PERNAH ditawarkan beraksi di pentas teater namun ketika itu pengacara dan penyampai radio popular, Fara Fauzana, belum bersedia kerana jadual harian dipenuhi aneka tugasan yang memerlukan komitmen penuh.
“Segala-galanya seakan sudah disuratkan untuk saya. Tawaran membawakan watak isteri kepada Tuan yang ditonjolkan kepoh itu datang tepat pada waktunya. Walaupun ketika dihubungi saya berada di luar negara, tanpa berfikir panjang saya terus menerimanya.
“Kalau ikutkan, saya memang sudah lama menunggu tawaran seperti itu apatah lagi bekerja dengan mereka yang begitu berpengalaman. Ia sesuatu yang begitu mengujakan,” katanya yang pernah mengambil teater sebagai subjek pilihan ketika pengajian di universiti.
Teater di bawah kerjasama Matic dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu mengisahkan perjalanan dan kesengsaraan hidup pengasas Jamu Mak Dara, Ibu Halimah, serta kisah seorang nyonya dari Indonesia.
Selain Fara, tunjang utama lain bagi pementasan yang menggabungkan kisah Mak Dara dan Nyonya itu ialah Misha Omar, Sarimah Ibrahim, Norzizi Zulkifli dan Sherry Syed Abdullah, manakala Juhara Ayob mengalas tanggungjawab sebagai Mak Dara.
Melihat senarai pelakon, tidakkah Fara gentar berkongsi pentas dengan mereka yang lebih dulu menimba pengalaman beraksi di pentas teater?
Akui gadis berusia 31 tahun itu, segala perasaan negatif dilontar jauh bagi memastikan tumpuannya tidak terjejas apatah lagi orang baru sepertinya mengharapkan bimbingan daripada mereka yang sudah merasa asam garam dunia pementasan langsung.
“Jika diikutkan saya masih setahun jagung dalam bidang lakonan namun mereka yang lebih senior ini membuka tangan seluas-luasnya malah tidak kedekut ilmu apabila sanggup memberikan tunjuk ajar.
“Teater mempunyai disiplin tersendiri, begitu juga lenggok serta penyampaian dialognya tambah-tambah menerusi Mak Dara Nyonya yang menjurus kepada senario di Indonesia manakala watak saya juga perlu tampak gedik,” katanya yang mengagumi Juhara.
Menumpukan sepenuh perhatian terhadap sesi latihan yang mengambil masa lebih sebulan, tanpa berselindung saat melangkahkan kaki ke latihan pertama, hatinya dipaut resah melihatkan pelakon lain sudah bersedia.
Awalnya Fara kurang yakin terhadap kemampuan membawakan watak terbabit tetapi selepas melalui sesi latihan bersama teman seperjuangan lain, dia kini sudah mampu membawa jiwa wanita berkenaan.
“Teater berbeza daripada penggambaran drama atau filem, tetapi saya puas dapat menimba pelbagai pelajaran baru. Kami berpeluang melontarkan idea untuk mencantikkan lagi situasi mahu pun dialog asalkan tidak berlebih-lebih.
“Kini harinya sudah tiba. Sebagai pendukung watak, sudah pasti saya mahu menonjolkan yang terbaik malah saya yakin komitmen, kerjasama dan semangat kerja berpasukan mampu menjadikan misi kami realiti,” katanya lagi.
Makan angin sambil kerja di LA
DALAM keghairahan mencuba bidang baru, Fara tidak mengenepikan dunia penyiaran apabila baru-baru ini ‘terbang’ ke Los Angeles, California, Amerika Syarikat, bersama pasukan produksi untuk sebuah program televisyen.
Masih enggan berkongsi rahsia, katanya penerbitan yang masih pada peringkat pembikinan itu hanya akan dihebahkan apabila hasilnya siap, kemungkinan dalam tempoh terdekat ini.
“Kami pergi bukan sekadar makan angin namun mencari bahan untuk program terbabit, cuma belum masanya untuk saya mendedahkan konsep mahu pun judul rancangan itu kerana masih banyak yang perlu diperhalusi.
“Boleh dikatakan ia sebuah rancangan yang segar manakala penerbitannya pula di bawah tanggungjawab syarikat produksi saya sendiri. Tunggu saja nanti,” katanya yang menerbitkan sendiri program itu sambil tersenyum penuh bermakna.
Sementara itu, tiket menyaksikan Mak Dara Nyonya boleh didapati pada harga RM32, RM52 dan RM82. Keterangan lanjut hubungi 03-41478600, 012-2977220 dan 013-6293825.
PROFIL: Fara Fauzana
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: