Tuesday, April 28, 2009

'Didikan' SPM mantapkan 3 pengacara


PENYAMPAI menggalas tanggungjawab besar dalam memastikan program dikendalikan berjaya. Bagi tiga penyampai program Selamat Pagi Malaysia (SPM), Nor Iesyatirradiah Sanny Toh atau Iesya, Edlynna Hanie Abu Hamid (Hanie) dan Hisham Salleh, mereka berpendapat tugas mengacara memberi cabaran mendalam apatah lagi diberi kepercayaan mengendalikan program secara langsung.

Berbanding dua pengacara senior, Hisham menganggap dia bertuah kerana lebih setahun berkhidmat bersama RTM sudah mendapat peluang keemasan menemu bual Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secara eksklusif menerusi program Nota Serah Tugas Perdana Menteri.

Katanya, kesempatan itu dimanfaat sebaik mungkin dan menjadi antara pengalaman berharga yang sukar dilupakan.

"Saya mendapat peluang mengendalikan dua program khas bersama Perdana Menteri baru termasuk program dokumentari Eksklusif Bersama Perdana Menteri. Ketika mula ditawarkan peluang ini, saya juga terfikir sama ada orang baru seperti saya layak mengambil cabaran besar ini.

"Gemuruh tetap ada, tetapi saya menganggap ini cabaran yang perlu saya pikul. Seperti yang kita ketahui pelantikan Perdana Menteri baru ini adalah sejarah pada negara dan saya juga melihat tanggungjawab kali ini juga menjadi sejarah kepada diri sendiri.

"Mengenai kedua-dua program khas itu, saya bersyukur kerana segalanya berjalan lancar. Malah, Perdana Menteri juga memberi kerjasama yang baik dan program itu berjaya disempurnakan.

"Sebelum menyertai SPM, saya pernah menimba pengalaman berlakon. Melalui agensi bakat yang saya sertai, RTM kemudian panggil saya hadiri uji bakat sebagai penyampai. Kini, saya bertanggungjawab mengendalikan program SPM dan Biz Malaysia. Terdahulu, saya pernah mengacara program Isu@1, Bicara Siswa dan Dari Parlimen.

"Pada saya, pengalaman menjadi pengacara adalah suatu yang sangat bernilai kerana bukan semua pengacara mendapat peluang seperti yang saya peroleh.

"Dalam menimba lebih banyak pengalaman baru, saya bersikap terbuka, bersedia menerima apa jua arahan daripada pihak atasan dan memberikan hasil kerja yang terbaik," katanya.

Hisham, 28, berasal dari Miri, Sarawak turut menilai tanggungjawab mengacara sebagai penghormatan kepada diri. Graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ini mula menunjukkan minat mengacara sejak peringkat sekolah menengah hingga universiti.



Katanya, beza pengalaman sebelum ini, dia tidak mengacara depan kamera, tetapi kali ini makin mendalami bidang pengacaraan secara profesional.



Pasangan penyampai Hisham, Hanie yang bertugas bersama pada Rabu dengan tema Seni Dan Budaya, turut berkongsi pengalaman menarik apabila mula berkecimpung dalam bidang pengacaraan sejak usia 16 tahun.

Katanya, selepas menyertai Pertandingan Bintang Gala 2 bersama penyanyi Nur Fatimah, Dia Fadila dan Azharina Azhar, dia mendapat peluang mengacara program kanak-kanak, Bintang Kecil pada 1999.

Di sebalik pengalaman mengacara, Hanie, 27, juga mempunyai bakat menyanyi yang diwarisi daripada ibunya, Datuk Yusni Hamid. Selain berbakat mengacara dan menyanyi, dia juga pernah berlakon dalam beberapa drama TV seperti Mahligai Gading, Gendang Kencana dan Spanar Jaya.

Antara tiga bidang seni yang diceburi, Hanie mengatakan mahu seimbang dan bergerak seiring.

Katanya, pengalaman mengacara SPM lebih serius kerana banyak memfokuskan isu semasa.

"Dulu, mengacara lebih santai hinggakan saya terpaksa ambil masa setahun untuk sesuaikan diri. Selain SPM, saya juga mengacara program Fitrah Kasih.

"Pada kesempatan masa lapang, saya turut mendapat peluang mengajar aspek praktikal mengenai penampilan depan kamera terhadap beberapa anggota kerajaan. Hingga kini, saya masih menyanyi, tetapi fokus utama tetap pada pengacaraan," katanya.

Bagi Iesya, 26, pengalaman di SPM sejak 2004 banyak mengajarnya lebih berani di depan kamera dan mempertingkat kemahiran diri. Seperti Hanie, dia mengakui bertuah kerana SPM membantu promosi dirinya sebagai penyanyi.

Bakal tampil dengan single baru, Semanis Janji pada penghujung bulan ini, dia turut mengendalikan program pelancongan, Hujung Minggu Malaysia (HMM).

"Untuk bahagikan masa antara dua kerjaya ini bukan susah kerana saya hanya mengambil peluang membuat persembahan pada hujung minggu. Berbanding SPM yang menjemput tetamu di studio, saya berpeluang melancong ke destinasi menarik menerusi HMM.

"Kedua-duanya memberi keseronokan kepada saya dalam menimba pengalaman mengacara. Bersama SPM, sebenarnya saya gembira kerana program itu banyak membantu mempromosikan saya hingga dikenali di Singapura.

"Menjelang Hari Ibu bulan depan, saya sudah mendapat tawaran untuk persembahan dan akan terbabit dengan program Sensasi TV di negara itu.

"Baru-baru ini, saya juga mendapat empat tawaran berlakon, tetapi terpaksa ditolak kerana jadualnya bertindan dengan masa mengacara. Jika ada kesempatan, saya masih berminat untuk berlakon, tetapi buat masa ini, komitmen saya tertumpu pada mengacara dan nyanyian," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: