![]() |
| Sebahagian anggota Persatuan Pandu Puteri Perak bergotong-rotong menanam anak pokok bakau. |
BAK kata pepatah kita tidak mewarisi bumi daripada nenek-moyang kita, tetapi kita meminjamnya daripada anak cucu kita.
Inilah semangat yang diperlihatkan pada sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia (WED) anjuran Persatuan Pandu Puteri Perak baru-baru ini.
Sambutan tersebut merupakan salah satu acara utama sempena sambutan Ulang Tahun Ke-90 persatuan negeri tersebut, tahun ini.
Berlandaskan tema Program Alam Sekitar Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) WED Hutan: Semula Jadi Untuk Anda, persatuan dengan bantuan Jabatan Perhutanan Perak, mengadakan aktiviti menanam anak pokok bakau di pesisir pantai Taman Paya Bakau Kuala Sepetang, Perak.
Malah, Majlis Perkayuan Malaysia (MTC) telah tampil menghulurkan sumbangan dalam usaha untuk mewujudkan persekitaran yang lebih baik bagi kanak-kanak generasi akan datang.
Sumbangan MTC juga menunjukkan keprihatinannya terhadap alam sekitar dan kesungguhannya menyokong pemuliharaan alam.
Kira-kira 200 ahli pandu puteri daripada sekolah menengah di seluruh negeri itu menyertai acara tersebut.
Acara disempurnakan perasmiannya oleh Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.
Hadir sama Pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Datuk Nik Mohd. Shah Nik Mustafa dan Pengarah Hal-Ehwal Awam dan Korporat MTC, Siti Syaliza Mustapha.
Raja Nor Mahani berkata, aktiviti menanam pokok bakau memberi ruang kepada Persatuan Pandu Puteri Perak untuk menyumbang kepada pemuliharaan dan penyenggaraan hutan.
Ini katanya, selaras dengan Matlamat Pembangunan Milenium Ke-7 UNDP, iaitu menjamin kelestarian alam sekitar.
“Kita harus mengambil pengajaran daripada bencana tsunami yang melanda pantai barat Semenanjung pada 26 Disember 2004 dan meragut 68 nyawa.
“Walaupun angka ini rendah berbanding dengan negara lain, bencana alam tersebut cukup untuk menyedarkan kita tentang pentingnya mengekalkan alam semula jadi,” katanya.
Beliau yang juga Raja Puan Muda Perak berkata, Persatuan Pandu Puteri Perak memilih untuk mengadakan aktiviti menanam anak bakau kerana pokok bakau bertindak sebagai penampan yang mengurangkan kesan ombak besar.
Justeru katanya, menjadi tanggungjawab bersama untuk melindungi penampan semula jadi ini dan memastikan pemuliharaannya.
Sementara itu, Nik Mohd. Shah berkata, pihaknya berharap pelaksanaan program seperti ini dapat membuka mata khususnya masyarakat setempat terhadap isu-isu yang melibatkan perhutanan dan alam sekitar.
Pihaknya sentiasa memberi sokongan dan galakan kepada usaha ‘hijau’ berasaskan prinsip Pengurusan Hutan Lestari (SFM) kerana ia merupakan satu-satunya cara mengimbangi keperluan industri kayu dengan pemuliharaan alam sekitar secara sistematik.
Sementara itu anggota pandu puteri yang terlibat turut memuji acara tersebut.
Rata-rata menyifatkan aktiviti seperti itu bukan sahaja menyeronokkan tetapi penuh bermakna dalam menyumbang kepada pemulihan alam sekitar.
Chao Xuan Kuan, dari Sekolah Menengah Convent, Taiping, berasa gembira kerana berpeluang memberikan sumbangan kepada usaha memulihara alam sekitar.
“Saya berharap dapat menyertai lebih banyak aktiviti sedemikian pada masa depan,” katanya.
Fatin Nabilah Ahmad dari Kolej Matrikulasi Perak pula berkata, sebelum ini pengalamannya dalam kegiatan luar seperti ini lebih menjurus kepada mempelajari cara mencantas akar pokok dan sebagainya.
“Ini kali pertama saya belajar cara menanam pokok bakau. Prosesnya tidak susah dan ia aktiviti yang menyeronokkan,” katanya.
Menurut Fatin Nabilah, aktiviti tersebut amat berguna kerana ia turut mendedahkan tentang kepentingan paya bakau di negara ini.
Dia juga berharap aktiviti seperti ini lebih kerap diadakan dengan membabitkan komuniti yang lebih besar.
“Kita perlu memberitahu masyarakat bahawa hutan paya bakau di negara ini perlu dipulihara demi menjaga kestabilan ekosistem semula jadi,” katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: