Wednesday, July 20, 2011

Lepasan IDIP tubuh alumni dakwah


Antara tumpuan lepasan IDIP adalah mengadakan kelas-kelas pengajian Islam kepada saudara Muslim.


BARU-baru ini, bekas-bekas Pelajar Institut Dakwah Islamiah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) (IDIP) mengadakan Ijtimak dan Muzakarah Alumni IDIP di Kem Bina At-Taqwa, Jalan Bukit Changgang, Dengkil, Selangor pada Jun lalu.

Pengelola Majlis Permuafakatan Kelab Perkim Universiti (Mampu), Suariza Hidayah Muhammad berkata, IDIP adalah institut pendidikan sepenuh masa yang ditubuhkan oleh Perkim khusus bagi membimbing dan melatih saudara Muslim.

Katanya, pusat pengajian yang diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj itu dibina untuk melahirkan mubaligh yang boleh menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat bukan Islam.

"Ia juga bagi membentuk saudara Muslim menjadi Muslim yang memahami serta menghayati Islam sebagai satu cara hidup melalui satu cara pendidikan yang berteraskan ilmu dan berpaksikan tauhid," katanya.

Suariza yang juga Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial berkata, program itu diadakan bagi menemukan semula bekas pelajar selepas sekian lama tidak berjumpa.

Ia menghimpunkan 70 bekas penuntut IDIP saudara Muslim pelbagai kaum iaitu India, Cina, Kadazan, Iban, Orang Asli, Siam, Filipina, Kemboja dari Sabah, Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Perhubungan yang rapat masih terjalin di kalangan mereka. Masing-masing mempunyai cerita tersendiri untuk dikongsi dengan sahabat-sahabat setelah berbelas tahun meninggalkan pusat pengajian dan mempunyai kerjaya sendiri.

Kehadiran dari seluruh pelosok negara menunjukkan komitmen mereka yang tinggi dalam mengembangkan ajaran Islam.

Mereka melaksanakan tugas dakwah masing-masing yang telah dipelajari suatu ketika dahulu dan kini direalisasikan.

Pada majlis itu, turut ditubuhkan Jawatankuasa Alumni IDIP dengan pelantikan Muhammad Busu sebagai Pengersui; Timbalan Pengerusi, Mohd Saiful Hafiz Abdullah; Setiausaha, Che Mohd. Noor Lee Abdullah Lee; Bendahari, Mohd. Firdaus Tamil Maran Abdullah dan 10 ahli jawatan kuasa kecil.

Jawatan kuasa tersebut akan didaftarkan dengan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) di mana objektif utamanya adalah menggembleng tenaga, kepakaran dan kemahiran untuk membantu melaksanakan serta meluaskan kerja-kerja dakwah yang bakal dirancang.

Terdapat juga slot rancangan dan pelan tindakan membantu agensi-agensi Islam Malaysia dalam berdakwah kepada masyarakat bukan Islam serta memberi pendidikan Islam kepada saudara Muslim.

Mohd. Farid Ravi Abdullah yang juga bekas pelajar IDIP merangkap Ahli Majlis Kebangsaan Perkim turut menyampaikan amanat dan pesanan mengenai kaedah melahirkan para profesional Muslim dalam kalangan saudara Muslim yang bersepadu dari segi rohani dan jasmani bagi meneruskan usaha penyebaran Islam di kalangan masyarakat mereka sendiri.

Selain itu, ceramah motivasi disampaikan oleh bekas Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz bagi menambahkan keyakinan dan semangat peserta dalam melakukan kerja-kerja dakwah.

Turut diadakan tahlil arwah kepada bekas-bekas guru IDIP yang telah kembali ke rahmatullah serta pengisian kuliah subuh dan tazkirah maghrib.

Program itu dirasmikan oleh Naib Yang Dipertua Perkim Kebangsaan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Arifin Suhaimi

Ariffin dalam ucapannya gembira kerana kejayaan mengumpulkan bekas-bekas pelajar IDIP dan meneruskan legasi dakwah Perkim yang berteraskan perpaduan dan keharmonian.

Katanya, IDIP akan dinaik taraf sebagai Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang tidak mengenepikan dasar dan fokus utama IDIP.

Langkah menaik taraf daripada sijil kepada diploma itu bersesuaian dengan keperluan pendidikan semasa.

"Ini tidak bermakna sistem meritokrasi dilaksanakan secara keseluruhan, tetapi ia bersesuaian dengan keperluan pendidikan agama kepada saudara Muslim berteraskan modul pengajaran dan pembelajaran yang sesuai digunakan kepada saudara Muslim bagi memastikan keberkesanan proses pembelajaran dan praktikal yang akan dilalui oleh pelajar IDIP," katanya yang juga Pengerusi IDIP.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: