SETIAP kali muncul dalam mana-mana acara permaidani merah atau majlis membabitkan selebriti tempatan, pasti kelibat model dan pelakon terkenal Nasha Aziz yang mencuri tumpuan ramai.
Bukan saja menjadi artis kegemaran lensa jurugambar, malah kelibat Nasha juga menarik perhatian tetamu yang tidak lepas daripada menatap wajahnya yang memang tidak dimakan usia itu.
Itulah aura dan pesona pelakon berkaliber Nasha Aziz atau pemilik nama sebenarnya, Noraishah Abd Aziz, 40. Tampil jelita dan menawan dengan busana rona biru firus rekaan pereka terkenal Iszal dari butik Citra, Nasha tidak pernah kalah gaya dalam apa acara dan majlis sekalipun.
Selain karier seni, soalan wajib pihak media sudah pasti ingin mengorek kisah cintanya dengan kekasih hati, Nur Iman Tang Abdullah yang hangat diperkatakan ketika ini.
Justeru, pada majlis Showcase The Nyonya Blue Kebaya anjuran Rafflesia The Pearl Centre yang berlangsung di Concourse, The Weld Shopping Centre bersama 40 selebriti, petang kelmarin, Nasha tetap dikerumuni pihak media yang membuat liputan sekali lagi.
Nampaknya, Nasha tidak dapat mengelak apabila ditanya bila dia dan Iman akan mengakhiri hubungan mereka ke arah perkahwinan. Jawapan Nasha juga ringkas dan padat petang itu.
“Hubungan kami masih okay dan saya juga melihat tali silaturahim kami sebagai saudara seagama itu tidak akan putus sampai bila-bila pun. Apa yang boleh saya katakan, buat masa ini, ada beberapa halangan buat kami menuju ke arah perkahwinan,” katanya.
Ditanya sama ada dia kini ingin mengelak bercerita soal peribadi, Nasha menafikannya.
Katanya, dia faham apa yang wartawan mahu, tetapi biarlah cerita yang dilaporkan di akhbar membantu menaikkan lagi karier seni serta menguntungkan kedua-dua belah pihak.
“Janganlah cerita itu hanya untuk melariskan akhbar saja,” katanya.
Namun, apabila diminta berkongsi perkembangan karier seninya, Nasha juga lebih selesa untuk bercerita lanjut mengenai perkara berkenaan.
Kata Nasha, dia sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Supermak untuk stesen TV3 bermula 19 Jun lalu.
Cerita berkenaan mula disiarkan jam 9 malam, setiap Isnin bermula 25 Julai ini.
“Saya memang suka dengan karakter Amy Salim, ibu dan suri rumah yang memiliki kekuatan dan kelajuan seorang adiwira ini. Watak ini memerlukan banyak tenaga dan aspek fizikal. Amy mewarisi keistimewaan itu dari nenek moyangnya Thani yang berasal dari kepulauan Riau.
“Watak ini agak berat kerana ia memerlukan tenaga dari hujung rambut ke kaki dari aspek fizikal dan emosi.
“Saya juga perlu melihat hasil lakonan bila ia di siarkan di kaca TV nanti. Bagi saya watak orang gila dan psiko paling mudah dijiwai berbanding karakter dalam Supermak,” katanya.
Drama ini turut dibintangi barisan pelakon iaitu Azhan Rani, Zul Yahya, Rosli Sako, Zara Zya, Syawal AF dan Henzy Andalas.
Nasha juga bakal beraksi dalam filem baru arahan Din CJ berjudul Skandal pada September nanti.
Dia pegang watak pramugari atau ‘mak ayam’ dalam filem ini.
Berkongsi pandangannya mengenai kemunculan artis baru pula, kata Nasha, dia juga pernah menjadi artis baru sebelum menempa nama seperti hari ini.
“Saya juga bermula dari dunia peragaan dan terus bertahan selama 25 tahun dalam industri. Bukan mudah untuk terus bertahan dalam industri seni kerana anda perlu berikan yang terbaik mengikut kemampuan.
“Anda perlu ada bakat besar, minat mendalam dan kerja keras untuk mendapat tempat dalam industri seni.
“Maklumlah, kita bukanlah bintang seperti di Hollywood yang ada kedudukan yang stabil,” katanya.
Mengulas aktiviti pada Ramadan pula, kata Nasha, dia juga masih terbabit dengan penggambaran drama Supermak pada bulan yang mulia itu.
“Nampaknya, saya akan berpuasa dan berbuka di lokasi bersama pelakon dan kru drama ini. Sebenarnya, saya juga tidak tahu drama ini bakal menjalani penggambaran sehingga memasuki Ramadan ketika menandatangani kontrak cerita ini dulu.
“Seperti yang kita tahu, waktu solat Maghrib juga singkat pada Ramadan. Apapun, ia terpulanglah pada budi bicara sesebuah produksi untuk beri peluang pada pelakon dan kru mereka buat ibadah di lokasi.
“Sebagai pelakon, saya sendiri sedia maklum waktu penggambaran memang tidak tentu masa apatah lagi cerita Supermak membabitkan banyak aspek teknikal dan elemen futuristik.
“Terus-terang, selepas lima tahun, ini kali pertama saya terbabit berlakon pada Ramadan. Apapun, saya tetap mencuri peluang untuk beribadah bagi sama-sama memperoleh keberkatan pada Ramadan yang bakal tiba ini,” katanya.
PROFIL:
NAMA SEBENAR: Noraishah Abdul Aziz
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
TARIKH LAHIR: 14 Mei 1971
STATUS: Bujang
KERJAYA: Model dan pelakon
ANTARA DRAMA: Duit Free, Drama Cik Mala Janda Berhias, Inspirion, Inikah Cinta, Diari Datin dan Kasih Tercipta
TEATER: Lantai T Pinkie
FILEM: Sepi, Otai, Puaka Tebing Biru, Buli Balik, Kemarau Cinta, Tak Ori Tapi Ok, Cinta Luar Biasa, Buli, Trauma, Laila Isabella, Gerak Khas The Movie, Bara, Burung Besi, Puteri Impian, Kad Cinta
PENCAPAIAN: Festival Filem Malaysia ke-17 (2004): Pelakon Wanita Terbaik dan Festival Filem Malaysia ke-14: Bintang Harapan Wanita Terbaik (1999)
TUA DAH...
ReplyDelete