Sunday, July 3, 2011

Pilih selebriti kerana kelebihan


Presiden AUCMS, Datuk Dr. Zainuddin Md. Wazir (empat dari belakang) optimis dengan keputusan yang telah dibuat.


LULUSAN Akademi Fantasi menjadi duta sebuah kolej universiti bertaraf dunia? Di mana letaknya kelayakan sehingga menjadikan mereka begitu istimewa? Umum juga mengetahui bahawa mereka berenam tiada kepakaran tertentu dalam bidang akademik. Lebih ironik lagi, sebahagian besar mereka hanya tahu menyanyi dan berlakon semata-mata.

Mengharapkan latar belakang akademi dalam bidang muzik? Pun tidak ada.

Umpama air dengan minyak, memang ternyata berbeza dengan kelulusan yang mereka ada dengan apa yang mereka lakukan bagi sebuah institusi pengajian tinggi.

Bagaimanapun, ia bukan satu perkara yang mustahil buat Presiden Alliance University College of Medical Sciences (AUCMS), Datuk Dr. Zainuddin Md. Wazir.

Beliau yang ditemui baru-baru ini cukup optimis dengan dengan keputusan pelantikan yang telah pun dibuat.

Apabila ada pihak berterusan mempertikaikan pemilihan Khai Wahi, Rosma, Lan Kristal, Salima Habibi, Aliff Razali dan Zuraini Kassim mewakili institusi pengajian tinggi itu, Dr Zainuddin punya alasan tersendiri.

“Mereka berenam bukan bahan eksperimental di AUCMS. Kita gunakan kelebihan mereka untuk menambah nilai para pelajar yang berada di institusi pengajian ini,” tegasnya.

Dr. Zainuddin melihat pelantikan enam selebriti berkenaan sebagai perkara positif. Ini bertujuan mempelbagaikan kemahiran pelajar untuk menjadi contoh dalam akademik dan kokurikulum dengan mengambil kira imej, berbudi bahasa serta sikap berani.

Semua perkara tersebut diambil kira dan kapasiti mereka sebagai artis yang mempunyai banyak pengaruh di kalangan masyarakat. Malah mampu menunjukkan kepada contoh terbaik kepada masyarakat.

Pada 15 Jun lalu, AUCMS mengumumkan pelantikan enam dutanya di Pulau Pinang. Pada majlis yang sama, Khai Wahi, Rosma, Lan Kristal, Salima Habibi, Aliff Razali dan Zuraini Kassim turut mengumumkan meletak jawatan mereka di syarikat milik artis AC Mizal.

Mengenai kepercayaan terhadap artis-artis di bawah naungan syarikat World Event Management ini, Dr. Zainuddin tidak pernah meletakkan mereka dalam kategori ‘suam-suam kuku’ atau popular. Penekanan utama terletak kepada kredibiliti untuk menjadi contoh ikutan pelajar.

“Enam arti ini punya pengalaman hidup yang macam-macam. Saya tak boleh nak mempersoalkan cerita silam masing-masing. Lagi pun semua itu cerita lama. Saya tak nak masuk campur.

“Apa yang penting ini adalah kecemerlangan pelajar AUCMS dalam akademik dan kehidupan harian,” katanya yang pernah menggunakan khidmat Angkasawan Negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor sebagai pembakar semangat para pelajarnya kira-kira tiga tahun lalu.

Pada masa yang sama, Dr. Zainuddin menegaskan bahawa pihaknya tidak memerlukan seorang yang mempunyai kelulusan tinggi untuk bekerja di AUCMS.

Sehingga hari ini, tenaga pakar dalam bidang perubatan dan sains kesihatan sama ada tempatan atau luar negara sudah mencukupi. Apa yang belum cukup lengkap adalah kepakaran dalam bidang kokurikulum termasuk sukan dan kesenian.

“Kehadiran mereka dapat membantu pelajar yang datang dari pelbagai kumpulan latar belakang. Tumpuan diberikan dari segi pertuturan, percakapan dan penampilan mereka,” jelasnya lagi.

Katanya, beliau mengambil masa yang lama sebelum menawarkan tugas kepada enam artis tersebut.

Pertemuan dan perbincangan kemudiannya dilakukan menerusi Pengarah Urusan, World Event Management, Hanafiah Mohd. Yunus sebelum mengikat kontrak selama setahun bermula 1 Jun lalu.

Sepanjang tempoh berkenaan, Khai Wahi, Rosma, Lan Kristal, Salima Habibi, Aliff Razali dan Zuraini Kassim perlu mengikuti semua aktiviti yang diadakan oleh AUCMS.

Terdapat pelbagai program ijazah yang ditawarkan dalam bidang fisioterapi, farmasi, kejururawatan, bioteknologi, sains psikologi dan perubatan komplelemtari. Maklumat lanjut boleh didapati dari laman web www.allianzeunicollege.edu.my. atau di talian bebas tol 1800-88-2015.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: