Monday, July 11, 2011

Lebih efektif

pix_middle

BANK Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) komited mempelbagaikan saluran perkhidmatannya kepada orang ramai terutama konsumer kewangan apabila memperkenalkan cawangan berkonsepkan kios dengan sasaran membuka 10 hingga 20 kios setahun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Redza Shah Abdul Wahid berkata, pihaknya mengenengahkan konsep kios berikutan lebih efektif dan menjimatkan kos berbanding membuka cawangan kerana bagi satu kios, modal yang diperuntukkan kira-kira RM150,000.


Beliau berkata, kios Bank Muamalat pertama yang beroperasi di sempadan Kemuning Utama dan Bukit Kemuning, Shah Alam sejak 23 Mei lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dengan mencatatkan urus niaga kira-kira RM5 juta dalam tempoh sebulan. “Bagi kios kedua akan dibuka di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru akhir bulan depan bagi kemudahan rakyat negara ini yang sering berulang-alik ke Singapura dan tidak berkesempatan melakukan urusan perbankan. Malah, fasa pertama pengenalan konsep kios ini kami menyasarkan untuk membuka antara 10 hingga 20 kios setahun dan lokasi pilihan adalah di pusat beli-belah dan tumpuan orang ramai,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, selain dilengkapi mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM), kios itu turut menyediakan perkhidmatan membuka akaun dan permohonan bagi pembiayaan runcit, rumah, kenderaan serta peribadi. Redza berkata, pada tahun ini juga pihaknya menyasarkan pertumbuhan 15 peratus bagi segmen kewangannya sekali gus mencapai sasaran untuk menjadi peneraju dalam pembiayaan Islam.


Bank Muamalat kini mempunyai hampir 60 cawangan di seluruh negara juga sudah menjalinkan kerjasama dengan Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) untuk menawarkan perkhidmatan perbankan menerusi lebih 400 cawangan Pos Malaysia di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: