakukan kerja lain seperti berlakon dan mengacara. |
Tidak dinafikan ada antara mereka kini lebih dikenali sebagai pelakon berbanding kerjaya asal. Sekadar merujuk beberapa nama seperti Aqasha, Elly Mazlein, Farahdhiya, Ifa Raziah, Maya Karin dan Yusry Abdul Halim. Malah ada juga pelakon membabitkan diri dalam dunia seni suara.
Tidak terkecuali, vokalis kumpulan Sofaz, Are Meer atau nama sebenarnya, Amir Mahiyidin, 26, yang mula membabitkan diri dalam lakonan. Are Meer yang popular menerusi lagu Bukan Di Sini, baru saja selesai menjalani penggambaran telefilem Sampai Syurga arahan Along Kamarudin.
Are Meer berkata, dia melalui satu pengalaman menarik sepanjang penggambaran telefilem itu. Dia yang membawa watak Ayie, wartawan dalam drama yang berkisar kepada liku kehidupan seorang gadis, Saniah lakonan Elly Mazlein dalam mengejar impian bergelar penyanyi terkenal.
"Memang seronok dapat menjadi sebahagian daripada pelakon yang menjayakan telefilem ini. Dalam drama itu, saya bawa peranan sebagai wartawan. Memang cabarannya cukup besar.
"Sebagai wartawan, saya perlu mendukung watak berkenaan dengan serius. Saya tidak boleh ambil mudah peranan yang diberikan. Apatah lagi saya masih baru dalam bidang lakonan. Begitupun, saya tetap cuba melaksanakan tanggungjawab yang diberikan sebaik mungkin," katanya.
Sebelum ini dia pernah terbabit dalam pementasan teater Stefani di bawah bimbingan Fauziah Nawi sekitar 2002. Bagaimanapun, kerana terikat dengan jadual rakaman di studio dia terpaksa melupakan pembabitan dalam teater itu.
Biarpun wataknya tidak besar dan hanya muncul dalam tempoh singkat, sekurang-kurangnya ia memberi sedikit ilmu lakonan kepadanya.
"Ini kali pertama saya berlakon dengan rakan seperti Aqasha, Elly (Mazlein) dan pengarah Along (Kamarudin). Mereka banyak memberi bimbingan kepada saya ketika terbabit dalam penggambaran telefilem ini. Elly sendiri seorang yang rendah diri dan banyak memberi galakan kepada saya untuk menjiwai watak.
"Malah kru produksi yang terbabit juga banyak membantu. Saya tidak berdepan banyak masalah ketika sesi penggambaran. Along sendiri banyak memberikan tunjuk ajar. Selain berbincang, saya juga banyak bertanya dan mendapatkan pandangan daripadanya," katanya.
Walaupun diberi watak pembantu, ia tetap satu penghargaan baginya. Malah seperti nyanyian, dia turut menyimpan impian untuk mencuba pelbagai watak.
"Dengan bakat yang ada, saya tidak menolak jika diberi peluang. Kalau boleh, saya mahu melakonkan semua watak walaupun watak lelaki lembut sekalipun. Sekurang-kurangnya apa yang cuba ditampilkan memberi mesej tersendiri selain memenangi hati penonton," katanya.
Apapun kata Are Meer, penggambaran drama lebih memenatkan berbanding menyiapkan rakaman lagu untuk album. Biarpun penat, dia tetap gembira dan puas walaupun pernah dimarah ketika berada di lokasi penggambaran.
Mengenai perkembangan nyanyian, Are Meer masih aktif memenuhi undangan menjayakan persembahan bersama kumpulannya.
Selepas meledak menerusi album kedua, Janjiku, kumpulan bernaung di bawah syarikat rakaman Suria Records (SRC) itu kini mempertaruhkan dua lagu single, Kamu dan Dirinya serta Hingga Hujung Pernafasan Langitku ciptaan kumpulan itu.
Selain Are Meer, kumpulan yang pernah menjulang trofi Artis Berkumpulan/Duo Popular Anugerah Planet Muzik (APM) di Singapura 2007 turut dianggotai pemain gitar, Wan Shahbaharin Niktah (Shah), Ahmad Fairouz Mohammad (Fairouz/ bass), Wan Shah Baharom Niktah (One/ dram), Zarimi Zahari (Zimi/ vokal/ gitar kedua) dan Rodie Jamun (Rodie/ keyboard).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: