|
|
ANDA tersangkut dalam kesesakan jalan raya? Walaupun menggunakan motosikal, anda masih tidak boleh menyelinap keluar dari kesesakan itu? Jangan bimbang, hidupkan motosikal terbang dan pecutlah di udara sesuka hati.
Menarik bukan? Andainya produk ciptaan bekas seorang juruterbang helikopter ini berada di pasaran dan dijual pula dengan harga seperti motosikal biasa, tentu kemalangan jalan raya akan menjadi sejarah tetapi kemalangan udara pula yang mungkin bertambah.
Pencipta kenderaan dikenali sebagai Hoverbike dari Australia tersebut, Christopher Malloy telah menjadi pencipta amatur pertama yang berjaya membina motosikal terbang yang boleh beroperasi.
Mallyo telah membelanjakan keseluruhan wang simpanannya untuk menjayakan projek futuristik itu yang telah dimulakan sejak dua tahun setengah lalu. Beliau berhasrat untuk menerbangkan kenderaannya sehingga 3,048 meter di udara dan mampu memecut sehingga 160 kilometer sejam (km/j).
Bagi peminat filem, ciptaan itu boleh diibaratkan hampir sama dengan motosikal terbang dikenali sebagai 'speeder bikes' yang digunakan dalam filem Star Wars - Return Of The Jedi atau kereta terbang di dalam filem Back To The Future.
Pencipta berusia 32 tahun itu membina kenderaan terbang itu di garaj rumahnya di Sydney menggunakan kerangka karbon fiber dan enjin kereta BMW. Prototaip tersebut mempunyai potensi bergerak sehingga 148 km/j dalam masa 45 minit untuk minyak yang diisi penuh tangki.
Kenderaan seberat 270 kilogram itu dijangka dipasarkan dengan harga RM216,727 apabila sedia untuk dipasarkan kelak.
Bagaimanapun, setakat ini Hoverbike hanya diuji penerbangan dengan diikat kepada tanah agar ia tidak terbang terlalu tinggi. Ujian terbang tanpa sekatan dijangka akan dilakukan tidak lama lagi.
"Kenderaan ini masih di peringkat ujian, jadi saya tidak pasti apa akan terjadi jika ia tidak diikat dan saya juga tidak sabar untuk merasa bagaimana terbang di udara sepenuhnya tanpa sekatan," kata Malloy.
Katanya, ketika ujian itu, kenderaan itu agak stabil dan ia tidak terbalik tetapi jika sesuatu terjadi, saya tidak mahu merosakkan mesin prototaip ini.
Beliau berkata, Hoverbike dibina dengan ciri-ciri keselamatan tinggi dan ia hanya akan jatuh dari udara jika tiga komponen utamanya gagal berfungsi. Kenderaan itu juga dilengkapi dengan payung terjun dan pemandu juga boleh memilih memakai beg payung terjun untuk tujuan keselamatan.
Malloy berkata, prinsip asas ciptaannya ialah seperti helikopter Chinook yang digabungkan dengan motosikal biasa.
"Untuk terbang, anda hanya perlu memusing trotel (pemulas) di tangan kanan seperti motosikal dan jika hendak terbang ke hadapan atau belakang, anda perlu mengawal alat kawalan di sebelah kiri tangan anda," katanya.
Pengendalian
Untuk memusing ke kiri atau kanan, pemandu perlu menekan pemegang ke kiri atau kanan seperti menaiki basikal.
Sebelum boleh membeli kenderaan ini, pengguna perlu belajar mengendalikan Hoverbike ini memandangkan cara pengendaliannya adalah seperti memandu helikopter dan juga menaiki motosikal.
Bagi penduduk di Amerika Syarikat atau negara-negara yang mempunyai peraturan penerbangan yang sama, pemilik Hoverbike tidak perlu mempunyai lesen juruterbang kerana ia diklasifikasikan sebagai 'pesawat ultraringan' yang digunakan untuk riadah.
Maklumat lanjut mengenai kenderaan ini boleh diperoleh dengan mengunjungi laman web http://hover-bike.com.
Selain itu, terdapat juga produk motosikal terbang dikenali sebagai Super Sky Cycle yang dicipta oleh Larry Neal, seorang juruterbang dan produk ini dijual melalui The Butterfly LLC sejak beberapa tahun lepas.
Pesawat ringan ini memerlukan sedikit kawasan untuk berlepas atau mendarat dan ketika kecemasan, penggunaan rotor atas menjadikan ia selamat kerana dapat berfungsi seperti sebuah payung terjun.
Sistem rotor motosikal terbang ini boleh dilipat dan kemudiannya boleh digunakan di atas jalan raya seperti motosikal biasa.
"Masalah kereta terbang sebelum ini ialah sayapnya yang tidak boleh dilipat apabila berada di jalan raya," kata Neal sambil menyatakan yang kenderaan ini telah didaftarkan penggunaannya di jalan raya dan udara.
Kit kenderaan ini telah dijual di pasaran dengan harga RM114,000 yang menjadikan ia sebagai pesawat ringan peribadi ringan yang mampu dimiliki dan anda hanya perlu menjalani latihan selama 10 jam.
Sememangnya, kenderaan peribadi yang mampu terbang masih jauh untuk benar-benar boleh berfungsi dan dikeluarkan dalam kuantiti yang banyak kerana kebanyakannya masih di peringkat ujian dan belum benar-benar matang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: