|
|
PENYANYI Lelaki Ini punya rancangan tersendiri untuk penambah baik dalam arena nyanyian tempatan. Buat peringkat awal, dia berhasrat untuk menghulurkan pertolongan pembangunan potensi di kalangan generasi muda.
Bagi Anuar Zain, golongan tersebut banyak mensia-siakan bakat terpendam sedangkan mereka punya banyak keistimewaan yang boleh diketengahkan secara komersial.
Tidak kira sama ada dalam bidang muzik atau mana-mana lapangan disiplin lain yang menjadi minat utama.
“Sebenarnya, saya ada merencana untuk menyertai program motivasi buat generasi muda terutama anak Melayu kita. Saya nak bagi ceramah tentang apa yang penting dalam kehidupan. Mahu mereka lebih banyak berfikir dan merancang masa depan mereka sendiri.
“Perkara ini sudah lama impikan. Perkongsian yang berasaskan kepada pengalaman hidup saya. Saya nak kongsi cerita termasuk dalam soal kerjaya dan kejayaan yang pernah dikecapi sebelum ini.
“Insya Allah, hasrat saya ini dapat memberi banyak manfaat kepada semua pihak,” kata Anuar Zain baru-baru ini.
Pertemuan dilakukan selepas persembahan Up, Close and Personal With Anuar Zain di Menara Kuala Lumpur.
Persembahan eksklusif itu merupakan sebahagian daripada acara Festival Kuala Lumpur 2011 yang berlangsung sepanjang bulan Julai lalu.
Mengajukan persoalan sama ada wujud perbezaan buat dirinya selepas merangkul anugerah khas Oxford Centre for Leadership (Oxcell) di London pada 6 Jun lalu, lelaki ini dilihat tersenyum.
“Sebenarnya, ada banyak benda personal yang berlaku dalam hidup saya. Tapi saya tak nak cerita bab itu. Apa pun, anugerah yang dikurniakan kepada saya itu sememangnya banyak mengundang rezeki kepada saya.
“Pendedahan saya dalam bidang ini semakin besar dan tanpa disangka juga, perhatian yang diberikan kepada masyarakat kepada saya juga berubah," dedah lelaki ini tanpa berselindung tentang perasaannya selepas namanya mengharum di peringkat antarabangsa.
Ditanya adakah Anuar punya rencana lain bersama pihak Oxcell termasuk membentangkan soal masa depan industri hiburan tanah air di peringkat antarabangsa, lelaki ini mengiyakan.
Katanya, semua rancangan yang disenaraikan itu telah dibincangkan bersama. Sudah pasti juga Anuar teruja untuk melaksanakan tanggungjawab barunya sebagai duta kecil negara.
Dalam perkembangan berlainan, Anuar menyatakan hasrat untuk membuat konsert andai menemui penaja bersesuaian satu masa nanti.
Dedahnya, impian tersebut itu seringkali terbantut disebabkan pelbagai faktor. Apabila masih ada pihak yang menyangka dia sengaja meletakkan kos tinggi sama seperti persembahan eksklusifnya itu.
“Perkiraan untuk membuat konsert berskala besar memang sudah lama dalam agenda hidup saya. Cuma saya masih belum menemui yang bersesuaian sebab kerja untuk meyakinkan pihak penaja bukan perkara mudah.
“Minta maaf, saya pula bukan jenis yang suka untuk memaklumkan perihal kewangan melibatkan harga pentas saya ini secara terang-terangan. Bagi saya, biarlah dilakukan secara perbincangan empat mata di belakang tabir,” katanya jujur.
Ditanya adakah Anuar akan menurunkan sedikit pembayaran persembahan pentas semata-mata untuk menghiburkan para peminatnya, lelaki berusia 41 tahun ini menyungging senyuman.
“Sebenarnya memang sukar untuk mengulas perkara ini. Kalau saya turunkan ‘harga’ saya bermakna hati saya tak ikhlas. Sebab terikat dengan macam-macam komitmen dalam persembahan terutama pasukan ahli muzik saya.
“Begitu juga dengan soal makanan dan pentas. Saya cukup prihatin. Sebab kalau boleh saya mahukan sesuatu persembahan yang boleh diingati dalam tempoh lima atau enam tahun berikutnya. Kepuasan peminat adalah matlamat saya,” dedahnya yang berharap agar penjelasannya itu dapat memuaskan hati semua pihak.
Di hujung pertemuan tersebut, Anuar turut berkongsi cerita tentang album terbarunya yang bakal memuatkan lapan lagu tidak lama lagi.
Janji Anuar, produk terbaru berkenaan pasti menjanjikan satu halwa baru buat pendengar kerana menghimpunkan pakar muzik cukup berpengalaman dalam mengadunkan ‘bayi’ terbarunya itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: