Wednesday, July 13, 2011

Zarrieff berguru di London


Zarrieff Nasir turut berbakat dalam rekaan kasut.


MELANGKAH masuk ke butik yang menggunakan nama pemiliknya, Zarrieff Nasir, bagaikan tidak percaya bahawa baju-baju indah yang digantung rapi itu sebenarnya rekaan seorang anak muda yang berusia 23 tahun.

Setiap rekaan unik, cukup untuk membuatkan setiap pengunjung ralit membeleknya.

Tambahan pula dengan dekorasi butik yang kemas dan eksklusif membuatkan produk yang dipamerkan daripada pakaian hingga kepada kasut dan aksesori bertambah cantik dipandang.

Biarpun bukan di bawah bumbung pusat membeli belah terkenal, ia tetap dikunjungi bukan sekadar oleh orang biasa bahkan golongan elit.

"Mungkin rekaan saya lain daripada yang lain menjadikan orang ramai menyukainya,'' ujar Zarrieff membuka kata.

Lulusan jurusan fesyen dari Middlesex University, London ini, menampilkan gabungan konsep Barat dan Timur dalam setiap rekaan hasil daripada pengalaman dan pengamatan yang diraih ketika berada di negara orang .

"Tiga tahun berada di London, banyak ilmu saya kutip dan sedikit sebanyak mempengaruhi dalam rekaan-rekaan saya,'' katanya.

Biarpun masih baru dalam dunia rekaan fesyen tanah air, keunikan pada setiap rekaan membuatkan nama beliau kian jadi sebutan.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini, sememangnya dilihat mampu bersaing dalam industri fesyen sekali gus berdiri sebaris pereka-pereka muda tanah air masa kini.

"Keunikan merupakan elemen penting bagi memastikan setiap rekaan itu 'hidup' dan sesuai kepada si pemakai.

"Malah setiap rekaan saya juga dipadankan dengan karakter si pemakai.

"Kalau si pemakai itu seorang yang agresif maka pilihan warna juga lebih kepada warna-warna yang terang,'' ujarnya serius.

Mengutamakan rekaan yang ringkas, praktikal dan anggun, Zarrieff, akan memastikan busana yang dihasilkan mengikut keperluan.

"Sebab itu dalam setiap rekaan, perlu ada komunikasi dengan pelanggan bagi memastikan rekaan yang di buat kelihatan menyerlah apabila dipadankan,'' ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, setiap rekaan yang dihasilkan Zarrieff pasti akan disulami dengan warna-warna kegemaran dan hiasan mutiara yang dijadikan identiti kepada label rekaannya.

Peringkat awal pembabitan dalam dunia rekaan fesyen, beliau hanya menumpu kepada pakaian wanita khususnya busana pengantin.

Namun hasil sokongan dan dorongan rakan-rakan, Zarrieff memperluaskan 'jajahan' rekaannya kepada persalinan untuk lelaki.

"Semuanya bermula apabila ramai yang menyukai pakaian yang saya kenakan hasil rekaan sendiri. Apabila ramai yang bertanya terfikir pula untuk mengkomersialkannya," katanya yang turut menghasilkan rekaan kasut.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Zarrieff memberitahu, beliau berhasrat untuk membuka sebuah pusat fesyen sehenti yang menghimpunkan semua rekaannya dan salon bagi memudahkan pelanggan.

"Sekarang ini saya sedang mencari tempat yang sesuai untuk merealisasikan impian tersebut,'' ujarnya yang sedang sibuk dengan persedian untuk Minggu Fesyen Latin yang akan diadakan di Washington, Amerika Syarikat, pada Oktober depan.

Apa pun Zarrieff bersyukur kerana kerjaya pilihannya mendapat restu daripada ibu bapanya.

"Mungkin kerana sering melihat saya menonton rancangan fesyen di televisyen membuatkan ibu memberi peluang kepada saya untuk lebih serius dalam bidang ini,'' ujar anak kepada pasangan Nasir Ismail dan Azlina Aziz ini.

Bagi mereka yang ingin mencuba rekaan pakaian hasil sentuhan Zarrieff, bolehlah mengunjungi butiknya atau melayari www.zarrieff.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: