Thursday, July 28, 2011

LZS hargai sumbangan media


Bengkel Jahitan D'Asnaf Anggun merupakan salah satu program cetusan Lembaga Zakat Selangor dalam menjana pendapatan para asnaf zakat.


PERANAN media dalam mempromosi dan mendidik masyarakat memang diakui sejak dulu. Dalam aspek dakwah, media adalah antara medium yang paling murah dan berkesan mencapai golongan sasaran dengan cepat.

Turut mengakui dan menghargai peranan itu adalah Lembaga Zakat Selangor (LZS). Untuk itu, diadakan majlis Secangkir Kopi bersama media di Hotel Grand Bluewave, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Majlis yang berlangsung dalam suasana santai tetapi ceria itu dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

Hadir sama, Pengurus Besar LZS, Dr. Ruziah Ghazali dan Ketua Komunikasi Korporat LZS, Akhtar Sahari.

Majlis itu dihadiri oleh kira-kira 30 wakil media arus perdana dan juga media elektronik.

Mohamed Izam dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada pihak media yang banyak membantu dalam usaha dakwah LZS.

Katanya, salah satu petunjuk kejayaan itu adalah peningkatan jumlah kutipan zakat saban tahun.

"Walaupun kutipan zakat meningkat, masih ramai yang belum menunaikan zakat terutama zakat harta dan perniagaan.

"Sehubungan itu, kita mensasarkan peningkatan dalam zakat ini terutama dalam bulan Ramadan kerana keberkatannya adalah lebih berbanding menunaikan zakat pada bulan-bulan lain," katanya.

Pada majlis itu, Mohamed Izam menyerahkan mock-up cek berjumlah RM14,240,950 juta untuk diagihkan kepada 19,008 fakir miskin di Selangor. Ia diserahkan kepada Timbalan Pengurus Besar Kutipan LZS, Adibah Abdul Wahab.

Sebagai selingan, para hadirin disajikan dengan tayangan video Melakar Kecemerlangan Agihan.

Ia memaparkan kisah kejayaan agihan LZS di samping kejayaan para asnaf mengusahakan perniagaan masing-masing.

Malah, ada di kalangan mereka yang kini sudah keluar daripada asnaf dan menjadi pembayar zakat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: