Thursday, April 23, 2009

Ambil masa enam bulan

Pada ukuran sembilan meter, replika sebenar anak ikan paus biru berusia dua bulan, berjaya menambat hati si kecil dalam mendidik isu pemuliharaan hidupan marin.


KARAKTER putih pada bahagian atas badan ikan paus itu dilukis dengan berus dan berus sembur bagi memperoleh efek realiti.


MALAYSIA adalah satu-satunya negara yang dilawati oleh Dr. Bruce Mate di rantau Asia Tenggara bagi berkongsi pengalamannya bersemuka dengan ikan paus biru dengan orang awam terutamanya generasi muda. Selepas mengembara lebih 25 jam dalam kapal terbang, Dr. Mate, seorang pakar ikan paus dari Amerika Syarikat, meluangkan masa bagi menjayakan dua sesi perbincangan khas yang dianjurkan oleh saluran televisyen satelit, Astro.

Sambil melawat replika anak ikan paus biru bersaiz sebenar yang dipamerkan di Atrium Timur, pusat beli-belah Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur sehingga 13 April lalu, beliau mengajar kanak-kanak supaya mencintai hidupan marin terutamanya ikan paus biru sebelum mamalia itu lenyap selama-lamanya.

Adik-beradik Esther Lee, 10, dan Emylyn Lee, 8, mereka melahirkan rasa kecewa kerana haiwan terbesar itu dibunuh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Saya sedih mendengar ikan paus biru dibunuh sewenang-wenangnya," ujar Esther yang turut menyertai pertandingan mewarna ikan paus biru.

Ishan Gupta, 6, dari India yang datang bersama ibu bapanya menunjukkan sokongan dengan membeli koleksi terhad cenderahati ikan paus biru. Sebahagian daripada sumbangan itu akan disalurkan kepada Pertubuhan National Geographic bagi membantu ekspedisi saintifik lain.

Dalam pada itu, replika anak ikan paus betina berusia dua bulan itu dibina di Australia oleh sekumpulan pembuat model profesional. Ia mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan sepenuhnya. Replika itu berukuran sembilan meter panjang dan dua meter lebar.

Kerja-kerja membuat replika itu menghadapi masa yang genting memandangkan kebarangkalian melihat anak ikan paus di laut adalah sangat tipis. Oleh itu, pakar animasi dan pereka hanya bergantung kepada imej digital dari National Geographic.

Secara amnya, seekor anak ikan paus biru mencecah purata panjang 7.6 meter (sebesar badak sumbu dewasa) dan seberat tiga tan pada waktu lahir.


SEORANG kanak-kanak tekun mewarnakan gambar ikan paus biru di pusat beli-belah Mid Valley Megamall.


Ia hanya berpaut pada ibunya untuk menyusu dan menambah berat badannya sehingga 4.5 kilogram dalam masa sejam. Dengan kata lain, sebanyak 190 liter susu diperlukan untuk tumbesaran dalam sehari.

Penyusuan berhenti pada bulan ke tujuh hingga kesembilan apabila panjangnya mencapai 15 meter. Bagaimanapun, kadar survival anak ikan paus dianggarkan dalam lingkungan 50 peratus menjelang usia setahun.

Seorang pakar ikan paus biru di Australia, Dr. Peter Gill turut menyalurkan informasi kritikal mengenai pembentukan anatomi, tekstur kulit dan warna paus biru.

Menurutnya, pada langkah pertama, sebuah model anak ikan paus direka dalam gambaran komputer tiga dimensi untuk mengawal proses pengukiran. Pasukan juruteknik juga merujuk kepada ratusan imej lain untuk membentuknya.

Langkah seterusnya adalah membina replika anak ikan paus dengan kaca gentian dengan menggunakan bahan styrene agar ia tahan lama dan tidak terlalu berat. Replika ini menampung berat 500 kilogram.

Langkah ketiga diserahkan kepada golongan artisan dan pereka yang memberi sentuhan terakhir pada kelembutan permukaan kulit. Langkah ketiga dan keempat pula yang jatuh pada fasa tiga minggu terakhir, masing-masing menghidupkan replika ini dengan cat pewarna. Karakter putih pada bahagian atas badan ikan paus itu dilukis dengan berus dan berus sembur bagi memperoleh efek realiti.

"Pameran Multimedia Big Blue menjemput orang awam supaya menikmati keindahan haiwan ini yang jarang dilihat. Pengalaman yang ditimba pasti sukar dilupakan, tambahan pula dengan barangan pamer interaktif yang memberi nafas baru," jelas Naib Presiden Kanan, Saluran National Geographic Asia, Sonia Jackson.

Skulptur ini akan menjelajah ke Singapura dan Hong Kong di bawah pengawasan agensi Michele Arts bagi tujuan yang sama iaitu pameran

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: