Wednesday, July 20, 2011

Mengapa hanya saya?

ANJOU...ada rakan artis turut kutuk.
ANJOU...ada rakan artis turut kutuk.

DIAM tidak diam, sudah lima tahun Zarina Anjoulie Lavocah atau Anjou bergelar artis.

Bagaimanapun, yang sinonim dan diingati mengenai gadis berusia 24 tahun ini ialah kontroversi yang sering dicetuskan dalam dunia seni.

  • Foto

    SOLEK...di lokasi penggambaran.

  • Foto

    PENYERI...bersama antara pelakon drama muzikal Kampus.

Sayang, apabila bakat seni�nya tenggelam dek cerita-cerita negatif yang sering dilemparkan.

Langkahnya dalam seni bermula dengan dengan baik menerusi siri drama Anak Pontianak arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba yang disiarkan menerusi TV3 pada 2007. Bagaimanapun, nama Anjou mula terpalit kontroversi ekoran penyebaran gambar sensasinya menerusi Internet.


Selepas itu, rentetan demi rentetan kontroversi mula meliputi Anjou seolah-olah ada pihak yang tidak senang dengan pembabitannya dalam seni. Ini membuatkan dia mendiamkan diri seketika dari dunia seni.


Pun begitu, gadis kacukan Melayu, Iran dan Inggeris ini tidak hipokrit apabila bercakap dan tidak mengalah apabila muncul semula berlakon drama Gerak Khas, Roda-Roda KL dan Maisarah.

Bakatnya juga diintai pengarah filem apabila berlakon filem Lagenda Budak Setan bersama Farid Kamil, Lisa Surihani dan Fazura. Dia juga berlakon filem Chantek arahan Pierre Andre.

Terbaru, Anjou membintangi drama bersiri Kampus berkonsep muzikal seperti Glee arahan Yusmal Ghazali.

Bertemunya di lokasi penggambaran Kampus di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (Aswara) baru--baru ini, dia bersama pelakon lain gigih melakonkan wataknya untuk drama siaran RTM itu.

Diajukan soalan panas mengenai popularitinya berdasarkan bakat atau kontroversi, Anjou mempunyai pandangannya sendiri.

Satu persatu persoalan berkenaan dihuraikan bagi meminta pengertian ramai.

“Nama saya sudah ada dalam industri dan orang kenal saya kalau disebut. Contohnya, dulu orang tahu Anak Pontianak ialah saya. Sekarang keadaan sudah berubah apabila orang sudah mengenali saya dengan nama sendiri.

“Mengenai kontroversi yang berlaku, saya hairan kenapa saya sering dijadikan sasaran untuk dikaitkan dengan perkara negatif.

“Sedangkan, kalau dilihat banyak lagi artis yang tampil dengan imej seksi, tapi kenapa asyik-asyik saya yang menjadi sasaran kecaman?

“Ada lagi sesetengah artis yang teruk pergi kelab malam, tapi kenapa media tak nampak mereka? Saya sebenarnya hairan, tak cukup lagikah lima tahun saya asyik kena hentam? Saya sudah minta maaf terhadap apa yang berlaku. Kalau berdiam diri, dikata bersalah pula,” tegasnya.

Mungkin, tempias kontroversi dulu terpalit sehingga kini apabila Anjou seakan-akan tidak disukai.

Bagaimanapun, dia secara baik meminta pihak media tidak memainkan lagi isu berkenaan.

Katanya, cukup-cukuplah berbuat begitu kerana dia kini sudah matang dan sudah banyak berubah dalam hidup.

“Saya perhatikan kontroversi yang ditulis ialah kisah lama yang dikorek semula. Saya agak kecewa dengan sesetengah media yang mainkan isu ini kerana menampakkan seolah-olah masyarakat bencikan saya.

“Sebenarnya, dari pengalaman saya menyertai promosi Jom Heboh dan banyak lagi program, mereka tetap datang mendekati saya tanpa perasaan jelik.

“Sebenarnya banyak peminat saya terdiri dari kalangan orang kampung. Mereka yang mengikuti twitter saya banyak golongan kakak-kakak, yang bertudung dan berkahwin.

“Saya tak bermaksud nak kata dunia artis ini teruk. Tapi seperti saya katakan tadi, saya lebih rela jadi diri sendiri dari sesetengah pelakon yang tipu peminat dengan berbuat baik di depan, tapi lain di belakang lain. Saya tak pandai menipu.

“Namun memang ada sesetengah artis memang baik dan saya hormati mereka. Apa yang buat saya bengang, ada juga rakan artis yang kutuk saya macam-macam sedangkan perangai mereka pun teruk,” katanya berterus-terang.

Seiring dengan perkembangan usia, matlamat Anjou dalam lakonan kini hanyalah sebagai hobi sampingan dan bukan lagi keutamaan seperti dulu.

Dia menyedari hakikat bahawa kemilau lakonan tidak kekal lama berbanding karier lain yang lebih menjamin masa depan.

“Saya berlakon sekarang hanya untuk melepaskan gian. Lakonan untuk mengubat rindu dan taklah terlalu fikirkan sangat tawaran.

“Dulu lainlah kerana siapa yang tak suka populariti dan orang kenal kalau ke mana-mana. Sekarang saya sedar pentingnya pelajaran sebagai jaminan masa depan dan buat keputusan belajar undang-undang di sebuah kolej swasta.

“Kalau saya tak aktif berlakon pun, tiada ruginya kerana orang sudah kenal saya. Walaupun penuh dengan kontroversi sekurang-kurangnya cara itu buat saya dapat mengenali ramai wakil media. Boleh dikatakan saya sudah kecapi banyak kepuasan peribadi dan tak menyesal dengan keputusan yang dibuat,” katanya.

Mengenai pembabitan dalam drama Kampus, Anjou menjelaskan dia dihubungi pihak produksi Shooting Star Media Sdn Bhd yang menawarkan tawaran berlakon sebagai Amy.

“Awalnya saya nak tolak, tetapi mereka pujuk supaya berlakon kerana nampak kesesuaiannya dengan saya. Saya juga sedia terima tawaran kerana mereka faham situasi saya yang perlu bahagikan masa dengan pelajaran.

“Saya bawa buku ke lokasi dan apabila ada kelapangan saya akan menelaah pelajaran. Saya suka dengan toleransi yang ditunjukkan pengarahnya.

“Sesetengah produksi tak faham keadaan saya, jadi saya terpaksa tolak tawaran mereka. Begitu juga, saya pun rasa bersalah kalau ambil ‘job’ berlakon, tetapi tak dapat bagi tumpuan sepenuhnya terhadap watak yang dibawakan.

“Dalam Kampus, saya bergandingan dengan pelakon Lisa dan Aishah. Kami kononnya diva kerana ambil jurusan teater di Aswara dan berasakan lagi hebat berbanding jurusan lain.

“Ini kali pertama saya bawa watak nakal kerana sebelum ini bawa watak jahat dan pengkid. Watak Amy adalah perencah dalam drama ini dan kalau peminat meluat tandanya saya berjaya melakonkannya.

“Menariknya saya juga kena menari dan menyanyi dan ini sesuatu yang sangat mengujakan. Lagu yang dinyanyikan ialah Jelingan Manja dan Aku Benci yang dipopularkan oleh KRU.

“Saya sukakan variasi dalam lakonan dan selepas ini teringin melakonkan watak gadis solehah.

“Saya berbuat begini kerana nak cabar kemampuan diri sendiri. Watak baik orang ingat senang nak bawa, tetapi susah juga sebenarnya kerana kena bermain dengan emosi,” katanya.

Anjou mengakui sepanjang pembabitannya, dia jarang rapat dengan sesama artis kecuali yang tertentu.

Justeru, dia tidak pernah terjebak dengan cinta lokasi.

“Memang ramai juga yang nakal ajak saya bercinta, tapi hati saya sudah ditakluki seorang jejaka kacak. Saya setia pada yang satu dan kami merancang nak kahwin tahun depan,” katanya yang sudah lebih setahun mengenali jejaka itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: