
KUALA LUMPUR - Dua kumpulan penjenayah dikenali Geng Boboi dan Geng Auni yang dikesan aktif melakukan samun sejak setahun lalu tumpas apabila polis menahan tujuh lelaki baru-baru ini.
Kesemua suspek yang berusia di antara 20 dan 24 tahun termasuk ketua kumpulan geng tersebut iaitu Boboi dan Auni ditahan secara berasingan di sekitar ibu negara pada Khamis, Jumaat dan Sabtu lalu.
Boboi berusia 21 tahun manakala Auni pula 20 tahun.
Kedua-dua kumpulan itu yang menggunakan palam pencucuh yang diubah suai sebagai senjata menyasarkan pemandu wanita yang berhenti di lampu isyarat sebagai mangsa.
Mereka akan memecahkan cermin kereta mangsa dengan senjata itu sebelum melarikan beg tangan yang diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, kedua-dua kumpulan itu dipercayai terlibat sekurang-kurangnya 40 hingga 50 kes berkaitan samun sejak awal tahun lalu.
"Polis merampas pelbagai barangan termasuk lapan buah motosikal, wang RM500, 15 buah beg tangan, telefon bimbit, kad kredit, kad pengeluaran wang automatik dan palam pencucuh yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM70,000," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Zakaria, dua kumpulan tersebut dipercayai menjalankan kegiatan jenayah mereka pada pukul 4 petang hingga 8 malam.
Jelas beliau, antara lokasi kegiatan dua kumpulan terbabit adalah di Jalan Ampang, Jalan Tun Razak, Jalan Genting Klang dan Bulatan Segambut di sini.
"Siasatan mendapati tujuh suspek itu positif syabu dan memiliki rekod lampau berkaitan samun dan curi kenderaan," katanya.
Menurut Zakaria, kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 31 Julai ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun secara berkumpulan dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: