Monday, July 11, 2011

Rayuan Intan

pix_gal0
Bukan aktres murahan

EMPAT tahun bergelumang sebagai anak seni, Intan Ladyana boleh berbangga kerana sepanjang tempoh itu, dia sudah membintangi 10 filem. Empat daripadanya masih menunggu tayangan termasuk karya seram Flat 3A yang akan mula menemui penonton 14 Julai ini selain Bini-Biniku Gangster, Halim Munan dan Adnan Sempit 2.

Mengukuhkan lagi trek seninya, tindakan mengikat kontrak sebagai artis naungan Metrowealth (MIG) antara lesen kebal menjadikan wajahnya antara pilihan menghiasi layar perak dan puluhan drama TV. Tiga filem lakonannya bersama MIG iaitu Jangan Pandang Belakang, Adnan Sempit dan V3: Samseng Jalanan mendapat kutipan pecah panggung.
Biarpun ada yang menganggap popularitinya belum berkelipan atau tersenarai dalam calon top 5 sebarang anugerah serta pengiktirafan, itu bukan alasan bagi cinta hati aktor Kamal Adli ini berpeluk tubuh. Malah anak berdarah campuran Melayu dan Thailand ini memanjat kesyukuran kerana rezekinya saban hari cukup murah.
Jarang sekali namanya dijentik atau berdepan kontroversi bukan-bukan. Kalau ada pun yang bertebaran hanya kisah peribadi yang menjadi bualan. Akui Intan, dia lebih selesa jika pemerhati seni mahupun peminat menilai dirinya dengan bakat yang dimiliki.

“Saya lebih rela orang kenal dengan apa yang boleh saya berikan kepada industri berbanding cerita kurang manis. Ini kerana saya ikhlas dalam perjuangan seni ini. Saya tak perlu kisah seperti berebut kekasih atau apa saja untuk meneruskan survival dalam bidang ini.

“Bukan mendabik dada, tapi memang saya jenis manusia tidak hadap kontroversi murahan. Untuk apa naik sebegitu. Tapi masing-masing mempunyai hak dan cara sendiri untuk membuatkan diri dikenali. Memang orang akan bercakap kalau ada gosip mahupun kontroversi sebegitu, tapi apa produk kita yang boleh dibanggakan,” katanya pada pertemuan di Balai Berita, Rabu lalu.

Rancak berbual dengan Intan saat wajahnya dioles cantik oleh jurusolek Epie Temerloh, pelakon berbadan ramping ini mengejutkan B*Pop dengan cerita yang pastinya akan mencalar kerjaya seninya selama ini. Baru saja bercakap mengenai bebas kontroversi, cerita terbaru ini ibarat menjerat diri.
Tanpa berselindung, dia mengakui sanggup menyerahkan apa saja buat kekasihnya sebagai bukti cinta. Lebih teruk daripada itu, Intan juga sudah pun menggugurkan kandungan. Biar betul? Cerita itu memang betul tapi jangan terkejut kerana ia sebenarnya sekadar watak dalam Flat 3A.

“Dalam filem Azhari Zain ini, saya memegang watak Fikah, gadis kampung yang bekerja kilang. Dia berpindah ke Kuala Lumpur dan bertemu kekasih bernama Anas (Adey Syafrien) yang datang dari golongan berada.

“Perkenalan dengan Anas membuatkan dia terjebak dalam kancah tidak bermoral. Untuk membuktikan kasih sayangnya kepada Anas, dia sanggup menyerahkan segala-galanya termasuk menggadai maruah diri. Lebih teruk dia sanggup menggugurkan kandungan,” kata Intan mengenai wataknya dalam filem seram berkenaan.

Flat 3A menjadi filem seram keduanya selepas Jangan Pandang Belakang. Sekalipun mengakui dirinya penakut, Intan memberanikan serta mencabar diri untuk bermain dengan watak dalam filem bergenre sedemikian.

“Klimaks kepada filem ini bermula selepas Fikah menggugurkan kandungan hingga berlaku kejadian pelik yang menghantui dirinya, termasuk kejadian di flet yang dihuninya. Filem ini menggambarkan keadaan Fikah yang tertekan selepas melakukan dosa.

“Watak ini memang berlainan dan amat mencabar dengan watak yang saya pernah pegang sebelum ini. Filem ini mengupas dan menyelit isu moral yang bagus seperti seks bebas, hamil luar nikah, pengguguran bayi dan penculikan. Ia bukan sekadar filem yang membuatkan penonton menjerit ketakutan tapi turut ada mesej berguna,” katanya.

Intan juga akan tampil dengan telefilem berjudul Balik Kampung arahan Olyn Khadri bersama kumpulan Senario dan bintang Raja Lawak pada musim Aidilfitri nanti.

Mengenai gandingannya dalam Flat 3A iaitu Adey Syafrien, Intan mengakui tiada masalah berlakon dengan aktor baru yang juga adik ipar Eizlan Yusof itu, tapi lumrah pada peringkat permulaan, dia mengakui ada perasaan kekok di antara mereka.

“Lama kelamaan, keserasian itu pantas tercipta. Sebelum ke lokasi penggambaran, kami menghadiri kelas lakonan yang diselia Azhari Zain sendiri dibantu jurulatih lakonan yang lain. Berlakon dengan pelakon baru juga bukan satu isu di sini.

“Saya sendiri pernah berada di tempatnya. Ia satu fasa biasa yang harus dilalui pelakon. Jadi saya faham apa yang dia rasai. Bagaimanapun saya seronok bergandingan dengannya dan juga pelakon lain yang membintangi filem ini,” katanya yang turut terbabit menyertai latihan asas sebagai Askar Wataniah bersama beberapa selebriti lain.

Belum sedia jadi milik Kamal Adli

SEBELUM pertemuan kami berakhir, Intan tak ketinggalan ditanya mengenai hubungannya dengan Kamal Adli yang sudah berlanjutan dua tahun setengah hingga cerita cintanya bersama pelakon itu juga sudah tidak lagi diperdebatkan seperti sebelum ini.

Bagi Intan, dia selesa apabila orang tidak lagi memberi tumpuan mengenai hikayat cintanya dengan Kamal.

“Cerita saya dengan Kamal pun sudah kurang hangat lagi. Cerita sudah lama dan berlalu. Sekarang orang bercakap mengenai kisah pasangan lain pula. Jadi senang cerita, saya mahupun Kamal akan terus memberi tumpuan terhadap kerjaya seni.

“Kalau ditanya bab kahwin, memang kami belum ada perancangan ke arah itu. Hanya mengikut aliran dalam sesebuah perhubungan. Sesibuk manapun, kami akan cuba meluangkan masa.

“Ada kelapangan, kami akan keluar makan atau tengok wayang. Tak pun kami hanya berhubung di telefon,” katanya yang selesa diuruskan MIG.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: