|
|
DALAM dunia seni pementasan bangsawan tanah air, nama Rahman B tidak perlu diperkenalkan lagi. Ini kerana, nama pejuang bangsawan berusia 81 tahun ini memang sinonim dengan seni tersebut. Rahman telah terbabit dalam bangsawan sejak tahun 1950.
Setelah 61 tahun menghambakan diri dalam bangsawan, Rahman B atau nama sebenarnya Abdul Rahman Abu Bakar tidak pernah jemu membabitkan dirinya dengan dunia itu. Biarpun sudah lanjut usia dengan kudrat yang tidak segagah enam dekad lalu, Rahman terus bersemangat.
Dia sehingga kini masih mampu mengarah bangsawan. Sayangnya, ekoran kurang pementasan bangsawan sejak kebelakangan ini menyebabkan Rahman atau lebih mesra dengan panggilan Pak Rahman lebih banyak berehat di rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Namun, masa yang terluang tidak disia-siakannya begitu sahaja. Sebaliknya, anak kelahiran Kapar, Klang, Selangor ini sering menghabiskan masa yang ada dengan menelaah buku-buku sejarah lama bagi mendapatkan ilham menulis skrip bangsawan yang baru.
Menurut bapa kepada enam anak dan mempunyi 28 cucu ini, dia gemar menulis sinopsis sebelum menghasilkan skrip bangsawan. Katanya, soal skrip yang ditulisnya itu akan dipentaskan ataupun sebaliknya, ia merupakan perkara yang kedua.
“Buat masa ini antara hobi saya ialah menulis skrip bangsawan. Setakat ini, saya telah menulis lebih 20 skrip bangsawan yang mana ia belum pernah dipentaskan lagi. Saya simpan dulu, mana tahu kalau ada rezeki ia akan dipentaskan kemudian,” katanya kepada S3.
Katanya, buat masa ini dia sedang dalam proses menyudahkan skrip bangsawan terbaru tulisannya bertajuk Cindai Berdarah sambil dibantu oleh cucu sulungnya, Hussein Abdul Salam yang bertindak selaku penyunting serta pembantu dalam penghasilan karya tersebut.
Rahman yang mula berlakon bangsawan berjudul Tengku Sulong Mati Digantung pada 1950 berkata, pada usia emas itu dia juga banyak menghabiskan masanya berehat di rumahnya dengan melakukan pelbagai hobi.
Pemegang Ijazah Kehormat Sarjana Seni dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini misalnya, mempunyai hobi mengumpul senjata lama seperti keris, pedang, tombak, badik, tekpi, sundang dan parang.
Jelas Yang Dipertua Persatuan Seni Bangsawan Bintang Timur yang ditubuhkannya pada 1950 ini, hobinya itu bukan sahaja bagi mengisi masa lapang tetapi ia juga memberikan kepuasan kepadanya yang merupakan pengumpul barangan antik.
“Apabila bercakap tentang senjata purba seperti keris ia juga ada kaitan dengan budaya Melayu. Keris antara peralatan yang saya gunakan dalam pementasan bangsawan lakonan dan arahan. Ia banyak memberi inspirasi kepada saya dalam berkarya termasuklah menulis skrip.
“Saya kumpul semua senjata lama itu sejak berpuluh tahun lalu. Ada antaranya saya beli dan ada juga yang dihadiahkan oleh kawan-kawan saya. Semua itu ada kaitannya dengan budaya Melayu. Saya amat menghargainya sama seperti saya sayangkan seni bangsawan,” tuturnya.
Rahman yang menerima anugerah Seniman Negara keenam pada 2004 daripada kerajaan dengan hadiah berupa wang tunai RM30,000 berbangga kerana pengiktirafan itu berdasarkan sumbangannya dalam memperjuangkan bangsawan.
Sayangnya, jelas penulis skrip, pengarah, pelakon dan juga pelukis komik ini, dia terkilan kerana tidak banyak usaha dilakukan oleh kerajaan terutamanya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bagi memperbanyakkan pementasan bangsawan.
Agensi di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu katanya, sekadar menganjurkan pementasan bangsawan sebulan sekali di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur sehingga menyebabkan seni itu kurang berkembang.
Apatah lagi kata pelukis komik terkenal tahun 1970-an ini lagi, senario itu secara tidak langsung menyebabkan aktivitis bangsawan sepertinya tidak mendapat banyak peluang bagi terus mempopularkan lagi seni persembahan tersebut.
“Melalui Persatuan Seni Bangsawan Bintang Timur saya mempunyai sebanyak dua lori kostum untuk pementasan bangsawan di mana ia termasuk set pentas dan prob. Sementara itu, saya juga mempunyai koleksi pakaian bangsawan sebanyak dua van muatannya.
“Saya meletakkan semua barangan itu di sebuah stor di Rawang, Selangor yang saya sewa dengan kadar RM700 sebulan. Tetapi saya tidak banyak menggunakan semua kemudahan itu dan kalau ada pun tawaran mementaskan bangsawan ia cuma datang setahun sekali,” jelasnya.
Pelukis 18 buah cerita komik yang antaranya berjudul Pedang Sakti, Wak Bekam Di Kampung Tembaga, Naning Berdarah dan Menuju Ke Neraka yang popular pada tahun 1970-an ini berharap JKKN akan lebih proaktif dalam membantu aktivis teater sepertinya.
Rahman yang pernah berlakon dalam filem seperti Semambu Kuning, Amuk Tok Nadim dan Iman di Singapura pada tahun 1950-an hingga 1960-an menambah, dia akan terus berjuang mempopularkan seni bangsawan sehingga ke akhir hayatnya.
“Selagi hidup selagi itulah dunia bangsawan tidak boleh dipisahkan daripada jiwa saya. Kalau boleh saya mahu bangsawan di Malaysia sama popularnya dengan seni bnagsawan tradisional Jepun iaitu Kobuki yang terus bertahan dan diminati generasi muda di sana.
“Sebab itu, walaupun kurang peluang mementaskan bangsawan tetapi saya akan terus berkarya termasuklah menghasilkan sebanyak mungkin skrip. Ia bukan sahaja untuk kepuasan diri tetapi juga sebagai salah satu khazanah peninggalan saya kelak,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: