|
|
HANYA dengan perbezaan lima markah, pensyarah Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Mohd. Hassan Adli Yahaya @ Yahuza, 26, berjaya melayakkan dirinya sebagai juara Imam Muda musim kedua (IM2) yang berlangsung Jumaat lalu di Dewan Muktamar Kompleks Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Kuala Lumpur.
Kemenangan anak kelahiran Lumut, Perak itu dikhabarkan berpihak kepada Hassan kerana pemuda itu mempunyai suara yang sedap ketika bertaranum selain banyak menyimpan senyum dan mendapat markah ujian teori yang tinggi saban minggu.
Penghuraian kemenangan itu dijawab tenang oleh Mudir (Pengetua) Imam Muda 2, Datuk Hassan Mahmood Al-Hafiz, saat kemenangan Hassan disoal para media ketika sidang akhbar usai malam kemuncak Iman Muda 2.
Katanya, keputusan kemenangan Hassan yang dinilai para juri juga adalah telus tanpa sebarang pakatan.
“Penilaian pertandingan ini adalah telus daripada setiap juri. Tiada pakatan yang wujud dalam pertandingan Imam Muda 2.. Kedua-duanya mempamerkan persembahan yang mantap di malam kemucak Imam Muda 2 tetapi kelebihan lima markah berpihak kepada Hassan.
“Hassan juga mempunyai kelebihan pada ujian teori yang konsisten setiap minggu. Hassan juga pernah dinobatkan sebagai pelajar contoh sebanyak dua kali sepanjang 10 minggu program dijalankan,” katanya bagi mengulas mengenai kemenangan Hassan.
Bagi Hassan sendiri, dia tidak menyangka kemenangan pada malam itu berpihak kepadanya. Menurutnya, ia ibarat mimpi yang menjadi nyata. Bahkan ujian tazkirah, hafalan ayat al-Quran dan sesi soal jawab sangat mencabar baginya.
“Kemenangan ini bukan untuk saya seorang tetapi juga buat ibu dan arwah ayah. Saya sangat bersyukur dan tidak menyangka dengan kemenangan ini. Kemuncak malam IM2 sangat mencabar apabila kami berdua perlu bertazkirah, berselang seli menghafal ayat al-Quran dan menjawab soalan yang diberikan,” kata Hassan yang juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu (Al-Quran dan Hadith), Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Ditebak dengan soalan peserta paling beremosi kerana sering mengalirkan air mata, menurut Hassan, sejak ayahnya meninggal dunia dia terlalu rapat dengan ibunya. Selama tiga bulan tidak bertemu ibu dan mengetahui akan dunia luar, jiwanya menjadi tidak keruan. Maknya juga banyak mengharapkan yang terbaik buat dirinya.
Sementara itu, kekalahan Nazrul tidak bermakna diri anak kelahiran Segamat, Johor itu tidak hebat tetapi nasib tidak menyebelahinya. Nazrul turut dipuji pengetua Hassan kerana mempunyai kelebihan tersendiri. Katanya, pemenang tempat kedua Imam Muda 2 itu mempunyai jiwa pendidik dan pandai berkata-kata.
“Beralih pada Nazrul, walaupun dia tidak menang tidak bermakna dia tidak hebat. Nazrul mempunyai kelebihan tersendiri. Dia berjiwa pendidik dan sangat pandai bercakap,” kata Hassan.
Ditanya mengenai perancangan kedua-dua Imam Muda itu selepas ini, menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, sepuluh peserta Imam Muda termasuk pemenang bebas berkhidmat untuk masyarakat.
“Apa yang pasti, sebaik mereka habis Imam Muda 2 ini, semuanya sudah bersedia memikul tanggungjawab membimbing masyarakat. Objektif utama program Imam Muda juga bagi mengetengahkan golongan belia yang mempunyai ilmu agama untuk berdakwah,” katanya.
Juara Imam Muda 2 mendapat tajaan penuh biasiswa pengajian di Universiti Antarabangsa Al-Madinah oleh Yayasan Al-Madinah, sebuah kereta Proton Exora tajaan Proton Edar, pakej haji dan umrah tajaan Salamfone, wang tunai sebanyak RM30,000 berserta iPad tajaan Astro, wang tunai sebanyak RM25,000 berserta telefon bimbit tajaan Bank Islam, baucar perabot Jati bernilai RM15,000 oleh Jatimas, sebuah Macbook tajaan Infotech Quest Sdn. Bhd., pakej percutian ke Vietnam tajaan Hiraq Marketing, sebuah kamera digital tajaan Brother In Racing dan sebuah trofi serta dua sijil penghargaan dan pentauliahan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Selain Hassan dan Nazrul, lapan lagi peserta Imam Muda 2 yang bertanding adalah Ali Khairudin Abdul Marif, 26, Wan Najdi Wan Mohd. Noh, 20, Mohd. Fakhrruzi Husin, 27, Ammar Wan Harun, 27, Mohd. Azlan Zulkarnain, 25, Abdul fattah Riddzwan, 21, Mujahid Suhaimi, 20, dan Zulfadli Awang, 24.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: