
ALOR SETAR - Seorang jururawat, Natrah Ismail dan pembantu doktor, Faisal Baharom dinobatkan sebagai juara Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 peringkat Zon Utara di pusat beli-belah Star Parade di sini semalam.
Kejayaan Natrah, 59, diraih menerusi kategori biskut selepas biskut Kana Daisy yang dipersembahkan memikat juri dengan memperoleh 308 markah. "Bersyukur dengan kemenangan ini memandangkan saya tidak meletakkan harapan tinggi pada awal penyertaan cabaran ini. Saya tidak sangka penyertaan saat akhir membawa tuah," katanya yang bertugas di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Menurutnya, beliau cuba membuat biskut itu setiap hari selama seminggu menerusi resipi yang diciptanya berasaskan bahan-bahan seperti lobak, badam dan kelapa kering serta diadun dengan minyak jagung Daisy.
Sementara itu, juara kategori kek dengan markah 314, Faisal, 36, pula menitiskan air mata selepas namanya diumumkan sebagai pemenang cabaran itu. "Saya terharu dan amat gembira dengan kemenangan itu sehingga tidak sedar air mata menitis," katanya yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Menurutnya, usahanya membuat persediaan sehingga pukul 5 pagi kelmarin berbaloi kerana kek ciptaannya menerusi bahan seperti ubi kayu yang dicampur dengan bahan lain dan diadun dengan minyak jagung Daisy menarik minat juri. Hadiah pemenang disampaikan oleh Pengurus Iklan Kosmo!, Stella Abdullah dan Chef Liza Zainol.
Kedua-dua pemenang menerima wang tunai RM300 dan melangkah ke peringkat akhir di Plaza Shah Alam, Selangor pada 17 Julai ini. Cabaran selepas ini akan berlangsung di Giant, Tampoi, Johor pada 10 Julai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: