|
|
WALAUPUN sudah 13 tahun menjadi hos untuk MTV Asia, nampaknya Greg Uttsada Panichkul atau lebih dikenali sebagai Utt terus selesa dengan saluran hiburan itu.
Di kala teman-teman seperjuangannya yang lain sudah meninggalkan saluran yang cukup digemari ramai itu, namun, Utt mempunyai alasan sendiri mengapa dia mahu kekal dengan MTV Asia.
Bukan tidak pernah dia mendapat tawaran lumayan daripada stesen lain, tetapi Utt memberitahu MTV Asia memiliki nilai sentimental sendiri untuk ditinggalkan.
“Saya cukup sedar rakan-rakan saya yang lain semuanya sudah hidup berkeluarga dan membawa haluan masing-masing.
“Saya juga tidak menafikan bahawa saya memang merindui kawan-kawan saya itu. Tetapi saya sudah mencintai bidang ini dan memang sukar untuk saya meninggalkannya.
“Selagi saya terdaya melakukannya, saya akan tetap bersama MTV Asia. Bagi saya, saluran ini adalah `universiti’ tempat saya menimba pengalaman sebagai seorang pengacara,” kata Utt tanpa selindung dalam satu pertemuan di Empire Shopping Gallery, Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Kehadiran Utt untuk sekian kalinya ke negara ini adalah untuk melunaskan tanggungjawabnya pengacara MTV World Stage Live In Malaysia yang akan berlangsung di i-City, Shah Alam, Selangor pada 24 Julai ini.
Sekadar menyingkap sejarahnya sebagai hos MTV Asia sejak tahun 1998, Utt boleh dianggap sebagai ‘adik bongsu’ kepada beberapa pengacara sebelumnya seperti Sarah Sechan, Mike Kasem, Nadya Hutagalung, Jamie Aditya dan Sonia Couling.
Namun, selepas mereka meninggalkan saluran itu, hanya Utt sahaja pengacara asal yang terus kekal sehingga ke hari ini bersama beberapa orang pengacara baru lain.
“Saya boleh dikatakan agak bertuah kerana saya sudah merasai zaman kegemilangan MTV Asia yang bukan hanya terletak kepada kehebatan pengacaranya sahaja.
“Tetapi juga kepada kandungan dan format program sebelum teknologi baru mengambil alih segala-galanya.
“Dan, sekarang saya melalui fasa baru dalam dunia pengacaraan dan saya berpeluang menyaksikan transformasi itu dalam dunia pengacaraan kini,” kata jejaka kacukan Thailand-Amerika Syarikat ini sambil mengukir senyuman.
Walaupun memberitahu dia akan terus kekal bersama MTV Asia selagi termampu, namun, itu bukan bermakna Utt tidak memikirkan masa depannya.
Sejak tiga tahun lalu, dia bersama beberapa orang rakan kongsinya telah menubuhkan syarikat pengurusan acara dan pengurusan artis, Seven95ive Artistes yang merupakan sebuah syarikat yang memiliki reputasi cemerlang di Singapura.
“Semuanya adalah sebagai persediaan apabila mungkin satu hari nanti khidmat saya sudah tidak diperlukan sebagai pengacara MTV Asia (ketawa),” katanya penuh optimis.
Menyentuh sedikit tentang transformasi kandungan MTV Asia ketika ini, ujar Utt, saluran itu tidak lagi menayangkan program berbentuk hiburan semata-mata.
Sebaliknya, mereka turut menayangkan program berbentuk khidmat masyarakat dan ia juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial MTV Asia kepada masyarakat.
Minat Pop Shuvit
MENYENTUH tentang MTV World Stage Live In Malaysia pula, Utt mengakui dia cukup teruja untuk mengacarakan konsert yang ditunggu-tunggu itu.
Walaupun pernah menjadi hos untuk acara yang serupa beberapa kali sebelum ini, namun, Utt tetap tidak dapat menyembunyikan perasaan gementarnya.
Untuk tahun ini, Utt memberitahu dia akan cuba yang terbaik untuk menyuntik semangat penonton.
Dalam masa yang sama, anak kelahiran California, Amerika Syarikat ini juga melahirkan keinginan yang meluap-kuap untuk melihat aksi kumpulan rap dan hip hop tempatan, Pop Shuvit di pentas itu.
“Bagi saya, mereka mempunyai tenaga yang sangat luar biasa di atas pentas. Saya pasti mereka akan memberikan persembahan yang hebat pada malam itu nanti.
“Bukan sekadar memuji tetapi saya percaya dengan kehebatan bakat-bakat dari rantau ini yang mampu setanding dengan artis antarabangsa,” katanya lagi.
Selain Pop Shuvit, MTV World Stage Live In Malaysia turut menampilkan dua kumpulan muzik dari Amerika Syarikat, 30 Second To Mars dan Neon Trees selain kumpulan kelahiran Korea Selatan, Beast.
Bagi mereka yang mahu berinteraksi dan mengenali Utt dengan lebih lanjut bolehlah melayari akaun Twitter miliknya, @uttsada dan juga di laman sosial Facebook iaitu facebook.com/uttpage.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: