Apabila menyebut nama Agnes Monica, pasti dirinya dikaitkan dengan pelbagai cerita. Tidak hanya berjaya di pentas nyanyian, malah Agnes juga berjaya memikat penonton dengan lakonan hebat menerusi drama-drama bersiri di Indonesia.
Mula menceburkan diri dalam bidang seni sejak kecil lagi, Agnes pernah meraih beberapa anugerah ketika zaman kecilnya. Namun ketika itu, bidang seni hanyalah sekadar suka-suka kerana cita-cita asal Agnes adalah untuk menjadi seorang atlet.
“Saya bercita-cita untuk menjadi atlet. Saya suka bidang sukan, tapi apabila mula berjinak-jinak dalam bidang seni ketika berumur 16 tahun, saya semakin menyukai bidang ini.
“Ibu bapa saya menghantar saya ke kelas vokal. Selain itu, saya mantapkan vokal ketika menyanyi di gereja. Inilah dunia yang saya mahukan sebenarnya,” katanya.
Ratu kontroversi
Sejak awal pembabitannya, dia antara selebriti yang banyak dikaitkan dengan pelbagai kontroversi. Tidak hanya peribadi malah lagu-lagu nyanyiannya juga antara yang sering mendapat kritikan.
Sehingga ke hari ini, ada sahaja cerita kurang enak mengenai penyanyi yang popular dengan lagu-lagu seperti Matahariku, Godai Aku Lagi, Teruskanlah, Bilang Saja dan banyak lagi.
Namun, Agnes dilihat bijak mengawal setiap satu kontroversi yang berlaku dengan tenang dan membalas semua cerita itu dengan menghidangkan karya-karya terbaik dirinya. Itulah yang membuatkan Agnes sentiasa ‘panas’ di persada muzik Indonesia.
Tidak hanya di Indonesia, malah nasib sama menimpa dirinya. Tahun lalu, tampil dengan single berjudul Allah Peduli, lagu itu mendapat respons masyarakat Islam khususnya apabila lirik lagu itu mengelirukan dan boleh memesongkan akidah. Berikutan itu, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengharamkan lagu itu diputarkan di Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: