Wednesday, July 6, 2011

'Orang baru' dalam hidup Tiara


HEBAT... Tiga daripada lima tonggak utama pementasan The Secret Life of Nora iaitu (dari kiri) Ryan Silverman, Tiara Jacquelina dan Aznil Nawawi pada sidang akhbar yang berlangsung di Pavilion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


APABILA Datin Seri Tiara Jacquelina mempertaruhkan bintang Broadway, Ryan Silverman sebagai bintang utama teater muzikal terbarunya, The Secret Life of Nora (NORA), pasti akan ada yang mempertikaikan keputusannya itu.

Mungkin pada pengamatan segelintir pihak, apakah tidak ada pelakon tempatan yang benar-benar layak untuk memegang watak seorang agen penyiasat bernama Roger itu.

Namun, mengenali Tiara, dia bukanlah seorang yang gemar mengambil pusing kata orang sekeliling kerana dia tahu matlamat yang mahu dicapainya menerusi NORA.

Lihatlah sahaja bagaimana percaturan yang dilakukan oleh wanita besi ini sewaktu dia memperkenalkan Stephen Rahman-Hughes sebagai Hang Tuah untuk pementasan Puteri Gunung Ledang the Musical selama tiga musim.

Siapa sangka daripada seorang yang begitu asing di negara ini, Stephen Rahman mencipta fenomena luar biasa sehingga dia mampu berdiri sebaris dengan artis popular tempatan lain.

Atas alasan itu jugalah, Tiara melahirkan rasa optimisnya dengan pemilihan Ryan sebagai Roger kerana percaya dengan kredibiliti aktor kacak itu yang memiliki portfolio mengagumkan di pentas teater.

"Saya harus akui bukan mudah untuk saya dan seluruh pasukan NORA untuk memilih pelakon utama dalam membawakan watak Roger ini.

"Selepas melalui beberapa siri perbincangan dan rombakan skrip, kami di Enfiniti Vision Media (EVM) perlu melakukan sesuatu yang di luar kotak agar penonton dapat menikmati sesuatu yang baru.

"Proses pemilihan untuk watak Roger juga bukan semudah yang disangka kerana kami mahu pelakon yang benar-benar layak dan berkemampuan membawakan watak itu.

"Lalu, kami menilai beberapa nama dan portfolio sehinggalah nama Ryan menangkap pandangan kami. Tidak menunggu lama, kami berhubungan dengan agennya di New York, AS dan kami gembira apabila menerima jawapan positif daripada mereka," jelas Tiara panjang lebar saat ditanya tentang pemilihan Ryan untuk NORA.

Aktres dan penerbit terkenal itu ditemui pada sidang akhbar pengumuman barisan pelakon utama NORA yang berlangsung di Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain Ryan dan Tiara yang akan memegang watak Nora dalam pementasan itu, dua bintang popular negara, Aznil Nawawi dan Adibah Noor juga menjadi pilihan EVM untuk membintangi teater muzikal arahan Steven Dexter itu.

Walau bagaimanapun, Adibah tidak dapat hadir ke majlis itu berikutan sudah terikat dengan komitmen lain.

Untuk teater muzikal yang berkonsepkan penyiasatan komedi itu, Aznil akan membawakan watak penjahat yang masih belum bernama manakala Adibah pula sebagai Khatijah iaitu teman baik kepada Nora.

Hanya satu lagi watak iaitu Agen Farouk yang masih lagi menjalani proses pemilihan dan pemegang watak itu akan diumumkan tidak lama lagi.

Menyambung bicara, Tiara menjelaskan proses perbincangan untuk memujuk dan seterusnya mendapatkan Ryan membintangi NORA diadakan secara maya menerusi Skype.

"Ia melibatkan perbincangan tiga penjuru di antara Ryan, agennya dan Naib Presiden Operasi Kumpulan Enfiniti, Izan Satrina sejak beberapa bulan lalu.

"Apa yang membuatkan kami terpikat dengan Ryan adalah keramahan dan personalitinya yang mudah didekati itu walaupun hanya mengenalinya secara maya.

"Selain itu juga, pengalaman luasnya membintangi teater muzikal popular dunia seperti Mamma Mia!, The Phantom of the Opera dan West Side Story menyebabkan kami yakin untuk memilihnya," ujar Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-50 (2005) menerusi filem Puteri Gunung Ledang ini penuh optimis.

Begitu juga dengan pemilihan Aznil dan Adibah yang disifatkannya bertepatan dengan watak-watak yang diberikan kepada mereka.

Jelas Tiara lagi, dia percaya dengan kredibiliti dua personaliti popular itu dalam menghidupkan watak serta mewarnai perjalanan muzikal itu nanti.

"Aznil dan Adibah merupakan dua sahabat lama saya. Apabila membaca skrip, sepantas kilat nama mereka terus melekat di minda saya dan saya yakin dengan kemampuan mereka dalam muzikal ini nanti," kata Tiara yang baru sahaja kehilangan ibu tercinta, Nelly pada 27 Jun lalu akibat kanser payu dara.

Sudah pasti, pelaburan yang dilakukan oleh Tiara dan EVM cukup besar untuk mendapatkan nama-nama besar membintangi teater muzikal terbaru mereka itu.

Puas dipujuk untuk berkongsi maklumat tentang kos keseluruhan NORA, seperti biasa, Tiara hanya melemparkan senyuman walaupun dikhabarkan ia menelan belanja yang begitu besar.

"Bukan soal bajet yang menjadi pokok utamanya tetapi apa yang kami mahu mempersembahkan menerusi NORA. Untuk setiap naskhah teater yang kami terbitkan, azam dan visi kami adalah untuk memberikan sesuatu yang baru kepada audiens.

"Kami di EVM tidak mahu berada di takuk lama dan kami sentiasa mahu menampilkan kelainan dalam memartabatkan industri seni persembahan ke peringkat lebih tinggi.

"Untuk NORA ini juga, kami telah mencabar diri kami dengan menampilkan kelainan dari semua aspek walaupun perlu berhadapan dengan risiko yang sangat tinggi," ujar Tiara lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: