SIDEK (dua dari kiri) bersalaman dengan Yusof sambil diperhatikan Jurey (kiri) dan Martias pada sidang akhbar penganjuran KLIS 2012.
PENGANJURAN Festival Filem Pendek Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIS) 2012 yang dijadual berlangsung pada 30 Januari hingga 1 Februari tahun depan kini menerima lebih 350 penyertaan dari seluruh dunia.
Pastinya KLIS akan menjadi aktiviti tahunan yang akan dimuatkan dalam kalendar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan, selepas pihak terbabit bersetuju bertindak sebagai penganjur bersama.
Pengerusinya, Martias Ali, berkata pihaknya tidak menyangka sambutan yang begitu cepat diterima daripada peserta luar negara, membuatkan mereka lebih yakin festival ini mampu berjaya. Penyertaan terbanyak datangnya dari Amerika Syarikat diikuti Venezuela, Brazil, Sweden, Hungary, Belanda, Itali, Filipina, Kanada, Pakistan, Australia dan banyak lagi.
“Dengan penyertaan awal melebihi angka 350 termasuk produknya sekali, saya yakin ia akan menjadi festival yang boleh dibanggakan oleh orang industri termasuklah pelajar jurusan filem di seluruh Institusi Pengajian Tinggi di negara ini.
“Sepatutnya penganjuran festival sudah lama dilakukan, memandangkan di Asia kini memang tidak ada festival untuk filem pendek. Kita seharusnya berbangga apabila menjadi negara Asia pertama yang akan memiliki festival bertaraf antarabangsa.
“Begitu juga dengan lepasan graduan kita yang tiada landasan untuk mengenengahkan bakat mereka, dengan penganjuran KLIS 2012 ini kita berharap produk tempatan lebih mudah melepasi ke peringkat antarabangsa,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran festival itu di ibu kota baru-baru ini.
Hadir sama Pengarah Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Datuk Sidek Khalid; Presiden Majlis Tindakan Industri Kreatif Multimedia (MAJIKA), Jurey Latiff; dan penggiat filem tanah air yang turut mewakili KLIS Network, Yusof Kelana.
Biarpun kecewa kerana tidak mendapat sokongan daripada pihak yang sepatutnya seperti Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDec) dan Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM), namun penganjuran itu tetap diteruskan berbekalkan sokongan pihak lain.
“Kami meneruskan penganjuran festival ini apabila DBKL bersetuju menjadi penganjur bersama, di samping sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Skop Productions Sdn Bhd serta Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Jika diikutkan memang kami agak kecewa apabila permohonan kami ditolak terus oleh mereka yang tidak meyakini langsung usaha kami. Apa yang pasti usaha ini bukan untuk kepentingan sendiri, malah pihak kerajaan sendiri mengakui penganjuran ini dapat membantu industri perfileman tempatan termasuk industri pelancongan,” katanya yang terpaksa mengeluarkan sejumlah besar kewangan sendiri untuk merealisasikan KLIS 2012.
Info:
- Sebanyak empat kategori filem yang dipertandingkan seperti filem Pendek, Animasi, Pelajar dan Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR).
- Sepanjang tiga hari KLIS 2012 berlangsung, pelbagai aktiviti membabitkan industri perfileman sudah diatur bagi menyahut objektif mengangkat industri filem kita ke peringkat antarabangsa.
- Antara aktivitinya seperti membuka pasaran antarabangsa dengan mengumpulkan semua produser dan pembeli luar, tayangan filem pendek secara percuma di Panggung Bandaraya, beramah mesra bersama pemenang filem pendek animasi Oscar, Academy Awards 2011 dan beberapa aktiviti lagi.
- Bagi penggiat filem pendek tanah air yang ingin menyertai festival ini boleh melayari http/www.klisfestival.com atau info@klisfestival.com. Setiap penyertaan adalah percuma dan pemenang bakal menerima hadiah wang tunai terkumpul sebanyak RM50,000.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: