Wednesday, July 6, 2011

Nostalgia biduanita negara


Antara koleksi Hazree Wahid yang diperagakan.


ALLAHYARHAMAH Biduanita Negara Saloma merupakan anak seni yang tiada tolok bandingnya. Bukan sahaja dalam bidang nyanyian dan lakonan, malah pada zamannya beliau merupakan ikon fesyen di kalangan peminatnya.

Lihat sahaja baju-baju yang digayakan dalam filem mahupun ketika persembahan pentas, kebanyakannya merupakan kebaya mahupun gaun hasil rekaan beliau sendiri.

Di sebalik rekaan yang digayakan oleh Saloma, antara individu yang bertanggungjawab merealisasikan rekaan-rekaan tersebut menjadi busana ialah Nona Asiah.

Untuk itu, baru-baru ini bertempat di pusat membeli belah The Twelve, Farenheit 88, Kuala Lumpur, telah diadakan pertunjukkan fesyen koleksi Hari Raya 2011 berinspirasikan biduanita negara itu.

Lapan pereka terkenal tempatan daripada Persatuan Pereka-Pereka Bumiputra (BDA) mengambil bahagian dengan menampilkan lebih 30 rekaan termasuk beg tangan.

Bukan itu sahaja, kemunculan Nona Asiah yang diterbangkan khas dari Singapura, memberi kejutan apabila beliau turut membawa dua persalinan lama kegemaran Saloma yang masih dalam simpanannya untuk dikongsi bersama para tetamu.

Nona Asiah ketika ditemui berasa cukup terharu dengan jemputan yang dilayangkan untuk beliau bersama-sama berhimpun dengan artis-artis, keluarga serta adik beradik Saloma seperti Mariani dan Mimi Loma.

Apa yang paling menggembirakan, kehadiran mereka diserikan lagi dengan busana yang cukup sinonim dengan gaya Saloma iaitu mengikut potongan badan, mempamerkan pinggang yang ramping serta potongan tangan kembang.

Berbicara mengenai fesyen yang digayakan sewaktu mereka bersama-sama berlakon di Studio Jalan Ampas, Singapura, Nona Asiah memberitahu Saloma sememangnya seorang individu yang cukup kreatif terutama dalam berfesyen.

"Jika melihat kembali segala pakaian yang digayakan Saloma ketika zamannya, ia merupakan hasil rekaannya sendiri kerana beliau sememangnya merupakan seorang insan yang begitu kreatif.

"Saya amat berbangga apabila Saloma memberi kepercayaan kepada saya untuk menjahit kesemua pakaiannya.

"Kesemua pakaian yang digayakan amat bersesuaian pada ketika itu malah Saloma juga amat menitik beratkan pemakaian rambut palsu agar ia kelihatan sepadan dengan busana yang digayakan," ujarnya lagi.

Pada petang itu, pereka-pereka fesyen yang mengambil bahagian mempamerkan rekaan masing-masing ialah Wirda Adnan, Amir Luqman, Hazree Wahid, Rizman Ruzaini, Zery Zamry, Rico Rinaldi, Sasha Rowena dan Prettylulu.

Sudah pasti masing-masing tampil dengan rekaan yang cukup unik dan sinonim dengan gaya Saloma.

Pemilihan fabrik juga dilihat bersesuaian dengan tema yang diketengahkan selain corak-corak yang begitu cantik mengikut perkembangan semasa.

Bukan itu sahaja malah rekaan-rekaan yang ditampilkan juga telah diubah suai mengikut masa.

Pertunjukan petang itu turut diserikan dengan pelbagai jenis busana yang berwarna-warni mengikut pilihan masing-masing bermula dari warna terang hinggalah warna gelap.

Tidak kurang ada juga yang mengetengahkan fabrik satin dan polos.

Yang pasti, pertunjukkan fesyen pada petang itu mendapat sambutan yang diluar jangkaan dan pastinya meninggalkan satu kenangan yang cukup indah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: