Sunday, July 3, 2011

Nabila hafal mentera




MESRANYA masih sama. Lagak dan tuturnya pula saling tidak ubah seperti anak dara, cuma saat soal anak dipetik dalam perbualan, emosinya pantas beralun. Itulah Nabila Huda Shuhaimi, si pelakon yang mengalami putaran besar dalam hidupnya. Dalam soal kerja, dia semakin matang mahu berdiri atas pegangan tersendiri dalam setiap karakter yang diamanahkan. Nabila masih sebagai pelakon yang tidak kenal erti puas dengan lakonan, masih menunggu dan sentiasa mencari-cari kelainan dalam setiap karya. Begitu juga dengan penampilan terbarunya dalam drama bersiri Sijundai yang sedang mencengkam emosi peminat slot Lagenda ketika ini.

“Ini kali pertama saya melakonkan watak sebagai pengamal ilmu hitam. Satu kelainan dalam perjalanan seni saya. Kena lebih banyak bermain emosi dan kena buat banyak rujukan tapi saya sukakan kerja yang begitu. Watak dan karakter yang memerlukan pemahaman mendalam menuntut penghayatan yang lebih sekali gus membuatkan saya terasa bebanan kerja. Kalau watak biasa-biasa sahaja, kurang mencabar rasanya,” katanya bersulam senyum.

Menurut Nabila Huda, watak Desi dalam Sijundai mengisahkan seorang wanita yang baik tetapi bertukar menjadi jahat setelah cintanya terhadap Gema tidak menemui penyudah akibat dihalang keluarga. Cinta Gema yang beralih kepada Sarah menyebabkan Desi berdendam untuk menuntut haknya. Jika bukan dengannya, Gema juga tidak akan dimiliki oleh mana-mana wanita lain. “Kalau bukan kerana lakonan, saya memang tak ambil peduli amalan berkaitan ilmu sihir. Masih rasa pelik dan takut, jadi tak pernah terfikir ilmu hitam itu jalan pintas untuk dapatkan sesuatu. Bagi saya, kita kena kerja keras dan berdoa kepada Tuhan, itu sahaja,” ceritanya yang perlu menghafal jampi-serapah sepanjang menghabiskan penggambaran Sijundai.

Drama Sijundai ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis jam 4 petang pada 20 Jun lalu dibintangi oleh Wan Syarmila, Nabila Huda, Azman Pitt, Rahim Omar dan ramai lagi. Nabila Huda turut menghangatkan drama bersiri Biar Rindu Berlalu, yang bersiaran di saluran TV2 sejak Mei lalu. Pelakon yang mesra disapa Abil itu kini sibuk di lokasi Deru Ombak bersama barisan pelakon seperti Aqasha serta Natasha Hudson di Sungai Besar, Selangor.

Rutin penggambaran bersilih-ganti membuatkan dirinya kerap terpisah sementara dengan dua kekasih hatinya, Zaidy Zailani (suami) dan anak mereka, Keisha Laila. “Padahal baru seminggu tapi rasanya macam sudah lama gila tak jumpa mereka. Rindu sangat. Memikirkan perkara itu, saya bercadang untuk bawa Keisha ke lokasi penggambaran drama saya yang akan datang,” katanya yang akan terlibat dengan penggambaran sebuah telemovie di Ipoh, Perak bermula 7 Julai nanti.

Berkongsi sedikit debar, selain sebuah filem baru bakal diterajui hujung bulan nanti, sesi rakaman suara untuk filem lakonannya, Bohsia: Jalan Kembali juga memacu keterujaan berganda. “Filem Bohsia mungkin akan ditayangkan hujung tahun nanti, itu yang buat saya tak sabar. Bulan ini juga, ada satu tawaran untuk mengacarakan sebuah program secara langsung di RTM. Alhamdulillah, rezeki masih memihak kepada saya sejak berjaya menguruskan badan lepas bersalin,” selorohnya menamatkan temu bual.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: