KUALA LUMPUR: Stesen radio Era FM sekali lagi menghulurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan melalui segmen Merisik Khabar Edisi Ramadan sempena kedatangan Ramadan yang bakal menjelma.
Program dengan kerjasama Revive Isotonik dan Pepsi itu akan memaparkan sebanyak 20 buah kisah yang menyentuh hati bermula 1 Jun ini.
Menurut Pengurus Saluran Era FM, Nazri Noran, program Merisik Khabar Edisi Ramadan ini diteruskan berikutan sambutan memberangsangkan yang diterima pada tahun lepas.
“Sambutan yang menggalakkan pada tahun lepas telah menyuntik semangat kami untuk meneruskan usaha murni ini buat kali kedua.
“Kami akan cuba meneruskan momentum tersebut pada tahun ini dengan membantu lebih ramai pendengar kami di luar sana yang benar-benar memerlukan sokongan kita agar mereka juga tidak ketinggalan untuk turut berkongsi kegembiraan Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya di sini, Jumaat.
Turut hadir penyampai-penyampai stesen radio itu dan Hitz FM termasuklah Aznil Nawawi, Haniff, Ray, Dina JJ dan Ean.
Program tersebut akan dilaksanakan dalam salah satu segmen dalam Riuh Pagi ERA yang dikendalikan oleh Aznil Nawawi, Ray dan Haniff. Ia ke udara pada setiap Isnin hingga Jumaat selama empat jam bermula pukul 6 pagi.
Bantuan yang disalurkan bukan sahaja dalam bentuk kewangan, malah dalam bentuk sokongan moral dan rohani mengikut keperluan sesebuah kes.
Sekiranya individu tertentu bersetuju dengan tawaran yang diberikan, pasukan Merisik Khabar akan terus bertindak dan mencuba sedaya upaya menyelesaikan permasalahan mereka.
Revive Isotonik dan Pepsi selaku penaja utama program ini akan menyalurkan 10 sen daripada jualan setiap botol 1.5 liter Revive Isotonik atau Pepsi ke tabung Merisik Khabar dan wang tersebut akan digunakan sepenuhnya untuk tujuan amal.
Kempen kali ini turut disokong oleh Hitz FM, Morning Crew JJ & Ean yang akan turut bersama-sama mempromosikan program tersebut.
Dalam pada itu, beberapa majlis berbuka puasa bakal dianjurkan untuk menggalakkan orang ramai turut membuat sumbangan melalui pembelian minuman Revive Isotonik dan Pepsi di pasar raya Giant terpilih.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: