Tuesday, April 21, 2009

Adnan diarah bayar RM63 juta




KUANTAN – Mahkamah Tinggi di sini semalam mengarahkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (gambar), melunaskan bayaran penghakiman berjumlah RM63 juta kepada sebuah syarikat kerana melanggar perjanjian pemberian konsesi pembalakan di Mukim Bebar, Pekan.

Hakim Datuk Abd. Halim Aman memutuskan pihak responden (Menteri Besar) perlu melunaskan bayaran berkenaan dalam tempoh 14 hari bermula semalam.

Ketika membenarkan permohonan perintah mandamus (untuk memaksa) syarikat Seruan Gemilang Makmur Sdn. Bhd., Abd Halim berkata, tindakan itu dibenarkan selepas segala saluran perundangan untuk menuntut bayaran itu telah selesai.

Syarikat berkenaan memperoleh perintah bayaran penghakiman dari Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 dan kerajaan negeri gagal membuat bayaran tersebut.

“Pendirian sebegini mencerminkan keengganan kerajaan negeri mematuhi kehendak statutori,” katanya.

Abd. Halim berkata, permohonan responden untuk mengenepikan tindakan mandamus itu dengan hujah bertulis bahawa syarikat terbabit salah menamakan Menteri Besar sebagai responden adalah tidak tepat.

“Menteri Besar adalah orang yang tepat serta layak untuk dinamakan sebagai responden kerana di Pahang dan negeri lain kecuali Sabah dan Sarawak, tiada wujud jawatan Menteri Kewangan Negeri,” katanya.

Beliau berkata, mengikut Artikel 41 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang turut menyatakan Menteri Besar mempunyai kuasa untuk menyempurnakan jumlah bayaran dari Tabung Kumpulan Wang Yang Disatukan Negeri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: