
Pertahankan Hak, Perkukuhkan Seni Melalui Perlindungan Hak Harta Intelek yang diangkat menjadi tema simposium sulung Hari Himpunan Bintang Kosmo!-MyiPO 2011 berjaya mencapai matlamat utamanya.
Terima kasih kepada ahli panel yang terdiri daripada empat nama artis tersohor tanah air iaitu Amy Search, Ziana Zain, Diana Danielle dan Aizat Amdan serta Timbalan Pengarah Korporat MyIPO, Mohd. Shahar Osman dan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Hidhayatul Marikha Mohd. Zuki serta moderator, pensyarah kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Prof. Abu Hassan Hasbullah yang berjaya merealisasikan simposium ini menuju sukses.
Melalui perbincangan bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan barisan artis yang mewakili pejuang seni tanah air itu, Akta Hak Cipta 1987 bakal dipinda supaya undang-undang baharu yang lebih ketat diperkenalkan.
Ismail Sabri dalam kenyataan pada simposium yang berlangsung selama hampir tiga jam itu menegaskan, pindaan akta itu akan dibentangkan di Parlimen pada bulan Oktober tahun ini dan seterusnya digazetkan menjelang bulan Jun tahun depan.
“Kita sedang menunggu giliran untuk membentangkan pindaan yang telah lama dirancang ini dan insya-Allah paling lewat pindaan ini dilaksanakan pada bulan Jun tahun 2012,” ujarnya yang ditemui selepas simposium itu.
Tambah beliau, pindaan yang dimaksudkan itu antaranya penetapan naungan setiap syarikat yang ingin mengendalikan royalti artis di bawah kementeriannya.
Selain itu, setiap proses pembayaran royalti perlu direkodkan dan adanya contractual relationship iaitu perjanjian hitam putih antara pengutip royalti dan pihak yang dikutip.
Kata beliau, Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) yang mengutip royalti tanpa kebenaran kementertian akan dikenakan denda maksimum sehingga RM500,000.
“Tribunal Hak Cipta juga akan diaktifkan semula dan diperluaskan kuasanya, jadi artis tidak perlu lagi ke mahkamah untuk menguruskan hal berkaitan royalti dan harta intelek,” katanya yang mengharapkan kewujudan satu badan khas yang menjaga kebajikan semua artis.
Bila artis bersuara
Majlis yang julung-julung kali diadakan gandingan usaha sama mantap Kosmo! dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) serta URTV dan Sinar FM masing-masing sebagai majalah dan radio rasmi itu menyaksikan kunjungan lebih 500 tetamu dengan lebih 300 daripada mereka merupakan karyawan seni tanah air termasuk pelakon, penyanyi, pelawak dan pemuzik.
Mereka termasuklah Datuk Sarimah, Jamal Abdillah, Norman Abdul Halim, Datuk Freddie Fernandez, Harun Salim Bachik, Syafinaz, Nancie Foo, Rabecca Nur Al-Islam, Farah Asyikin, Ana Raffali, Nubhan, Fazli Zainal, Heliza dan Irma Hasmie.

Penyanyi tersohor Ziana Zain dalam sidang akhbar yang dibuat selepas simposium tersebut menegaskan, walaupun tidak 100 peratus namun mungkin 50 peratus daripada perbincangan atau masalah yang diutarakan pada simposium itu telah difahami oleh kerajaan dan MyIPO sendiri.
Ujarnya, jika asyik ingin menuding jari, tiada gunanya jika tiada persatuan yang mewakili penggiat seni tempatan.
“Ia (tuding menuding jari) akan menjadi perkara sia-sia. Jika wujudkan satu persatuan yang mewakili penggiat seni kita, kita luahkan masalah kepada mereka dan biar mereka buat keputusan sama ada perkara ini boleh dipertimbangkan atau boleh dibawa ke Kabinet dan melalui proses seterusnya,” bicaranya yang mana kata Ziana lagi, selama ini aduan dibuat namun seperti tiada sebarang tindakan diambil.
Tambahnya, sekiranya penggiat seni yang ada dalam industri ini bersatu hati dan mengambil serius tentang hak mereka, perkara yang selama ini dibincangkan boleh bergerak dengan bantuan kerajaan mengadakan simposium seperti ini.
Katanya lagi, sikap hanya hangat-hangat tahi ayam dan perasaan malas sering menyelubungi diri para artis tempatan dan jika perkara ini berterusan, apa pun yang dibuat tidak akan selesai.
Melihatkan kelantangan bersuara Ziana semasa menjadi wakil panel simposium tersebut kelmarin, cukup terserlah rasa tidak puas hati dalam setiap dialog yang dilontarkannya.
Menjawab persoalan tersebut, Ziana mengakui setelah 20 tahun berkecimpung dalam bidang seni, baik muzik mahupun lakonan, katanya kini sudah tiba masa untuk meluahkan segala pekung yang tersimpan.
Akuinya jujur, golongan penyanyi boleh diibaratkan seperti petani suara kerana artis akan nampak mewah apabila memperagakan busana ataupun apabila berada di atas pentas mahupun di dalam televisyen. Namun, pada hakikatnya, rezeki mereka seperti kais pagi makan pagi sahaja.
“Sepatutnya pada usia begini, saya sudah boleh berehat dan mengutip royalti daripada bakat yang telah saya curahkan selama ini.
“Merujuk kepada isu royalti yang tidak habis-habis dan bayaran yang tidak menentu, artis kena pijak sebenarnya. Itulah hakikatnya nasib penyanyi kita, sekiranya ada yang pandai sedikit, bolehlah menjalankan bisnes. Itu pun, bukan tentu keuntungan akan memihak di sebelah kita,” luah Ziana.
Meluahkan lagi kekecewaan yang melanda diri, Ziana menjelaskan, jika mahu bertahan dalam industri hiburan di Malaysia, seseorang artis itu perlu menguatkan hati serta menebalkan telinga. Jika dahulu, mungkin Ziana banyak berdiam dan hanya memerhati keadaan sekeliling, namun kini tidak lagi.
“Kini bila sudah sampai ke suatu tahap, rasanya tidak salah bagi saya untuk menyuarakan pendapat saya kerana banyak yang telah saya lihat dan banyak juga yang saya tempuhi sepanjang berada di dalam industri ini,” akhiri Ziana yang menekankan supaya tidak perlu untuk mewujudkan banyak persatuan jika tiada satu pun dapat menjaga kebajikan penggiat seni tempatan.
Aktor muda, Sharnaaz Ahmad turut mempunyai padangan yang sama. Katanya: “Semua persatuan artis sedia ada perlu dibubarkan dan tubuhkan hanya satu badan berkanun di bawah kerajaan yang menjaga hak dan kebajikan para artis.
Tambahnya: “Semua masalah yang berbangkit tentang hak intelek artis perlu mula diselesaikan daripada akar umbi. Suatu kongres perlu diadakan untuk menyalurkan pengetahuan tentang hak intelek artis kepada semua rumah produksi didaftarkan di bawah Syarikat Suruhanjaya Malaysia (SSM). Kerajaan perlu mewajibkan setiap rumah produksi menghadiri kongres tersebut dan tindakan keras perlu diambil sekiranya ada di kalangan rumah produksi yang enggan bekerjasama.”
Pengagihan setara

Biarpun telah berkecimpung lebih 30 tahun dalam industri seni, Amy Search yang turut menjadi panel pada simposium itu mengakui masih berdepan dengan kemelut ketidaksamarataan jumlah bayaran royalti yang diterima artis.
“Isu yang timbul sekarang ini adalah kenapa perkara berkaitan pembayaran royalti kepada artis tidak adil?
“Sepatutnya hal ini tidak seharusnya berlaku dan di sini pihak kementerian perlu duduk semeja dan melihat perkembangan era digital ini untuk membincangkan sekali gus mencari penyelesaiannya,” luahnya yang mengakui sudah lama memendam rasa.
Berbicara mengenai industri seni dalam era digital yang sering dibuli dari sudut ‘mengambil kesempatan’ akibat kealpaan seketika, Amy menjelaskan kemelut utama seharusnya dibanteras dan diselesaikan sebelum meninjau ke lapangan lebih kecil.
“Sejujurnya kita sering ketinggalan untuk mengetahui perkembangan terkini industri seni dan akibat itu kita sering kali ditindas.
“Sepatutnya, isu-isu berat seperti illegal downloading, ring back tone dan bayaran persembahan seperti konsert dan seumpamanya perlu diselesaikan mengikut undang-undang yang sedia ada kemudian barulah kita selesaikan masalah kecil yang lain,” luahnya.
Sementara itu Diana Danielle yang turut meluahkan isi hatinya usai simposium tersebut berkata: “Saya amat berterima kasih kepada Kosmo! kerana memberikan peluang kepada saya untuk turut menjadi panel simposium.
“Saya sungguh berasa gembira kerana simposium ini berjaya mencetuskan supaya semua pihak yang terbabit membuka mata terhadap isu hak intelek artis.
“Simposium ini sesungguhnya menjadi pencetus kepada masa depan yang lebih cerah buat semua golongan artis tempatan.”
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: