Monday, April 20, 2009

AIM16 tidak ketepikan kumpulan indie

ANUGERAH Industri Muzik Malaysia (AIM) antara lain menggambarkan tentang situasi yang berlaku dalam persada muzik tanah air termasuklah daripada segi jumlah penerbitan album dan juga genre-genre muzik yang dihasilkan.

Biasanya, faktor itu akan menjadi kecenderungan AIM bagi menampilkan artis-artis yang sedang popular dengan muzik masing-masing bagi mengadakan persembahan pada setiap malam kemuncak anugerah tersebut.

Contohnya, tahun lalu sehingga kini, industri muzik tempatan memperlihatkan kebangkitan para pemuzik indie yang mendominasi penerbitan album selain sambutan hangat para peminat terhadap mereka.

Sayangnya, pada malam anugerah AIM16 yang akan diadakan pada 2 Mei ini, hanya dua kumpulan indie iaitu Meet Uncle Hussain dan Hujan sahaja yang dijemput mengadakan persembahan bersama sembilan lagi artis lain.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM16, Rosmin Hashim berkata, senario itu bukan bermakna anugerah itu tidak peka dengan senario yang sedang berlaku sekarang ini.

Sebaliknya, beliau berkata, para pemuzik indie tetap akan diberi peluang mengadakan persembahan ketika malam anugerah AIM pada masa depan apabila mereka memenuhi kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.

"Antara kriteria itu ialah, mereka haruslah mempunyai sekurang-kurangnya album single ataupun menjadi ahli RIM (Persatuan Industri Rakaman Malaysia).

"Kami tahu di luar sana ada banyak kumpulan indie lain seperti Pesawat, Bunkface dan sebagainya. Tetapi mereka belum ada album sendiri ataupun hanya ada sebuah lagu sahaja. Jadi, kita beri keutamaan kepada artis-artis yang sudah ada album sendiri.

"Mungkin bukan tahun ini tetapi pada tahun depan kita akan jemput mereka pula mengadakan persembahan. Ini kerana, fenomena yang mereka cipta pada tahun ini merupakan gambaran dalam industri muzik yang akan dipaparkan dalam AIM pada tahun depan," katanya.

Tambah Rosmin, selain berdasarkan senario muzik semasa, para artis yang dipilih mengadakan persembahan pada malam AIM juga lebih diutamakan kepada mereka yang tercalon bertanding dalam anugerah tersebut.

Rosmin menjelaskan isu itu kepada Hits ketika ditemui baru-baru ini selepas sidang media memperkenalkan para penyampai anugerah dan artis yang akan mengadakan persembahan di AIM16 kelak.

Antara artis yang akan mengadakan persembahan pada AIM16 ialah Datuk Sheila Majid, Chakrasonic, Faizal Tahir, Goldkartz, Joe Flizzow, Man Jiang Hong, Misha Omar, M. Nasir dan Rossa.

"Sementara barisan artis yang akan menjadi penyampai anugerah AIM16 pula ialah Aizat, Atilia, Camelia, Dafi, Hunny Madu, Jaclyn Victor, Leya (Hot FM) dan Noryn Aziz," ujarnya.

Seperti mana tahun-tahun sebelumnya, AIM mewajibkan semua hadirin supaya berpakaian formal atau black tie di mana pada penonton yang hadir pula dikenakan tiket berharga RM50.

Menurut Rosmin, Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia yang menganjurkan AIM pada tahun-tahun sebelum ini tidak mengaut keuntungan daripada jualan tiket anugerah itu.

Katanya, AIM yang menyediakan hadiah berbentuk trofi kepada para pemenangnya itu hanya sekadar menampung kos sampingan dalam menganjurkan anugerah yang ditaja oleh Celcom itu.

"Setiap tahun kami hanya menjual sekitar 500 tiket sahaja, manakala yang selebihnya kami sediakan percuma untuk para jemputan seperti artis, pemenang dan wartawan. Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra pula hanya mampu menampung sekitar 3,000 penonton sahaja," jelasnya.

Sementara itu, Rosmin turut menjelaskan bahawa akan ada lebih ramai artis yang bakal dijemput mengadakan persembahan pada malam kemuncak AIM16 kelak.

"Kami akan umumkan senarai penuh artis-artis yang akan mengadakan persembahan selewat-lewatnya seminggu sebelum anugerah itu bermula. Setakat ini hanya Rossa sahaja artis dari luar negara yang akan mengadakan persembahan pada AIM16 nanti," katanya lagi.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Presiden PAIMM, Datuk Aziz Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif ntv7, Suridah Jalaluddin, Naib Presiden Kanan Pemasaran Celcom, Zalman Aefendy Zainal Abidin dan Pengurus Besar ntv7, Airin Zainul.

Afdlin Shauki, Bob Lokman dan Adibah Noor merupakan pengacara yang akan mengendalikan AIM16 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur mulai pukul 9 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: