Monday, April 20, 2009

Cita-cita dan cinta Marion

MARION Rose Caunter atau lebih dikenali sebagai Marion Caunter, nama yang begitu cantik dan tepat menggambarkan keanggunan personaliti kesayangan 8TV ini.

Anak kelahiran Pulau Pinang ini hadir dengan pakej yang cukup lengkap. Tidak hanya bersandarkan wajah jelita tetapi kebijaksanaannya juga menjadi aset penting bagi wanita berbintang Scorpio ini.

Tiap butir kata yang keluar dari bibir mungilnya pasti akan membuatkan sesiapa sahaja terkesima dek kata-katanya yang cukup terkesan.

Apa sahaja soalan yang diajukan kepadanya akan dijawabnya sebaik mungkin dan jauh sekali cuba untuk mengelak daripada memberikan jawapannya.

Malah, apabila diajukan tentang soal cinta dan perkahwinan, anak kacukan Inggeris, Portugis dan Cina ini tidak kisah untuk berkongsi walaupun ada sesetengahnya tidak dapat disiarkan atas permintaannya sendiri.

"Bukan apa. Saya mahu menjaga hati semua pihak dan saya tahu ramai yang cuba untuk bertanyakan tentang kisah cinta saya, tetapi saya sebenarnya tiada masalah untuk membicarakannya.

"Cuma adalah lebih manis jika kisah kerjaya saya yang dikhabarkan berbanding kisah cinta. Nanti orang pandang serong pula kepada saya. Tetapi, memandangkan anda sudah bertanya, saya sedia menjawabnya," katanya disulami ketawa kecil sewaktu ditemui, baru-baru ini.

Mungkin ramai yang mengetahui tentang hubungannya dengan seorang usahawan yang juga merupakan anak kepada seorang ahli perniagaan yang cukup terkenal.

Jelas Marion, dia cukup bahagia dengan kehidupannya yang dilalui bersama sang arjuna yang telah berjaya mencuri hatinya hampir empat tahun lalu.

Tidak pernah cintanya beralih arah, kerana kata si jelita ini, cintanya tetap utuh hanya untuk seorang lelaki sahaja.

Jurang umur mereka sebanyak lima tahun sebenarnya bukanlah satu halangan sebaliknya ia merupakan cabaran untuknya menguatkan lagi ikatan cinta mereka berdua.

"Saya rasa cukup bertuah kerana dipertemukan dengan seorang lelaki yang cukup matang meskipun usianya lebih muda daripada saya.

"Kematangannya saya percaya datang daripada didikan kedua ibu bapanya yang mahu anak-anak mereka berdikari di usia muda dan itu membuatkan saya tertarik dengannya," tuturnya penuh berhemah.

Tambahnya, dia berasa bertuah dapat mendampingi seorang lelaki seperti kekasihnya itu yang mempunyai sifat rendah diri, baik serta tidak pernah memberikan sokongan dan dorongan kepadanya.

Apatah lagi, hubungan mereka mendapat restu daripada pihak keluarga lelaki yang ternyata menyenangi kehadirannya dalam keluarga mereka yang terkenal sebagai golongan baik-baik.

"Hubungan kami setakat ini berjalan lancar dan apa yang membuatkan saya gembira dengan hubungan ini adalah masing-masing bersikap toleransi dan bertolak ansur. Maklumlah, kami begitu sibuk dengan kerja," jelas Marion yang tersipu-sipu malu apabila diusik tentang buah hatinya itu.

Mahu melihat hubungan itu kekal selamanya, Marion dengan pantas memberitahu dia sudah bersedia untuk bergelar seorang isteri dan ibu serta sanggup mengenepikan dunia glamor semata-mata mahu menumpukan perhatian kepada rumahtangga.

Biarpun berlainan agama, budaya dan adat, Marion melihat perkara itu sebagai satu yang optimis meskipun pada mulanya, keluarganya seakan-akan tidak dapat menerima hakikat dia menjalinkan hubungan dengan jejaka Melayu.

"Saya bersyukur kerana akhirnya, ibu saya dapat menerima hubungan ini dengan baik kerana apa yang berlaku adalah suratan takdir. Saya juga tidak pernah menyangka saya akan jatuh cinta dengan seorang lelaki daripada agama yang berlainan.

"Sebelum ini, saya pernah menjalinkan hubungan cinta tetapi ia tidak menjadi. Selain itu juga, saya percaya keutuhan hubungan ini adalah kerana sokongan daripada pihak keluarganya yang turut merestui jalinan cinta ini," ujarnya tersenyum menyerlahkan wajah manisnya itu.

Dunia fesyen Marion

Menutup ceritera cintanya, Marion ternyata lebih galak bercerita tentang perancangan dan visinya sebagai seorang penggemar fesyen sejak kecil lagi.

Disebabkan itu, Marion terdorong untuk memulakan langkah dengan membina label fesyennya sendiri yang kini sedang dalam perancangan.

Kedengaran mungkin agak tinggi angan-angannya tetapi bagi Marion, ia adalah satu perkembangan yang positif untuk mengukuhkan namanya apabila dia tidak lagi menjadi seorang selebriti di masa hadapan.

Ternyata pemilik ijazah penyiaran dan komunikasi elektronik dari Universiti Marquette di Milwaukee, Wisconsin, Amerika Syarikat ini sentiasa memandang jauh ke hadapan.

Menyedari bidang seni tidak menjanjikan bulan dan bintang setiap masa, wanita yang dilahirkan pada 5 November 1980 ini sudah merangka beberapa strategi untuk merealisasikan impiannya itu.

"Saya sudah menemui dan berbincang dengan beberapa pihak tentang perkara itu. Bukan itu sahaja, saya juga sudah melakukan penyelidikan untuk menzahirkan label pakaian saya sendiri.

"Apa yang saya mahu lakukan adalah untuk memberikan rangkaian pakaian yang mampu dimiliki serta dipakai oleh semua golongan wanita. Ini adalah kerana saya mahu menjadi seorang yang realistik apabila memikirkan konteks dan senario industri fesyen di negara ini," katanya yang tetap menitik beratkan kualiti terhadap label pakaiannya itu nanti.

Apa yang membuatkan Marion begitu yakin dengan langkahnya itu, apabila mendapat sokongan daripada keluarga dan teman-temannya yang juga melihat impiannya itu sebagai langkah optimistik.

Namun begitu, anak kedua daripada tiga beradik ini tidak mahu terburu-buru dalam apa jua tindakannya kerana baginya, dia lebih gemar melakukannya secara perlahan-lahan untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

Menjadi lebih selektif

Hampir empat tahun menjadi seorang pengacara di stesen televisyen 8TV, Marion yang juga bekas pengacara saluran Channel [V] (saluran 714, Astro) ini, menegaskan dia mahu menjadi lebih selektif dalam kerjayanya selepas ini.

Bukan mahu mendabik dada atau membuktikan dia yang terbaik, tetapi apa yang dilakukannya adalah untuk menjadi kualitinya sebagai seorang pengacara.

Tidak kisah biarpun dirinya tidak dikenali dan popular seperti pengacara lain serta wajahnya tidak kerap muncul di televisyen, bagi Marion itu bukan satu masalah baginya.

Apatah lagi, pernah mengacara beberapa program di Channel [V] selain menjadi hos bersama Awal Ashaari untuk rancangan realiti One In A Million (OIAM) selama tiga musim, benar-benar memberikan kepuasan tidak terhingga kepadanya.

"Apabila melibatkan diri dalam sebuah rancangan yang bagus dan berkualiti, orang akan menilai kemampuan serta melihat sejauh mana kredibiliti kita sebagai seorang pengacara," tuturnya yang mengidamkan untuk mengacarakan sebuah rancangan fesyen.

Memberikan contoh OIAM sebagai pentas terbaik baginya, rancangan pencarian bakat baru itu sememangnya mematangkan dirinya sebagai seorang pengacara.

"Musim pertama ia merupakan satu percubaan yang baik dan semua orang begitu teruja serta mahu memberikan yang terbaik.

"Memasuki musim kedua, momentumnya mula menurun sedikit. Sebagai pengacara saya juga tidak mampu memberikan fokus kerana sibuk dengan Channel [V]. Ketika itu saya harus ulang-alik dari Kuala Lumpur ke Hong Kong.

"Tetapi, untuk musim ketiga ini, saya dan Awal sememangnya memberikan kesungguhan. Barisan peserta yang cukup mantap dan bagus benar-benar menaikkan semangat kami. Hubungan kami dengan mereka juga terjalin dengan baik," jelas Marion memberikan pandangannya terhadap perkembangan rancangan terbitan 8TV itu.

OIAM musim ketiga disiarkan secara langsung di saluran 8TV bermula pukul 9.30 malam dan konsert akhir pula dijadualkan berlangsung pada 1 Mei ini di Stadium Malawati, Shah Alam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: