Wednesday, July 27, 2011

UTP johan debat perpaduan ala Parlimen IPT


Koh Tsu Koon (dua dari kiri) menyampaikan piala dan hadiah kepada pasukan Universiti Teknologi Petronas pada Pertandingan Debat Perpaduan Antara IPT 2011 di Seri Iskandar, Perak, semalam.


PARIT 26 Julai - Universiti Teknologi Petronas (UTP) muncul juara Pertandingan Debat Perpaduan Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2011 anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di sini hari ini.

Kemenangan sulung UTP yang bertindak sebagai pihak kerajaan dalam pertandingan debat ala Parlimen itu diraih selepas menundukkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) selaku pihak pembangkang.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Junnyaruin Barat, Muhammad Imran Muiz Abidin serta Muhammad Syafiq Samsuddin membawa pulang wang tunai RM7,000, piala pusingan, cenderahati beserta sijil penyertaan.

Junnyaruin berkata, mereka menjalani latihan intensif debat selama tiga minggu sebelum bermulanya pertandingan di bawah bimbingan seorang pensyarah di Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan, Prof. Madya Dr. Shahrina Md. Nordin.

"Kumpulan debat ini juga pernah memenangi Pertandingan Debat Alam Sekitar 2010 dan Pertandingan Debat Kemerdekaan 2008/2009 di peringkat IPT.

"Kami di sini mempunyai Kelab Debat UTP yang melatih kumpulan pendebat dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin, malah kelab kami adalah yang terbaik di UTP untuk tiga tahun berturut-turut," kata ketua pasukan UTP itu kepada pemberita selepas Pertandingan Debat Perpaduan Antara IPT 2011 di Seri Iskandar di sini, hari ini.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon. Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan dan Naib Canselor UTP, Datuk Dr. Zainal Abidin Kasim.

Sebanyak 34 pasukan debat daripada pelbagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) termasuk institut pendidikan guru (IPG) menyertai pertandingan tersebut yang berlangsung selama lima hari bermula 22 Julai lalu.

Sementara itu, pelajar tahun tiga jurusan Kimia Gunaan UiTM, Mastura Arbin pula dipilih sebagai Pembahas Terbaik Keseluruhan dengan membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000 beserta cenderahati dan sijil penyertaan.

Mastura yang telah menyertainya buat kali ketiga sebelum ini pernah menjuarai pertandingan sama pada tahun 2009.

"Pertandingan ini telah bermula sejak 2005 dan UiTM telah muncul sebagai juara terbanyak iaitu sebanyak empat kali sebelum ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: